Thursday, September 22, 2011

MyAgro buka peluang usahawan tani





Noh Omar (tiga dari kiri) dijangka merasmikan MyAgro esok yang bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan tani mengenai kemajuan bidang pertanian.



PAMERAN Malaysia Agro atau ringkasnya MyAgro 2011 yang bertemakan Memperkasa AgroBisnes bakal mewarnai dunia usahawan tani di negara ini bermula esok.

MyAgro 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), Kuala Lumpur bakal berlangsung selama empat hari sehingga Jumaat ini .

Pengerusi Penganjur MyAgro, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, pameran MyAgro lebih menjurus kepada peluang-peluang perniagaan kepada rantaian usahawan tani bermula daripada awal misalnya pengusaha biji benih sehingga produk sampai kepada pengguna.

"Pertanian bukan hanya tertumpu kepada bercucuk tanam tetapi lebih daripada itu.

"Malahan pertanian bermula dengan pencarian benih atau baka terbaik, baja, racun serangga, racun rumpai, alat bantuan tanaman, menuai, mekanisasi bagi membantu pertanian, pembungkusan, pelabelan, logistik, pusat pengumpulan, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ,Datuk Seri Noh Omar dijangka merasmikan pameran tersebut esok.

MyAgro 2011 bakal menjadi tempat pertemuan bagi mengisi kekosongan rantaian dalam bidang pertanian.
Pameran MyAgro yang merupakan inisiatif sektor swasta dengan kerjasama agensi kerajaan, badan penyelidikan, institut pengajian tinggi tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan penekanan kepada tiga aspek utama iaitu :


  • Peluang perniagaan yang ada dalam sektor pertanian
  • Potensi pelaburan
  • Produk-produk untuk pengguna seperti konsep fruits, flowers, flavours atau buah bunga dan perisa.


"Pada pameran berkenaan terdapat industri kecil dan sederhana (IKS) yang berpotensi untuk pergi lebih jauh seperti pasaran eksport," katanya.

MyAgro boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi usahawan tani mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perniagaan dalam sektor pertanian.

Mohamed Sharif berkata, MyAgro juga kesinambungan atau mengisi kekosongan semasa Pameran Pertanian Hortikutlur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Walaupun baru kali pertama diperkenalkan, MyAgro mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta IKS serta pedagang.

Terbahagi kepada dua kumpulan, peruncit dan pedagang sehingga kini terdapat 110 orang peserta mengambil bahagian.

Antaranya terdapat syarikat yang memberikan pakej tanaman fertigasi lengkap bagi pengunjung.

Selain itu terdapat juga institusi perbankan yang turut serta bagi memberikan khidmat nasihat mengenai pembiayaan.

"Negara yang mempunyai begitu banyak pekebun kecil perlu melihat peluang yang tersedia bagi membangunkan lagi perniagaannya.

"Transformasi luar bandar dalam pertanian akan terjadi dengan adanya akses kepada kawasan pengeluaran seperti lebuh raya," katanya.

Pada masa yang sama juga di pengunjung boleh menghadiri seminar serta demonstrasi di pameran MyAgro.

Apa yang menarik pembentang kertas kerja terdiri daripada mereka yang terlibat dalam dunia pertanian seperti pensyarah, penyelidik serta usahawan tani dari institut pengajian tinggi, agensi penyelidikan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta usahawan tani yang penuh dengan pengalaman.

"Usahawan tani mendapat banyak pendedahan dengan menyertai pelbagai pameran yang diadakan.

"Dengan pameran yang diadakan diharap minat generasi muda terhadap sektor pertanian semakin bertambah," katanya.

Setiap kali pameran pasti akan ada perkara baru yang akan diketengahkan misalnya kali ini dalam pameran MyAgro, terdapat gerai yang akan mempamerkan tanaman hiasan yang menyerap toksik di persekitaran.

Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan petani kecil yang bergiat dalam bidang nurseri tanaman.

"Malah kajian berkenaan telah disokong dengan kajian oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)," katanya.

Walaupun baru pertama kali diadakan MyAgro berjaya mendapat penyertaan negara jiran seperti Singapura.
Selain itu ini merupakan masa yang sesuai mempromosikan buah-buahan nadir yang tidak popular dengan penjenamaan semula.

Misalnya, mangga Sala yang tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat menjadi popular di Singapura dengan nama Perlis sunshine manggo.

Pada masa yang sama, produk-produk 1Malaysia Best akan dipamerkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Maklumat lanjut mengenai MyAgro boleh melayari laman web www.myagro.my


sumber: Utusan Malaysia

No comments: