KUALA LUMPUR 4 April - Usahawan industri halal tempatan perlu lebih agresif dan berani mengambil risiko untuk menghasilkan produk baharu yang mampu memenuhi selera serta kehendak pengguna luar negara.
Setiap komuniti di sesebuah negara mempunyai permintaan berbeza, oleh itu usahawan perlu lebih kreatif untuk mengubahsuai produk mereka agar mampu menarik minat golongan berkenaan.
Apa yang berlaku ketika ini, kebanyakan usahawan industri halal tempatan hanya menunggu kehadiran pelabur asing ke sesebuah pameran atau ekspo untuk membeli produk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Pameran Halal Antarabangsa (Mihas), Shukri Abdullah berkata: ''Pergilah ke negara (yang disasarkan), buat kajian mengenai selera dan kehendak masyarakat tempatan. Kemudian ubah produk, barulah boleh laku bila dijual di sana.
''Persepsi kolot untuk mengekal resipi dan enggan mengubahnya menjadi masalah utama yang perlu diatasi di kalangan usahawan kita. Untuk menerokai pasaran global, minda mereka juga perlu global juga,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Shukri berkata, antara masalah lain yang dikesan sepanjang tujuh tahun menganjurkan Mihas adalah gagal memenuhi permintaan eksport yang berskala besar.
Katanya, ada beberapa pelabur asing yang mengadu dengan Mihas mengenai usahawan tempatan yang menolak atau terus membisu apabila permintaan terhadap produk mereka dibuat.
''Apabila dihubungi, mereka memberi alasan tidak mampu menyediakan stok dan sanggup mengambil tindakan bodoh menolak kontrak berjuta ringgit yang boleh menjadi batu loncatan kepada mereka untuk berjaya.
''Sebagai contohnya, produk kerepek. jika tidak mampu buat sendiri, kenapa tidak bergabung dengan usahawan kecil lain yang masih merangkak mencari pasaran?
''Bila diajukan cadangan tersebut. Alasan yang diberikan adalah tidak mahu resipi 'rahsia' mereka terbongkar. Pemikiran kolot inilah yang mengekang banyak usahawan kita ketika ini,'' tegasnya.
Bagi mengubah minda usahawan industri halal tempatan, Mihas juga akan melakukan transformasi dalam pamerannya bermula tahun ini agar lebih profesional dan mesra pelabur asing.
Bermula tahun ini, Mihas hanya dibuka kepada orang ramai pada hari terakhir sahaja dan lima hari sebelumnya dikhaskan kepada golongan pelabur dan tetamu undangan,'' katanya.
"Transformasi ini perlu dibuat kerana ramai pelabur mengadu bahawa Mihas tidak mesra pelabur tetapi hanya seperti jualan bazar biasa yang dipenuhi ramai orang.
"Kami mahu mewujudkan suasana yang lebih mesra pelabur dan ini mampu memberi peluang yang lebih luas kepada mereka untuk mendekati usahawan tempatan,'' ujarnya.
Bagi mengelakkan orang ramai berkecil hati, kerajaan akan menganjurkan sebuah lagi pameran halal yang dikenali sebagai Halfes enam bulan selepas penganjuran Mihas.
Konsep Halfes hampir sama dengan Mihas, cuma yang membezakannya ialah menerima kehadiran semua lapisan masyarakat dan membenarkan usahawan mejual produk secara runcit.
Mihas 2011 akan berlangsung pada 6 hingga 9 April depan bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
sumber: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment