Tuesday, September 14, 2010

GenKimo


PENGGUNAAN GenKimo dapat mengurangkan kadar kematian akibat serangan penyakit di samping sebagai makanan tambahan ternakan. - Gambar hiasan


Penggunaan bahan kimia seperti antibiotik dalam industri ternakan bagi mempercepatkan tumbesaran mencetuskan pelbagai polemik.

Justeru penggunaan antibiotik walaupun belum diharamkan di negara ini perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan antibiotik, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Bahan berkenaan yang telah siap diproses dan dinamakan probiotik sebagai makanan tambahan ternakan mempunyai mikrob yang hidup untuk tingkatkan kesihatan hos.

"Probiotik menjadikan ternakan lebih sihat dan boleh didapati dalam bentuk cecair, pil atau serbuk mengikut keperluan," kata Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Ramli Mohd. Nor.

Mendapat pendidikan di Jepun, kini beliau giat menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

"Penggunaan probiotik jika digunakan dengan meluas boleh menggantikan antibiotik," katanya.

Biasanya penternak ayam menggunakan antibiotik untuk merangsang pertumbuhan sehinggakan ada negara yang mengharamkan penggunaannya.

Ayam yang diberikan probiotik kurang berlemak sama seperti ayam kampung.

Produk probiotik hasil kajian Dr. Ramli yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

"GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

"Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik," katanya.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal dari Korea Selatan menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

Bagi pelbagai aplikasi, Dr. Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair probiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

"Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya," katanya.

Dr. Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan tambahan ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

"Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

"Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan," katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr. Wan Zahari Mohamed berkata, permintaan berlipat ganda terhadap daging dan telur memberikan impak yang besar terhadap industri ternakan.

Justeru, dengan industri ternakan yang tumbuh bagai cendawan, MARDI dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan FELDA sebagai penganjur bersama serta disokong bersama-sama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan Persidangan Makanan Ternakan Antarabangsa buat kali keempat.

Persidangan tersebut dijadualkan pada 21 hingga 23 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bharu, Johor.

Dr. Wan Zahari menambah,

bagi membantu penternak, penganjur mengadakan Seminar Satelit bertajuk Membangunkan Usahawan Penternakan Berdaya Saing sempena Persidangan Antarabangsa Pemakanan Ternakan (ICAN) ke-4 pada 21 September di tempat yang sama.

"Ia juga bertujuan mempromosikan teknologi pemprosesan makanan supaya nilai pemakanan meningkat selaras dengan kadar pertumbuhan dan tumbesaran ternakan.

"Selain itu persidangan berkenaan dapat meningkatkan jaringan antara penyelidik dari dalam dan luar negara bagi polisi makanan ternakan sejajar dengan senario semasa yang berkaitan dengan industri ternakan unggas dan akuakultur.

"Ini bagi memberikan pendedahan kepada penternak mengenai isu penting dalam pengurusan dan pemakanan ternakan.

"Memberikan peluang kepada peserta mempelajari kaedah pengurusan perniagaan serta mempelajari pengalaman usahawan berjaya," katanya.

.

---- Utusan Malaysia Online

No comments: