Tuesday, June 26, 2012

Pengeluaran produk tani Negeri Sembilan membanggakan



MOHAMAD Hasan cuba mengangkat nangka gergasi seberat hampir 30 kilogram selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) peringkat negeri sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di bekas tapak Kem Paroi, Seremban, semalam.

SEREMBAN 25 Jun - Hasil pengeluaran produk tani di negeri ini membanggakan selepas langkah proaktif diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan pencapaian optimum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu disebabkan usaha gigih pengusaha dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang merancakkan aktiviti masing-masing untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.

"Biarpun ketika ini import produk tani dari negeri lain ke sini masih berlaku, namun ia dapat dikurangkan selepas usaha yang dilakukan oleh pengusaha tempatan dipertingkatkan.

"Hasil yang dicapai itu masih di bawah permintaan dan sebab itulah galakan terus dibuat supaya rakyat membangunkan kawasan mereka sebagai 'taman hijau' untuk mengusahakan tanaman makanan," ujarnya di Paroi dekat sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) peringkat negeri sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di bekas tapak Kem Paroi, dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan beberapa anugerah, bantuan dan pengiktirafan kepada peserta pertanian, perladangan dan penternakan pada MAHA 2012 yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Katanya, terdapat tiga tindakan yang perlu dibuat semua penggiat dalam industri ini iaitu mengurangkan kos sara hidup dan kebergantungan daripada import bahan makanan dan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

Selain itu, Mohamad berkata, pengusaha juga perlu menempatkan negara mahupun negeri ini sebagai hab pertanian yang tidak mengimport sebaliknya mengeksport produk untuk keperluan luar selepas wujudnya lebihan permintaan di kalangan rakyat.

Katanya, rakyat hendaklah menjadikan kawasan terbiar sebagai ladang untuk mengeluarkan apa juga produk hasil tani.

Sehingga kini, tambahnya, terdapat lima Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan dua ladang rakyat yang telah dibangunkan di negeri ini dengan keluasan 285 hektar yang mana ia dijangka menyumbang kepada hasil pertanian sebanyak 509.5 tan dengan nilai RM2.59 juta. -Utusan

No comments: