Wednesday, August 25, 2010

Bekas lombong jadi lubuk udang galah




Sesiapa yang ingin menceburi bidang ini kenalah berani dan saya bersedia membimbing mereka.

"Satu masa dahulu, waktu saya baru memulakan projek, saya macam pengemis, ingin belajar dan mendapatkan maklumat mengenai ternakan udang tetapi tidak ada orang yang mahu tolong,''

Itu antara kata-kata seorang penternak udang galah yang kian meniti liku kejayaan selepas projek ternakan ruminannya di Bukit Pelandok tidak lama dulu terpaksa dimusnahkan kerana masalah penyakit.

Selepas ternakan khinzir tersebut dimusnahkan, Low Chong Ming, 46, mengambil keputusan untuk beralih angin kepada ternakan udang.

Justeru , beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan ilmu kerana telah melalui kepayahan hidup, bermula dari bawah dan belajar sendiri.

Beliau menceburi bidang penternakan udang selepas ditawarkan membangunkan kawasan terbiar bekas lombong di Sendayan, Negeri Sembilan.

Kawasan terbabit meskipun merupakan kolam terbiar yang disewa daripada Felda dan kini milik syarikat Menteri Besar Diperbadankan, tetapi mempunyai kemudahan yang sesuai dan bekalan air untuk projek penternakan udang.

Ketika mula diusahakan pada tahun 2000, keluasan kolam hanyalah suku ekar tetapi kerana minat dan keazaman Chong Ming untuk meneruskan usaha ternakan udang, beliau berjaya memajukan projek tersebut .

Beliau ibarat bertatih dalam industri tersebut kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, dan pada masa sama, kekurangan modal.

"Ketika ingin memulakan projek, saya diberitahu oleh seorang kawan bahawa menternak udang hanyalah seperti menternak ayam, tetapi ketika sedang membuat persiapan membuka 17 kolam ternakan, dia menyatakan masalah utama menternak udang ialah penyakit.

"Saya jadi gelabah dengan kata-kata beliau'' kata anak jati Yong Peng, Johor itu yang berhijrah dan menetap di Bukit Pelandok selepas berkahwin dengan anak tempatan di situ.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur sebaliknya, dengan modal RM165,000, dia menguatkan azam untuk menjadi penternak berjaya.

Minat juga mesti ada dalam diri supaya mereka dapat menumpukan usaha sepenuhnya dengan kolam ternakan.

Dengan modal sebanyak itu, Chong Ming bermula perlahan-lahan memandangkan dia perlu belajar sedikit demi sedikit mengenai bidang penternakan udang.

Dia turut menghadiri kursus ternakan di Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG) Kerajaan di Kampung Acheh, Sitiawan, Perak.

Hasil kegigihan dan tidak pernah mengenal erti jemu, lama-kelamaan, jumlah kolamnya ditambah kepada 35 buah dengan anak benih mencecah 1.5 juta ekor.

Benih diperoleh daripada kontrak dengan syarikat di Manjung dan Muar bagi memjamin bekalan tidak terputus.

Ini kerana, antara masalah utama ternakan udang ialah benih yang tidak mencukupi, selain kualiti air dan juga kos terutama makanan dan bekalan elektrik yang tinggi.

Ketika ini, kira-kira 50 peratus kos operasi ladang ternakan udangnya melibatkan makanan dan bekalan elektrik.

Katanya, benih udang yang sampai adalah dikenali sebagai Pl berumur enam atau tujuh hari, dimasukkan ke dalam kolam asuhan selama 45 hari sebelum dimasukkan ke kolam pembesaran selama tiga bulan.

Udang diberi makan pelet dengan kadar dua kilogram bagi seekor udang sehingga ke saiz pasaran.

Saiz pasaran biasanya ialah 30 ekor bagi sekilogram dan harganya ialah RM45 sekilogram. Dia menjual udang ke pasaran tempatan dan juga Singapura.

Ketika ini, dia mampu menghasilkan dua tan metrik udang sebulan iaitu dengan membuat tuaian seminggu sekali.

Dengan dibantu sembilan pekerja yang kebanyakannya sudah bersama beliau sejak awal pembabitan dalam bidang akuakultur, rutin kerjanya bermula awal pagi untuk menyemak semua perkara yang perlu dibereskan pada hari tersebut.

Dia akan bertanya kepada pekerja dan memastikan mereka menyempurnakan tugasan masing-masing kerana selain kolam udang, kawasan tersebut juga dipenuhi pokok buah-buahan yang perlu dijaga.

"Sebenarnya, hasrat saya ialah mahu menjadikan kawasan ini sebagai agro pelancongan satu hari nanti," katanya yang fasih bercakap Melayu.

Malah hasratnya itu mendapat sokongan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan untuk memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan pertanian memandangkan kedudukannya yang strategik dan mempunyai pelbagai 'aset' untuk tatapan pengunjung.

Malah, dia telah memohon bantuan tambahan sebanyak RM350,000 daripada Agrobank untuk meningkatkan kemudahan-kemudahan asas sedia ada.

Kini terdapat pelbagai jenis kolam di kawasan itu selain kolam pembesaran, dia juga membina kolam penyimpanan air, kolam asuhan dan kolam rawatan.

Untuk mencapai tahap tersebut, dia membina semua kemudahan dan sistem yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan serta menambah daya penarik lain untuk tatapan pengunjung.

Antaranya menanam lebih banyak pokok buah-buahan seperti buah naga, buah kedondong, markisa, limau bali dan nangka selain pokok kelapa.

Kawasan kolam tersebut kini merangkumi enam ekar tanaman pokok buah naga dan bakinya sebanyak lima ekar tanaman lain.

Beliau merupakan pemenang anugerah Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 Kategori Usahawan Ikan Jaya (Air Tawar) di Sendayan, Negeri Sembilan.

Kini dia berjaya mengembangkan projek ternakannya di Rembau untuk Projek Berimpak Tinggi (HIP) penternakan udang galah yang baru dimulakan.

.

----- Utusan Malaysia Online

2 comments:

Tok Wan Taiping said...

Salam.Saya pembekal benih udang galah.Sedia menerima tempahan. Hubungi saya 0193113777 yusof.Terimakasih.

Tok Wan Taiping said...

Salam.Saya pembekal benih udang galah.Sedia menerima tempahan. Hubungi saya 0193113777 yusof.Terimakasih.