Saturday, January 12, 2013

1001 macam khazanah stevia



Produk berasaskan stevia kini banyak terdapat di pasaran. - Gambar hiasan

KENYATAAN Kementerian Kesihatan pada 2011 menyebut bahawa pada tahun 2006, dianggarkan kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa hidup dengan diabetes.

Keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ( NHMS) 2011 pula menunjukkan bilangan tersebut telah mencapai lebih tiga juta rakyat Malaysia, hanya dalam tempoh lima tahun sahaja.

Menurut kenyataan itu lagi, apa yang lebih merisaukan kementerian ialah bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi tetapi masih belum diperiksa oleh doktor, iaitu kira-kira dua juta individu dewasa. 

Secara tidak langsung ia menyumbang kepada peningkatan peratus mereka menghidap penyakit ini di negara ini."

Tahukah anda terdapat pemanis alternatif kepada gula yang paling selamat dan tidak bertoksid.

Malah pemanis alternatif ini bukan sahaja selamat digunakan tetapi juga dapat membantu mengawal kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Stevia rebaudiana adalah pokok anugerah Allah yang tidak ternilai. 

Stevia berasal dari Paraguay dan ekstraknya mempunyai kemanisan antara 200 dan 300 kali gula biasa. Daun tanpa proses adalah 15 hingga 30 kali manis daripada gula biasa.

Sejak 1500 tahun dahulu kaum Indian Gurani telah mengguna stevia sebagai pemanis dan juga sebagai ubatan tradisional.

Stevia di tanam secara komersial di negeri China, Jepun, Paraguay, Uruguay, Brazil, Negara-negara Amerika Latin, India, Kanada, Thailand dan beberapa negara timur jauh serta terkini di Malaysia.

Stevia berasal daripada kawasan tropika dan sub-tropika di Amerika Selatan dan Amerika Tengah, ada yang menyatakan ia berasal dari Paraguay.
Selain untuk landskap, stevia digunakan secara meluas sebagai pemanis. 

Namun, stevia yang biasa digunakan sebagai pemanis ialah daripada spesies rebaudiana.

Pokok berkenaan mula digunakan kaum Red Indian Guarani di Paraguay sejak 1500 tahun lalu sebagai pemanis teh herba dan makanan mereka.

Mereka juga menggunakan stevia sebagai penawar menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar.

Di Eropah, kegunaan stevia sebagai pemanis mula disedari pada kurun ke-16 dan ia kemudian dibawa ke Asia. Kajian mengenai tumbuhan ini dimulakan pada awal kurun ke-19 apabila pengkaji di Brazil mendengar cerita yang sehelai daun stevia boleh memaniskan sebiji buah peria dan secawan teh herba yang kelat.

Pakar botani Paraguay, Moises S Bertoni banyak menulis mengenai tumbuhan ini sehingga ramai yang tahu keunikan dan kelebihannya.

Uniknya, stevia adalah pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori dan ekstraknya dikatakan 300 kali lebih manis daripada gula biasa.

Kajian mendapati kandungan utama yang menyebabkannya manis iaitu steviosid tidak mengandungi toksid.

Pokok berkenaan juga didapati tidak menyebabkan mutasi sel dan tidak memberi kesan terhadap kesuburan, namun terdapat konflik terhadap kajian kesuburan stevia.

Satu kajian mendapati ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap kesuburan, manakala satu kajian lain mendapati air yang diekstrak daripada daun stevia didapati menurunkan paras testostron dan bilangan sperma bila diuji pada tikus jantan.

Hasil dari kajian ini saintis merumuskan steviosid yang diambil secara oral adalah berkesan untuk menurunkan tekanan darah dan ia mungkin boleh dipertimbangkan sebagai bahan alternatif atau tambahan untuk pesakit darah tinggi.

Satu kumpulan saintis lagi menjalankan ujian terhadap kesan hipoglisemik glikosid dalam stevia mendapati steviol tidak menghasilkan glukos, bermakna ia baik untuk pengidap diabetes.

Pengkaji Denmark mendapati hipoglisemik in vitro yang dilakukan steviosid dan steviol berupaya menghasilkan insulin melalui tindakan terus terhadap sel-sel beta.

Mereka merumuskan hasil kajian mendapati sebatian ini mungkin mempunyai potensi untuk menjadi ejen antihipeglisemik dalam rawatan diabetes mellitus jenis 2.

Ada pendapat menyatakan stevia juga digunakan sebagai tonik untuk jantung dan berfungsi menstabilkan tekanan darah serta degupan jantung.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu.

Penduduk Jepun adalah pengguna paling besar menggunakan stevia untuk memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Lembaga Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) telah mengiktiraf stevia sebagai Generally Regarded As Safe (GRAS) dan telah memberi kelulusan stevia sebagai makanan tambahan pada 17 Disember 2008.

Bermula tarikh tersebut, berlumba -lumbalah pembuat minuman dan makanan berlumba-lumba menggunakan stevia sebagai pemanis.

Hasil kelulusan FDA itu, prospek tanaman pemanis stevia adalah sangat cerah. Bahkan boleh mengganti gula biasa.

Adalah dijangkakan dalam masa terdekat ini 20 peratus hingga 30 peratus pemanis global adalah stevia

Sifat tanaman

Stevia merupakan satu daripada 240 spesies herba daripada keluarga bunga matahari (Astereacea) .

Justeru, stevia menghasilkan biji benih apabila matang. Pokok ini boleh juga membiak menggunakan biji benih, namun kadar percambahan biji benihnya amat rendah sehingga jarang dibiakkan dengan cara itu.

Maka, pembiakannya selalunya menggunakan keratan batang.

Stevia didapati mengandungi hampir seratus peratus phytonutrients dan minyak mudah meruap (volatile oil), termasuk B-Sitosterol. Tetapi setelah dijadikan ekstrak, maka kandungan nutrien adalah sedikit menurun.

Keseluruhannya stevia adalah herba asli dan telah di guna oleh kaum Gurani di Paraguay lebih 1500 tahun dahulu. Kajian saintifik telah mendapati stevia adalah tidak toksik.

Dengan tidak mempunyai kalori dan karbohidrat , stevia sangat sesuai untuk diguna oleh mereka yang mempunyai masalah kandungan gula tinggi dalam darah.

Daun stevia mempunyai kemanisan 15 hingga 20 manis berbanding gula.
Ekstrak stevia yang dipanggil steviosides (antara 85 dan 95 peratus steviosides) . Walaubagaimanapun, stevia ada sedikit rasa pahit.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130107/ag_02/1001-macam-khazanah-stevia#ixzz2HYCqkNbp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: