Ahad, Jun 10, 2012

Aida kini usahawan tudung

Daripada personaliti TV kini Khairul Noormaidah Zali atau Aida menjadi usahawan.
 
JIKA sebelum ini penyertaannya sebagai salah seorang peserta dalam program realiti televisyen, Gadis Melayu berlaku secara tidak sengaja, begitu juga dengan dunia perniagaan yang diceburinya hari ini.

Segala-galanya bermula apabila tudung yang sering digayakan seharian mahupun ketika sesi fotografi menjadi perhatian rakan-rakan.

Apabila semakin ramai yang bertanyakan hal tersebut, Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaidah Zali, akhirnya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai satu perniagaan.

Bagi anak kelahiran Kuantan, Pahang, ini, perniagaan yang dilakukan bermula secara kecil-kecilan melalui Internet di samping ingin mengisi masa yang terluang.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini bagaimanapun mengakui dia tidak mempunyai pengetahuan apatah lagi pengalaman dalam bidang perniagaan.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu masalah besar malah dia berusaha mempelajari selok belok dunia perniagaan.

Dalam masa yang sama, Aida juga amat berterima kasih kepada suami tercinta, Mohd. Saiful Nizam Ismail kerana sentiasa memberi sokongan untuk dia meneruskan kerjaya barunya itu.

Bercerita lanjut mengenai perniagaanya itu, jelas wanita yang berusia 27 tahun ini, tudung yang dipasarkan melalui laman peminat CitrAida di Facebook menawarkan pelbagai jenis tudung terkini dengan harga yang berpatutan.

"Alhamdulillah sejak beroperasi tiga bulan lalu sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Di CitrAida, kami menawarkan pelbagai jenis reka bentuk tudung terkini dengan fabrik yang berkualiti.

"Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan ia mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Apa yang membanggakan, daripada seorang yang kosong dalam dunia tekstil dan perniagaan, siapa sangka akhirnya mampu mengeluarkan produk jenama sendiri.

Jelas Aida, sebelum serius mengusahakan tudung, dia serta suami terlebih dahulu belajar dan membuat sedikit kajian mengenai produk yang ingin dikeluarkan.

Ia adalah untuk persediaan awal agar tidak dikatakan hanya mengikut trend semasa.
Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ini, walaupun baru sahaja bermula dia kini sudah mempunyai perancangan untuk memajukan lagi perniagaannya.

"Seperti yang dilihat hari ini, perniagaan tudung sudah banyak di pasaran dan untuk itu sudah pasti CitrAida perlukan sesuatu yang berbeza untuk memberikan kelainan kepada si pemakai.

"Sebenarnya Aida masih lagi mencari identiti sendiri supaya pelanggan di luar sana bukan sahaja jatuh cinta dengan tudung CitrAida malah akan dilihat eksklusif.

"Yang pasti buat masa sekarang CitrAida hanya dipasarkan secara dalam talian untuk mendekatkan lagi pelanggan dengan Aida," katanya lagi.

Kini, dia dalam perancangan untuk membuka butik sekiranya CitrAida mampu pergi jauh dan semakin berkembang.

Dia juga semakin bersemangat apabila produknya diminati bukan sahaja daripada wanita tempatan malah ada dari Singapura dan Brunei.

Ternyata tudung CitrAida mampu memenuhi permintaan pemakai tudung dengan menyediakan pelbagai reka bentuk dan juga warna setiap minggu.

Boleh didapati pada harga serendah RM21 hingga RM39 tudung CitrAida juga hanya memberikan yang terbaik buat pelanggannya.

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...