Saturday, October 18, 2008

Pengertian Perniagaan Francais

Saya yakin anda sering mendengar perkataan "Francais" atau "Perniagaan Francais," tetapi mungkin ada di antara anda yang belum mengenali lebih dekat apakah yang dinamakan perniagaan francais. Untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai konsep perniagaan ini, kita ambil contoh satu jenis perniagaan iaitu perniagaan Percetakan Cepat Metro.
..
Katakan anda mempunyai satu perniagaan yang bernama Percetakan Cepat Metro iaitu perniagaan yang boleh mencetak bahan percetakan seperti kad perniagaan, kepala surat, buku resit dan lain-lain lagi dengan cepat. Anda telah menjalankan perniagaan tersebut dengan jayanya selama 5 tahun. Ini bermakna selama 5 tahun anda telah mendapat keuntungan yang banyak hasil daripada perniagaan tersebut dan anda juga telah mempunyai kemahiran atau kepakaran yang mendalam tentang perniagaan tersebut.
Oleh kerana anda rasakan sudah mempunyai kemahiran atau kepakaran di dalam perniagaan Percetakan Cepat Metro, maka anda berhajat untuk menawarkan kepakaran perniagaan tersebut kepada sesiapa yang ingin meniru kejayaan anda. Ini bermakna sesiapa yang ingin membuka perniagaan percetakan cepat, mereka tidak perlu mempunyai kemahiran di dalam perniagaan terseut, yang perlu ada hanya menyediakan modal.

Ini bermakna mereka akan menggunakan nama perniagaan anda iaitu Percetakan Cepat Metro serta mengeluarkan modal untuk membeli peralatan percetakan, menyediakan tempat operasi dan lain-lain lagi. Tugas anda pula mengajar atau memindahkan teknologi percetakan cepat kepada mereka.

Anda akan mendapat ganjaran dalam bentuk komisyen daripada keuntungan yang dijalankan oleh mereka. Banyaknya keuntungan tersebut bergantung kepada sesebuah syarikat. Contoh konsep perniagaan seperti ini ialah Restoran Mc Donald's, Restoran Kentucky Fried Chicken, 1901, Bonia dan lain-lain lagi.

Konsep perniagaan seperti tersebut dipanggil perniagaan Francais. Anda yang memberi segala tunjuk ajar serta kepakaran di dalam perniagaan tersebut dikatakan sebagai memberi Francais atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Franchisor. Orang yang menerima dan meniru kepakaran, menggunakan nama syarikat atau jenama produk anda serta mengeluarkan modal dikatakan sebagai Pemegang Francais atau dipanggil Francahisee.

No comments: