Monday, February 04, 2013

Bangunkan projek guna BMO


Zainal Ayub menunjukkan penyakit batang reput pada pokok buah naga yang ditanamnya di Kampung Parit Kudus Pontian Johor.

PENGGUNAAN teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) atau mikroorganisma baik (EM) dalam pertanian sememangnya bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah mula diperkenalkan di negara in sejak lewat 90-an.

Namun penggunaan teknologi BMO yang dihasilkan oleh seorang profesor dari Universiti Ryukyus, Okinawa Jepun, Dr. Teruo Higa secara berleluasa di negara ini hanya bermula sekitar pertengahan tahun 2000.

BMO adalah campuran mikroorganisma berfaedah terdiri daripada bakteria fotosintetik, bakteria laktik asid, yis, aktinomaiset dan fungi (kulat) penapaian yang menjanjikan kebaikan kepada tanaman berbanding ditanam secara konvensional.

Antara ciri kebaikan teknologi tersebut ialah menggalakkan pertumbuhan pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.

Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja, meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan fizikal tanah.

Menyedari potensi serta kelebihan yang ada pada teknologi BMO itu, sebuah syarikat bumiputera, Bifa Farms di Gelang Patah, Johor mengambil langkah tepat dengan menjalankan perusahaan menghasilkan baja berasaskan teknologi BMO.

Pengarahnya, Rahmat Md. Amin berkata, dia mula menceburi bidang itu pada tahun 2007 dengan mendirikan sebuah kilang memproses BMO tersebut iaitu jenis baja cecair dan organik dengan modal sebanyak RM300,000.

"Alhamdulillah, buat masa ini, kita berjaya menghasilkan tiga jenis baja cecair dan satu jenis baja organik di atas tanah seluas 2.4 hektar dan mampu menghasilkan 1,000 tan sebulan," katanya.

Menurut beliau, jenis baja yang dihasilkan syarikatnya dikenali sebagai Baja Bio Organik, Bifa Microb Growth Solution (BMGs), Bifa Microb Growth K2O (BM Super K) dan Bifa Mikrob Protection (BMP).

Tambahnya, proses penghasilkan baja tersebut juga mudah, malah ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperoleh.

''Sebagai contoh, terdapat lima langkah dalam menghasilkan baja bio organik iaitu bahan seperti tinja (najis) ayam dikisar secara kasar sebelum dicampur dengan baja dan diperam dan melalui proses pembungkusan serta bebas bahan kimia.
"Semua jenis baja itu dicampur dengan BMO sebelum dibungkus dalam botol dan dipaketkan. Baja tersebut sesuai digunakan ke atas pelbagai jenis tanaman kelapa sawit, getah, padi, pokok buah-buahan, landskap dan padang golf," ujar Rahmat.

Beliau berkata, setiap baja yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang berlainan iaitu baja bio organik mampu merawat dan membaik pulih tanah sekali gus mengekalkan tahap kesuburan dalam jangka panjang.

BMGs pula mampu menambah kapasiti fotosintesis dan kehijauan tanaman selain mempercepatkan percambahan benih dan tunas pokok BM Super K pula bertindak mempercepatkan mematangkan tanaman dan BMP merupakan pelindung serangan dan penyakit.

"Kita pernah menjalankan kajian penggunaan baja bio organik ke atas tanaman padi dan hasilnya anak pokok padi mencecah ketinggian 78.7 sentimeter pada hari ke-60 berbanding 71 sentimeter menggunakan baja kimia.

"Malah berat padi yang dihasilkan meningkat sebanyak 886 kilogram iaitu dari 1,624 kepada 2,510 kilogram," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan penggunaan BMO kepada mereka yang terlibat sekali gus sudah menjadi satu agenda di negeri ini.

Beliau memberitahu, Johor telah mula menggunakan teknologi BMO secara meluas bermula pada 2007, malah kerajaan negeri juga menyokong usaha tersebut dengan matlamat membawa Johor ke arah pertanian unggul, lari daripada cara konvensional.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan supaya dua pusat mikrob memproses BMO ini diwujudkan di setiap dewan undangan negeri (DUN)sejajar usaha menjana pendapatan tambahan kepada golongan terlibat.

"Di Johor kini sudah mempunyai sebanyak 112 pusat mikrob dan bilangan pusat seumpama itu akan bertambah. Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pusat tersebut," katanya.

Ini kerana, tambahnya, penggunaan teknologi BMO yang bukan sahaja boleh digunakan ke atas tanaman, malah ternakan dan sungai itu selamat daripada bahan kimia dan jelas mampu meningkatkan hasil pertanian, ternakan dan membersihkan sungai.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130128/ag_01/Bangunkan-projek-guna-BMO#ixzz2JuDeQGpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, January 31, 2013

Daun belalai gajah



Pengguna Belalai Gajah mendengar taklimat daripada Pengarah Eksekutif You Dun Chao Healthcare Products Sdn. Bhd., Hazmi Haron, (tiga dari kiri), ketika melawat Ladang Belalai Gajah milik You Dun Chao Herbs Farm Sdn. Bhd di Jalan Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.

ARTIKEL mengenai khasiat daun belalai gajah yang diterbitkan oleh ruangan ini pada 12 November tahun lalu mengundang reaksi di kalangan para pengguna daun herba itu.

Mereka tampil mahu berkongsi pengalaman masing-masing dengan harapan ia akan membantu ramai lagi orang yang mengalami penyakit yang kadang kala sukar untuk sembuh.

Daun belalai gajah atau Sabah Snake Grass telah lama dikenal pasti mempunyai antioksidan yang tinggi untuk mengatasi sel-sel kanser dan mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh manusia.

Khasiat daun tersebut mampu membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, buah pinggang, radang prostat, kolesterol, tekanan darah tinggi, asid urik tinggi, diabetes, mengurangkan risiko salur darah tersumbat, membuang toksin dalam badan di samping mengurangkan keletihan.

Dalam satu pertemuan di ladang belalai gajah milik You Dun Chao Herbs Farm Sdn. Bhd di Jalan Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini, pengguna produk daun belalai gajah jenama UTURN keluaran You Dun Chao Healthcare Products Sdn. Bhd. menceritakan pengalaman masing-masing mengenai khasiat daun berkenaan.

Muhammad Nur Shahir Mat Hussin, 24, mengidap aplastic aneamia sejak kecil.

Aplastic aneamia adalah satu keadaan yang mana sum-sum tulang tidak menghasilkan sel-sel baru yang mencukupi untuk mengisi sel-sel darah.
Penyakit itu menyebabkan beliau asyik tidur kerana keletihan dan tidak dapat tidur lena pada waktu malam kerana terlalu banyak makan ubat.

Menurutnya, pada tahun 2009, dia mengidap diabetes sehingga memaksanya mengambil insulin sebanyak empat kali sehari.

Bagaimanapun, kesihatannya mula berubah selepas mengambil produk daun belalai gajah pada Jun tahun lalu.

Jelasnya, mulai Oktober tahun yang sama, dia mengambil kapsul dan jus ekstrak belalai gajah dan keadaan kesihatannya semakin bertambah baik.
Pekerja kilang, Nur Amirah Mohd. Adi, 18, mengidap neprhotic syndrome sejak kecil.

Masalah tersebut merujuk kepada gangguan buah pinggang yang menyebabkan pengidapnya kurang kencing atau mengalami kencing tidak lawas.

Katanya, akibat penyakit itu, kaki menjadi bengkak, perut buncit dan berat badan bertambah, mata kuning serta tidak dapat tidur lena pada waktu malam.

"Ketika berumur lima tahun, saya pulih selepas mengambil steroid tetapi penyakit tersebut kembali berulang ketika berumur 16 tahun menyebabkan saya terpaksa berhenti sekolah,'' ujarnya.

Nasibnya mula berubah apabila diperkenalkan dengan produk belalai gajah oleh Pengarah Eksekutif You Dun Chao Healthcare Products Sdn. Bhd., Hazmi Haron sejak Mei tahun lalu.

Pelajar tingkatan satu, Muhammad Al Saddiq Fajar, 12, mengidap thalassaemia dengan kadar ferritin dalam darah yang tinggi iaitu pada bacaan 6,779.

Katanya, pada bulan September tahun lalu, dia mula mengambil cecair pati belalai gajah dan selepas itu, tubuhnya mula menunjukkan pemulihan dengan kadar ferritin menurun kepada bacaan 4,000 semasa ujian kesihatan dijalankan pada Oktober tahun lalu.

"Ketika sakit, saya perlu mengambil darah sebanyak dua paket sebanyak dua kali sebulan selain perlu menjalani rawatan mencuci darah," katanya.

Kesan pengambilan produk belalai gajah juga dapat dirasakan oleh kakaknya, Fatin Farhana Fajar, 15, yang turut mengidap penyakit yang sama.

Penasihat kewangan, Nasir Musa, 41, menghidap penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan tahap kolesterol tinggi.

"Sebulan saya mengambil produk ini, telah menunjukkan kesan secara fizikal yang mana bila saya membuang air kecil tidak lagi berbuih seperti biasa.''ujarnya.

Demikian beberapa pengalaman daripada pengguna mengenai khasiat daun belalai gajah tersebut.

Bagaimanapun mereka yang ingin mencubanya tidak menganggap daun tersebut sebagai kaedah merawat atau ubat sebaliknya hanya membantu mengatasi masalah yang mereka alami.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130128/ag_02/Daun-belalai-gajah#ixzz2JYazL6An
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, January 16, 2013

Usahawan tomato tanah tinggi


SISTEM struktur pelindung hujan digunakan bagi melindungi tanaman daripada kadar air yang berlebihan dan terik matahari.

PERMINTAAN tinggi terhadap bekalan sayur-sayuran di seluruh negara telah menggerakkan Jabatan Pertanian untuk mewujudkan satu kawasan khas untuk pengeluaran makanan.

Untuk tujuan tersebut, pada tahun 1998, satu skim khas telah diwujudkan di mana 10 peserta telah dipilih untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Kini, hanya seorang peserta yang tinggal dan masih bertahan serta berjaya menjadi peladang contoh.

Beliau adalah Mohd. Al Edi Mohd. Jaafar, 33, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Bercerita pada peringkat awal pembabitannya sebagai peserta di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Jabatan Pertanian segala amat perit.

Ujar Mohd. Al Edi, kehidupan pada awal penerokaan kawasan TKPM hanyalah cukup-cukup makan.

“Pada ketika itu kami bagaikan buruh kasar bekerja membanting tulang dan hanya dibekalkan dengan keperluan makanan asas seperti beras dan sardin.
“
Malah, kawasan TKPM pada ketika itu dikelilingi hutan tebal dan ramai yang tidak dapat bertahan menarik diri, pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Berbekalkan pengalaman sebagai anak kampung yang biasa berkerja di ladang, Mohd. Al Edi mampu bertahan sehingga kini.

Oleh kerana hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih kekal bertahan, kadang-kala semangatnya sekali-sekala cair juga.

Biarpun begitu, dia sering dipujuk dan diberikan kata-kata perangsang motivasi serta bimbingan oleh para pegawai pertanian yang terlibat.

Berkat kesabaran, kini Mohd. Al Edi mampu berbangga dengan hasil keluaran pertaniannya yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Mohd. Al Edi kini menumpukan kepada penanaman tomato dan kadang-kala diselingkan bersama tanaman sayur-sayuran lain seperti timun jepun, kacang buncis dan cili.

Kini, pengeluaran tomato yang diusahakan oleh Mohd. Al Edi mencecah 20 tan sebulan iaitu sebanyak 1.5 tan untuk setiap pengeluaran.

Menurutnya, tomato yang telah matang akan dipetik dua hari sekali sehingga tamat pusingan pertama penanaman.

‘‘Kemudian kita akan tanam dengan tanaman sayur-sayuran yang lain pada tanah yang sama," katanya.

Tambah Mohd. Al Edi, jika kena pada masa dan teknik yang betul, tomato yang ditanam boleh dituai hanya dalam masa tiga hingga empat bulan sahaja.

Selain usaha yang bersungguh-sungguh ditunjukkan olehnya, Mohd. Al Edi turut mendapat latihan secara intensif daripada Jabatan Pertanian.

Selain itu, katanya, modal di peringkat awal juga disediakan oleh jabatan terbabit bagi membantu peserta yang tidak berkemampuan.

Baginya, peluang sedemikian bukanlah mudah untuk diperoleh apatah lagi segalanya telah disediakan hanya tinggal diri sendiri sahaja untuk berusaha.
Dalam pada itu, Mohd. Al Edi turut menyimpan impian untuk memiliki ladang sendiri.

Buat masa kini, Mohd. Al Edi menggunakan tanah yang disediakan oleh Jabatan Pertanian semasa awal penyertaan dahulu.

Baginya, untuk lebih berjaya, dia memerlukan kawasan penanaman yang lebih luas.

“Hasrat untuk memiliki tanah sendiri telah lama saya pendam dan mungkin sedikit masa lagi saya akan memperolehinya," ujar Mohd. Al Edi.

Bercerita mengenai penglibatannya di dalam bidang pertanian, Mohd. Al Edi berkata, segalanya bermula apabila dia memohon untuk menjadi peserta kursus jabatan pertanian di TKPM di Lojing, Kelantan.

Bermula pada tahun 1998 seramai 10 orang peserta yang telah dipilih melalui temuduga terbuka telah terlibat.

Namun, cabaran mengusahakan tanah ladang yang jauh di tengah-tengah belantara telah menguji ketahanan setiap peserta dan akhirnya kini hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih bertahan.

Setiap peserta pada ketika itu dibekalkan tanah seluas empat ekar untuk ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kobis, terung, cili dan pelbagai lagi.

Berdasarkan kejayaan yang dikecapi oleh Mohd. Al Edi, Jabatan Pertanian kini sedang dalam proses untuk membuka tapak TKPM yang ke dua.

Apa yang diharapkan melalui usaha Jabatan Pertanian tersebut adalah agar lebih ramai lagi golongan muda berminat dengan bidang pertanian terlibat sekali gus menjadi usahawan yang berjaya.

- ASHRIQ FAHMY AHMAD


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130114/ag_01/Usahawan-tomato-tanah-tinggi#ixzz2I6t9qecb
© Utusan Melayu (M) Bhd