Rabu, Januari 16, 2013

Usahawan tomato tanah tinggi


SISTEM struktur pelindung hujan digunakan bagi melindungi tanaman daripada kadar air yang berlebihan dan terik matahari.

PERMINTAAN tinggi terhadap bekalan sayur-sayuran di seluruh negara telah menggerakkan Jabatan Pertanian untuk mewujudkan satu kawasan khas untuk pengeluaran makanan.

Untuk tujuan tersebut, pada tahun 1998, satu skim khas telah diwujudkan di mana 10 peserta telah dipilih untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Kini, hanya seorang peserta yang tinggal dan masih bertahan serta berjaya menjadi peladang contoh.

Beliau adalah Mohd. Al Edi Mohd. Jaafar, 33, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Bercerita pada peringkat awal pembabitannya sebagai peserta di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Jabatan Pertanian segala amat perit.

Ujar Mohd. Al Edi, kehidupan pada awal penerokaan kawasan TKPM hanyalah cukup-cukup makan.

“Pada ketika itu kami bagaikan buruh kasar bekerja membanting tulang dan hanya dibekalkan dengan keperluan makanan asas seperti beras dan sardin.

Malah, kawasan TKPM pada ketika itu dikelilingi hutan tebal dan ramai yang tidak dapat bertahan menarik diri, pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Berbekalkan pengalaman sebagai anak kampung yang biasa berkerja di ladang, Mohd. Al Edi mampu bertahan sehingga kini.

Oleh kerana hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih kekal bertahan, kadang-kala semangatnya sekali-sekala cair juga.

Biarpun begitu, dia sering dipujuk dan diberikan kata-kata perangsang motivasi serta bimbingan oleh para pegawai pertanian yang terlibat.

Berkat kesabaran, kini Mohd. Al Edi mampu berbangga dengan hasil keluaran pertaniannya yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Mohd. Al Edi kini menumpukan kepada penanaman tomato dan kadang-kala diselingkan bersama tanaman sayur-sayuran lain seperti timun jepun, kacang buncis dan cili.

Kini, pengeluaran tomato yang diusahakan oleh Mohd. Al Edi mencecah 20 tan sebulan iaitu sebanyak 1.5 tan untuk setiap pengeluaran.

Menurutnya, tomato yang telah matang akan dipetik dua hari sekali sehingga tamat pusingan pertama penanaman.

‘‘Kemudian kita akan tanam dengan tanaman sayur-sayuran yang lain pada tanah yang sama," katanya.

Tambah Mohd. Al Edi, jika kena pada masa dan teknik yang betul, tomato yang ditanam boleh dituai hanya dalam masa tiga hingga empat bulan sahaja.

Selain usaha yang bersungguh-sungguh ditunjukkan olehnya, Mohd. Al Edi turut mendapat latihan secara intensif daripada Jabatan Pertanian.

Selain itu, katanya, modal di peringkat awal juga disediakan oleh jabatan terbabit bagi membantu peserta yang tidak berkemampuan.

Baginya, peluang sedemikian bukanlah mudah untuk diperoleh apatah lagi segalanya telah disediakan hanya tinggal diri sendiri sahaja untuk berusaha.
Dalam pada itu, Mohd. Al Edi turut menyimpan impian untuk memiliki ladang sendiri.

Buat masa kini, Mohd. Al Edi menggunakan tanah yang disediakan oleh Jabatan Pertanian semasa awal penyertaan dahulu.

Baginya, untuk lebih berjaya, dia memerlukan kawasan penanaman yang lebih luas.

“Hasrat untuk memiliki tanah sendiri telah lama saya pendam dan mungkin sedikit masa lagi saya akan memperolehinya," ujar Mohd. Al Edi.

Bercerita mengenai penglibatannya di dalam bidang pertanian, Mohd. Al Edi berkata, segalanya bermula apabila dia memohon untuk menjadi peserta kursus jabatan pertanian di TKPM di Lojing, Kelantan.

Bermula pada tahun 1998 seramai 10 orang peserta yang telah dipilih melalui temuduga terbuka telah terlibat.

Namun, cabaran mengusahakan tanah ladang yang jauh di tengah-tengah belantara telah menguji ketahanan setiap peserta dan akhirnya kini hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih bertahan.

Setiap peserta pada ketika itu dibekalkan tanah seluas empat ekar untuk ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kobis, terung, cili dan pelbagai lagi.

Berdasarkan kejayaan yang dikecapi oleh Mohd. Al Edi, Jabatan Pertanian kini sedang dalam proses untuk membuka tapak TKPM yang ke dua.

Apa yang diharapkan melalui usaha Jabatan Pertanian tersebut adalah agar lebih ramai lagi golongan muda berminat dengan bidang pertanian terlibat sekali gus menjadi usahawan yang berjaya.

- ASHRIQ FAHMY AHMAD


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130114/ag_01/Usahawan-tomato-tanah-tinggi#ixzz2I6t9qecb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Ke mana perginya jerawat?

>> KEMANA PERGINYA JERAWAT ? HILANG DALAM MASA 4 HARI. << . Sharing dari puan siti fatimah mohd zaki . Beliau rasa teruja ap...