Rabu, September 01, 2010

Tanam cendawan sejak 25 tahun lalu


Keadaan benih cendawan yang ditempatkan di Kilang Penanaman Cendawan, Kampung Sinaran Baru, Senai.


Cendawan merupakan tanaman makanan yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat kerana keenakannya dan boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Cendawan boleh dinikmati secara segar atau digoreng tepung. Tetapi antara makanan berkaitan cendawan yang paling popular ialah sup cendawan.

Oleh sebab itu, sama seperti peribahasa, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan, begitu juga dengan kemunculan penanam tanaman tersebut ketika ini.

Selepas kerajaan menyatakan komitmen untuk menaikkan martabat industri pertanian, ramai penanam cendawan muncul mengusahakan tanaman tersebut sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

Antaranya seorang pengusaha cendawan di Kampung Sinaran Baru, Skudai, R. Azmi Buang yang mengusahakan cendawan sejak 25 tahun lalu.

''Zaman dahulu cendawan hanya diperoleh menerusi pokok-pokok getah yang telah reput dan pertumbuhannya tidak sekerap mana.

''Tetapi dengan ada teknologi moden ia boleh diperolehi pada bila-bila masa, iaitu selepas benih cendawan terpilih disuntik dan melalui proses pengeraman, dalam tempoh lima hari cendawan terbabit boleh dituai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk itu R. Azmi, 45, juga tidak keberatan berkongsi pengalaman mengenai cara-cara mengusahakan tanaman itu, yang mana langkah awal dengan menyediakan abuk kayu getah, dedak beras, kapur dan polibeg.

"Pemilihan habuk kayu getah kerana ia paling sesuai untuk pertumbuhan cendawan, manakala dedak beras pula penggalak yang mana cendawan akan tumbuh dengan subur termasuk lebar dan bersih serta gebu.

"Kapur pula untuk mengurangkan kemasaman pada 'substrat' (bongkah-bongkah) untuk disuntik dengan benih cendawan terpilih," katanya.

Menurutnya, bagi mengadun bancuhan substrat itu bagi setiap 100 kilogram (kg) habuk kayu getah ia ditambah dengan lapan kg dedak beras, tiga kg kapur dan 80 liter air.

R. Azmi, berkata, adunan itu dimasukkan ke dalam plastik lutsinar berukuran 6 1/2 inci lebar x 14 inci panjang dan ia perlu dibungkus dengan padat yang beratnya antara 1 kg hingga 1.2 kg.

Beliau berkata, selepas itu, bongkah-bongkah tersebut dikukus pada suhu 100 darjah celsius selama tiga jam.

"Selepas sejuk bongkah-bongkah itu akan disuntik dengan benih, di mana setiap satu botol benih mampu untuk disi 35 bongkah.

"Untuk menyuntik benih ia perlu dilakukan di tempat yang betul-betul bersih dan kering dan kemudian pindahkan ke bilik pengeraman dalam tempoh dua bulan," katanya.

Katanya, susunan dan kedudukan bongkah mesti dalam keadaan berdiri supaya 'meselium' (buah) mudah tumbuh.

Tambah Azmi, selepas dua bulan di pondok pengeraman bongkah-bongkah itu di pindahkan ke bangsal pengeluaran yang suhunya mesti di bawah 32 darjah celsius dan kadar kelembapan mesti 60 hingga 80 peratus mengikut ukuran hygro meter, bagi menghasilkan cendawan berkualiti.

"Di pondok pengeluaran kita buka penutup bongkah bagi membolehkan buah cendawan tumbuh secara semula jadi yang lazimnya dalam masa lima hari buahnya boleh dituai.

"Ingin dijelaskan kepingan-kepingan berupa daun yang keluar dari muncung bongkah adalah buah cendawan, jadi yang kita makan itu adalah buah cendawan yang dikenali bahasa sains maselium," katanya..

R. Azmi berkata, setiap satu bongkah boleh mengeluarkan empat kali pengeluaran yang bertanya 250 gram.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung