Friday, March 25, 2011

Tauke udang bangkit semula


AHAMAD Sabki Mahmood (dua dari kanan) bersama Syed Omar Syed Jaafar menimbang udang putih yang baru dituai di Sungai Nipah, Selangor.


BERKAT usaha yang tidak jemu-jemu itu, kini mereka berjaya mengutip hasil yang lumayan sepanjang tahun.

Projek perintis Program Projek Berimpak Tinggi Zon Industri Akuakultur (HIP-ZIA) yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan tersebut pada asalnya diusahakan oleh tujuh pengusaha udang putih.

Namun, akibat beberapa masalah yang dihadapi, kini hanya tinggal tiga sahaja pengusaha yang bertahan.

Biarpun segala infrastruktur dan perkhidmatan nasihat diberikan oleh Jabatan Perikanan, namun bukan mudah sebenarnya untuk mengusahakan ternakan udang putih tersebut.

Ia diakui oleh Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar ketika di temui pada majlis penuaian Hasil Projek Ternakan Udang Laut ZIA, di Sungai Nipah, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Turut meraikan kejayaan tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

''Untuk berjaya dalam usaha menternak udang putih ini memerlukan usaha gigih yang konsisten serta komitmen yang tinggi.

''Malah beberapa faktor turut perlu diambil berat seperti Sistem Biosekuriti dan pelbagai lagi,'' ujarnya.

Menurut Syed Omar yang juga Pengarah Urusan, Venture Aquaculture (M) Sdn. Bhd., untuk berjaya dalam penternakan udang putih, banyak perkara yang perlu di fikirkan malah pengusaha perlu banyak belajar daripada pengalaman.

Justeru, khidmat nasihat serta pandangan daripada semua pihak perlu diambil perhatian bagi menjayakan projek ternakan udang.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penternakan haiwan laut itu juga turut menimba ilmu sehingga keluar negara selama beberapa tahun sebelum berjaya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak perlu di jadikan sebagai penghalang bagi mereka yang tidak berpeluang mendalami ilmu penternakan seperti beliau.

Jelasnya, apa yang penting adalah kemahuan yang jitu serta sikap tidak mudah putus asa pasti menawarkan kejayaan dalam penternakan tersebut.

Projek 'HIP-ZIA' Sungai Nipah mula beroperasi pada tahun 2008 namun projek tersebut telah mengalami beberapa masalah terhadap pengurusan peserta.

Pada asalnya projek tersebut ditubuhkan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk berkecimpung dalam projek penternakan udang laut.

Ia berasaskan kepada program model perniagaan yang berasaskan dorongan pasaran.

Beberapa peserta pada peringkat awalnya telah menunjukkan minat untuk mengusahakannya, namun setelah beberapa masalah timbul, seorang demi seorang peserta telah menarik diri.

Justeru pada tahun 2010, konsep projek yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan tersebut diubah kepada konsep syarikat peneraju secara inkubator.

Pelepasan benih pertama oleh syarikat peneraju ke dalam tujuh unit kolam pada bulan Oktober tahun lepas kini telah melihatkan hasil yang baik pada hari pertama penuaian dilakukan.

Projek tersebut melibatkan kawasan seluas 28 hektar dengan 23 unit kolam ternakan udang laut bersaiz 0.5 hektar setiap satu.

Berdasarkan tuaian pertama yang mampu menghasilkan sebanyak lima tan udang bagi setiap kolam, dijangka projek tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran hasil sebanyak 230 tan metrik.

Jumlah tersebut juga membawa pulangan bernilai RM2.3 juta setahun.

Bagi pembangunan projek tersebut, kerajaan melalui Jabatan Perikanan telah membelanjakan sebanyak RM 2.4 juta bagi membaik pulih infrastruktur, kolam serta menyediakan program latihan peserta.

Menurut Syed Omar, kehadiran syarikat beliau sebenarnya adalah sebagai dorongan serta bantuan kepada para peserta.

Ia juga lebih kepada seperti program usaha sama antara peserta dan syarikat beliau.

Ujarnya lagi, apabila projek tersebut telah benar-benar berjaya dan mampu diuruskan oleh peserta sepenuhnya ia akan diserahkan semula kepada mereka.

Jelas beliau, syarikatnya telah membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk kos operasi serta baik pulih.

"Di sini saya mengambil pendekatan pengurusan Sistem Biosekuriti seperti penggunaan plastik sebagai penampan tebing bagi mengelakkan gangguan ketam.

''Malah, penggunaan jaring penghalang haiwan pemangsa juga dipertingkatkan di samping penggunaan air yang betul," katanya.

Malah beliau turut memperkenalkan teknologi auto feeders kepada para peserta bagi menjimatkan penggunaan tenaga pekerja dalam proses pemberian makanan kepada udang ternakan.

Penggunaan auto feeders juga dilihat sebagai jalan penyelesaian bagi mendapatkan masa pemberian makan yang sekata setiap kolam.

Hasilnya, udang tersebut dapat membesar dengan sekata dan dapat dipasarkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Bagi udang putih, tempoh matang adalah selama 75 hingga 80 hari atau bersamaan 64 hingga 65 ekor udang sekilogram (kg).

Tambah Syed Omar, bagi kolam berkeluasan 0.5 hektar itu, sebanyak 340 ribu benih udang putih telah dilepaskan dan melalui amalan konsep Sistem Biosekuriti, kadar hidup bagi udang tersebut adalah sebanyak 90 peratus.

Melalui sistem tersebut, ternakan dapat dilindungi daripada gangguan haiwan pemangsa serta serangan penyakit yang lain.

Manakala bagi penggunaan aliran air, bagi projek ini, hanya kemasukan air yang pertama sahaja digunakan sehingga ternakan dituai.

Ia bertujuan bagi mengelakkan penyakit bawaan air merebak sekiranya air sentiasa mengalir masuk ke dalam kolam ternakan.

Bagi harga pasaran bagi udang ini adalah RM14 000 bagi satu tan metrik dan harga akan dipantau setiap tiga hari.

Bagi udang yang dituai, ia akan dihantar terus ke kilang untuk dieksport.

Ia bagi menjamin keluaran udang putih tidak menjadi lambakan dipasaran malah pengusaha juga tidak perlu bersusah payah mencari peraih untuk memasarkan udang yang dituai.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: