Isnin, Februari 04, 2013

Bangunkan projek guna BMO


Zainal Ayub menunjukkan penyakit batang reput pada pokok buah naga yang ditanamnya di Kampung Parit Kudus Pontian Johor.

PENGGUNAAN teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) atau mikroorganisma baik (EM) dalam pertanian sememangnya bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah mula diperkenalkan di negara in sejak lewat 90-an.

Namun penggunaan teknologi BMO yang dihasilkan oleh seorang profesor dari Universiti Ryukyus, Okinawa Jepun, Dr. Teruo Higa secara berleluasa di negara ini hanya bermula sekitar pertengahan tahun 2000.

BMO adalah campuran mikroorganisma berfaedah terdiri daripada bakteria fotosintetik, bakteria laktik asid, yis, aktinomaiset dan fungi (kulat) penapaian yang menjanjikan kebaikan kepada tanaman berbanding ditanam secara konvensional.

Antara ciri kebaikan teknologi tersebut ialah menggalakkan pertumbuhan pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.

Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja, meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan fizikal tanah.

Menyedari potensi serta kelebihan yang ada pada teknologi BMO itu, sebuah syarikat bumiputera, Bifa Farms di Gelang Patah, Johor mengambil langkah tepat dengan menjalankan perusahaan menghasilkan baja berasaskan teknologi BMO.

Pengarahnya, Rahmat Md. Amin berkata, dia mula menceburi bidang itu pada tahun 2007 dengan mendirikan sebuah kilang memproses BMO tersebut iaitu jenis baja cecair dan organik dengan modal sebanyak RM300,000.

"Alhamdulillah, buat masa ini, kita berjaya menghasilkan tiga jenis baja cecair dan satu jenis baja organik di atas tanah seluas 2.4 hektar dan mampu menghasilkan 1,000 tan sebulan," katanya.

Menurut beliau, jenis baja yang dihasilkan syarikatnya dikenali sebagai Baja Bio OrganikBifa Microb Growth Solution (BMGs), Bifa Microb Growth K2O (BM Super K) dan Bifa Mikrob Protection (BMP).

Tambahnya, proses penghasilkan baja tersebut juga mudah, malah ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperoleh.

''Sebagai contoh, terdapat lima langkah dalam menghasilkan baja bio organik iaitu bahan seperti tinja (najis) ayam dikisar secara kasar sebelum dicampur dengan baja dan diperam dan melalui proses pembungkusan serta bebas bahan kimia.
"Semua jenis baja itu dicampur dengan BMO sebelum dibungkus dalam botol dan dipaketkan. Baja tersebut sesuai digunakan ke atas pelbagai jenis tanaman kelapa sawit, getah, padi, pokok buah-buahan, landskap dan padang golf," ujar Rahmat.

Beliau berkata, setiap baja yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang berlainan iaitu baja bio organik mampu merawat dan membaik pulih tanah sekali gus mengekalkan tahap kesuburan dalam jangka panjang.

BMGs pula mampu menambah kapasiti fotosintesis dan kehijauan tanaman selain mempercepatkan percambahan benih dan tunas pokok BM Super K pula bertindak mempercepatkan mematangkan tanaman dan BMP merupakan pelindung serangan dan penyakit.

"Kita pernah menjalankan kajian penggunaan baja bio organik ke atas tanaman padi dan hasilnya anak pokok padi mencecah ketinggian 78.7 sentimeter pada hari ke-60 berbanding 71 sentimeter menggunakan baja kimia.

"Malah berat padi yang dihasilkan meningkat sebanyak 886 kilogram iaitu dari 1,624 kepada 2,510 kilogram," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan penggunaan BMO kepada mereka yang terlibat sekali gus sudah menjadi satu agenda di negeri ini.

Beliau memberitahu, Johor telah mula menggunakan teknologi BMO secara meluas bermula pada 2007, malah kerajaan negeri juga menyokong usaha tersebut dengan matlamat membawa Johor ke arah pertanian unggul, lari daripada cara konvensional.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan supaya dua pusat mikrob memproses BMO ini diwujudkan di setiap dewan undangan negeri (DUN)sejajar usaha menjana pendapatan tambahan kepada golongan terlibat.

"Di Johor kini sudah mempunyai sebanyak 112 pusat mikrob dan bilangan pusat seumpama itu akan bertambah. Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pusat tersebut," katanya.

Ini kerana, tambahnya, penggunaan teknologi BMO yang bukan sahaja boleh digunakan ke atas tanaman, malah ternakan dan sungai itu selamat daripada bahan kimia dan jelas mampu meningkatkan hasil pertanian, ternakan dan membersihkan sungai.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130128/ag_01/Bangunkan-projek-guna-BMO#ixzz2JuDeQGpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Peluang bisnes yang tidak harus dilepaskan

STG..?? APA ITU STG..???  😍 😍 Kami team Smart Tycoon Group (STG). Team terbesar yg bernaung di bawah salah satu syarikat yg pa...