Khamis, Februari 20, 2014

Inovasi mesin sate

 Penggunaan tenaga kerja yang ramai serta kos yang tinggi kini tidak lagi relevan. Penyelesaian terbaik adalah menggunakan mesin.

Sate contohnya, adalah makanan kegemaran masyarakat di negara ini dan berpotensi untuk dieksport serta dibangunkan menerusi sistem francais.

Namun begitu, proses penghasilan yang memakan masa serta remeh menyukarkan usaha menghasilkannya dalam kuantiti yang banyak dalam masa singkat.

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi penyelidiknya berjaya menghasilkan mesin khas untuk mengatasi masalah penghasilan sate secara komersial.

Menurut Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi, MARDI, Dr. Azman Hamzah, sate merupakan makanan tradisional yang berpotensi untuk dikomersialkan secara meluas sehingga ke luar negara.

Jelasnya, bagi menjayakan hasrat tersebut, sistem pemprosesan sate perlu dipertingkatkan dan dipercepatkan dengan kaedah mekanisasi bagi memastikan keselamatan serta pengawalan mutu produk yang lebih baik.

“Dengan menggunakan kaedah mesin dalam pemprosesan sate, MARDI berjaya membangunkan teknologi lengkap memproses, bermula daripada proses mencucuk, memanggang serta membungkus," katanya ketika ditemui di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. Azman, sate merupakan makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia tetapi tetapi usaha mempromosinya tidak selari dengan kadar pengeluaran.

“Jika masih bergantung kepada kaedah tradisional iaitu mencucuk secara manual pastinya industri ini tidak akan ke mana," katanya.

Oleh itu, Dr. Azman mengorak langkah menghasilkan mesin mencucuk sate automatik yang lebih berkesan bagi memudahkan proses penghasilan produk makanan tersebut.

“Proses mencucuk sate secara manual merupakan tugas yang rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Secara puratanya seorang pekerja yang mahir mampu mencucuk sate pada kadar 1,000 cucuk sehari (lapan jam bekerja)," katanya.

Dalam proses mencucuk sate, pencemaran mungkin boleh berlaku kerana daging yang digunakan disentuh secara terus oleh manusia.

Bagi mengelak kejadian seumpama itu, sebuah mesin pencucuk sate telah dibangunkan yang mana mampu menghasilkan hampir 1,500 cucuk selama sejam.

Selain dapat menghasilkan sate yang lebih berkualiti, kos pekerja juga dapat dikurangkan kerana mesin yang dicipta hanya dikendalikan oleh dua orang tenaga kerja.

Mesin itu juga mampu menghasilkan 10,000 cucuk sate sehari dan amat sesuai untuk digunakan oleh pengusaha sate yang menghasilkan sate melebihi jumlah tersebut.

Bagaimanapun, bagi pengusaha kecil, MARDI turut menghasilkan mesin pencucuk sate yang lebih kecil yang dikendalikan oleh seorang operator dan mampu menghasilkan sate sebanyak 3,000 cucuk sehari.

Menggunakan sistem pneumatik dan elektrik, mesin tersebut digerakkan menerusi kuasa udara mampat daripada pemampat udara berkuasa 2.5 kuasa kuda (hp).

Mesin tersebut tidak menggunakan tenaga elektrik secara terus menjadikannya selamat untuk dikendalikan.

Berbekalkan harga mampu milik iaitu sekitar RM15,000, mesin tersebut hanya memerlukan seorang operator sahaja dan saiz sate yang dicucuk boleh ditentukan oleh pengusaha sendiri.

Sate bersaiz 15 hingga 30 gram secucuk boleh dihasilkan menggunakan mesin tersebut.

Dibina menggunakan keluli tahan karat dan acuan sate dibina daripada teflon (bahan gred makanan) menjadikan kualiti produk makanan tersebut terjamin dan tidak tercemar.

Pembangunan mesin seumpama itu dilihat dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan makanan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140217/ag_01/Inovasi-mesin-sate#ixzz2tpLYd0Km
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...