Tuesday, September 28, 2010

Usahawan kerapu sangkar



ANAK-ANAK ikan siakap turut dijual Johari kepada penternak lain pada harga RM1.20 seekor.


SEBELUM bergiat aktif sebagai pengusaha ternakan ikan marin dalam sangkar, Johari Awang Besar langsung tidak dapat membezakan rupa di antara ikan kerapu dan siakap.

Namun, 20 tahun kemudian, beliau layak digelar jutawan kerapu kerana ternakan ikan air payau itu berjaya mengubah kehidupannya dengan meletakkan beliau sebagai usahawan akuakultur bumiputera yang berjaya.

Hari ini, Johari, 50, anak tempatan berasal dari Jertih, Besut, Terengganu memiliki 85 sangkar ikan yang mampu memberi pulangan sekurang-kurangnya RM20,000 sebulan.

Bagaimanapun, apa yang dikecapi Johari hari ini bukan diperoleh dengan mudah.

Bermula dari bawah


JOHARI kini antara pembekal ikan kerapu dan siakap utama di Terengganu.


Beliau yang sebelum itu bekerja dengan sebuah syarikat tempatan terpaksa beralih arah mencari rezeki di tempat lain setelah syarikat itu tidak mampu lagi bertahan apabila negara dilanda kegawatan ekonomi.

Johari bagaimanapun berkata, beliau percaya sektor perikanan dan penternakan ikan sangkar yang masih belum banyak diceburi usahawan tempatan pada masa itu, bakal memberi pulangan lumayan.

Bagaimanapun, sebelum mula membuka ternakan sendiri dia terlebih dahulu bekerja dengan pengusaha lain.

Menurut Johari, lewat tahun 1980-an beliau mula bekerja dengan penternak ikan sangkar yang lain.

"Saya diberi gaji sebanyak RM300 sebulan. Memang jumlahnya kecil tetapi daripada situlah saya mula kenal jenis-jenis ikan dan belajar selok-belok penternakan ikan siakap dan aspek pasarannya," katanya.

Setelah mengumpul ilmu dan pengalaman, dalam masa dua tahun Johari membuka kolam ternakan ikan sangkar pertamanya di Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu.

IKAN kerapu mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dalam dan luar negara.


Pembekal kerapu dan siakap

Bertitik-tolak daripada situ, beliau mengusahakan kolam sendiri dan usahanya mula menampakkan hasil dengan sekurang-kurangnya lapan kolam ternakan baru dibuka setiap tahun.

Selain kerapu, beliau turut menternak spesies siakap putih. Benih kerapu juga diasuh di lapan kolam miliknya bagi menjamin bekalan berterusan.

Aktiviti itu melibatkan anak-anak ikan bersaiz satu inci yang dibeli pada harga 22 sen seekor daripada penduduk tempatan yang menjualnya sebagai pendapatan tambahan.

"Dalam tempoh sebulan, anak-anak ikan ini akan mencapai saiz lima inci dan sedia untuk dimasukkan ke dalam sangkar. Selain kegunaan sendiri, benih bersaiz lima inci akan dijual kepada penternak lain pada harga RM1.20 seekor," katanya.

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom (tiga dari kiri) turut melawat kawasan penternakan ikan siakap dan kerapu milik Johari.


Beliau mampu mengeluarkan 28,000 ekor benih dalam tempoh sebulan dan boleh dianggap sebagai pembekal utama benih siakap di Terengganu.

Dibantu lima pekerja, beliau kini mempunyai 13 kolam asuhan dan 85 petak sangkar ternakan ikan siakap berkeluasan 2,000 meter persegi. Kesemuanya dibina dengan modal sendiri yang mencecah RM1 juta.

Bagaimanapun beliau juga menghadapi cabaran dan pernah kerugian ratusan ribu ringgit setelah ikan peliharaannya mati akibat kawasan ternakan dicemari air banjir.

"Ikan jenis ini amat sensitif dan mudah mati jika terdedah kepada air tawar. Ia juga perlu dijaga dengan teliti kerana mudah terkena penyakit," katanya.

Ternakan diberi makanan rumusan dan ikan baja berkualiti bagi menjamin tumbesaran yang baik.

"Sekurang-kurangnya tempoh lapan hingga sembilan bulan diperlukan untuk membolehkan ternakan dipasarkan sekitar berat antara 500 dan 600 gram seekor.

"Saya menjualnya kepada pemborong tetap, restoran dan pasar di sekitar Terengganu dan Kelantan pada harga RM14 sekilogram. Selain itu, saya juga mula memasuki pasaran Pantai Barat," katanya.

Johari juga menjadi pemborong utama hasil laut tangkapan penduduk setempat yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan.

Usaha keras dan komitmennya turut diiktiraf oleh kerajaan apabila beliau dianugerahkan Usahawan Ikan Jaya Kategori Air Payau dalam sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2009 sebelum ini.

- Bernama


No comments: