Rabu, Februari 20, 2013

Ceburi bidang keusahawanan


Penganjuran kursus pemprosesan makanan memberi peluang golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

SEBAGAI sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan agenda kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan Jabatan Pertanian kini sedang membuka peluang kepada semua belia dan beliawanis untuk menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran.

Kursus yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 2002 adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan serta berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius.

Ia juga bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat dewasa ini.

Merujuk kepada kenyataan Jabatan Pertanian, sehingga 2012, seramai 596 peserta telah dilatih dan berjaya menamatkan kursus tersebut.

Antara objektif Kursus Keusahawanan Kemahiran diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pemprosesan produk-produk makanan.

Kursus itu turut memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan.

Kedua-dua aspek amalan tersebut merupakan pra syarat utama untuk memperolehi pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP)

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)ke atas produk proses yang dihasilkan.

Malah, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan meliputi pengurusan keusahawanan kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, kompetensi ICT serta menyediakan Rancangan Perniagaan yang betul.

Di antara produk yang akan dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donut, kasturi, roti bom, pelbagai produk pembuatan roti (bakery) seperti roti, kek, pastri dan biskut.

Antara lain adalah produk kelapa seperti kerisik, santan, dodol, serikaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Malahan, pelbagai produk hasilan buah seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut dan pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram, popia mini juga turut diajar dalam masa enam bulan kursus tersebut dijalankan.

Bagi yang berminat terdapat syarat-syarat permohonan yang perlu dipatuhi antaranya kursus tersebut terbuka kepada semua belia dan beliawanis warga negara Malaysia yang berumur antara 20 dan 40 tahun pada 1 Januari 2013 (dilahirkan pada 1.1.1973 sehingga 1.1.1993).

Peserta juga sekurang-kurangnya memiliki berkelulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM).

Malah anda juga perlu memiliki tubuh badan yang sihat serta amat berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus.

Untuk pengetahuan anda juga, para peserta yang telah terpilih akan menetap di asrama yang telah disediakan sepanjang tempoh berkursus.

Antara kemudahan yang disediakan sepanjang kursus berlangsung adalah tempat tinggal (asrama) serta makan dan minum.

Pihak Jabatan Pertanian juga akan terus membimbing dan memantau tahap kemajuan peserta lepasan Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) yang mana peserta yang telah menjalankan projek akan diberikan khidmat nasihat secara berterusan dari pegawai pembimbing Jabatan Pertanian terlibat.

Untuk mereka yang berada di daerah-daerah mahupun negeri anda juga boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130218/ag_02/Ceburi-bidang-keusahawanan#ixzz2LPxP77Dc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 ulasan:

HooToh TuDia berkata...

Boleh tahan peluang yang negara bagi kat rakyatnya. Mungkin kursus mcmni perlu disampaikan dgn cara lebih menarik. Selalunya golongan berusia aje yang berminat...

Tip-tip dari Najib untuk Usahawan Kecil - ..disamping itu, Dato' Sri Najib Tun Razak juga sempat menyampaikan beberapa tip-tip usahawan untuk usahawan kecil agar mampu bersaing di era business globalisasi ini. Antara tip-tip usahawan tersebut ialah...

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...