Thursday, January 10, 2013

Pemanis untuk kesihatan


Baharudin Jumani menunjukkan pokok stevia yang ditanam oleh beliau untuk tujuan kajian dan pengembangan (R&D).

Maka, ia dianggap makanan ‘terlarang’, terutama bagi pesakit kencing manis kerana kesukaran mengawal paras gula dalam darah.

Stevia pula merupakan bahan pemanis yang tidak mengandungi kalori dan karbohidrat, sesuai untuk kesihatan terutama bagi pesakit kencing manis dan untuk mengawal berat badan.

Menurut pegawai penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Baharuddin Jumani, stevia merupakan tumbuhan yang unik dan kini sedang ditanam dengan meluas di Malaysia.

Biarpun begitu, pokok stevia tidak mampu bertahan lama jika proses penjagaannya tidak dilakukan dengan betul dan teliti.

“Pokok stevia sebagai mana yang kita ketahui bukan berasal dari Malaysia, justeru ia memerlukan kadar sinaran matahari yang lebih panjang.

“Kebiasaannya, pokok stevia yang ditanam di negara ini lebih cepat mengeluarkan bunga akibat kekurangan sinaran cahaya matahari dan situasi berkenaan akan mengakibatkan kurang mengeluarkan daun yang mana menjadi tujuan utama penanamannya.

“Justeru kajian lebih lanjut perlu dilaksanakan bagi memastikan kadar tuaian daun pokok stevia yang maksimum boleh diperoleh," ujarnya ketika ditemui di UPM, Serdang baru-baru ini.

Stevia merupakan genus yang terdiri daripada 150 spesies herba daripada keluarga bunga matahari (Astereacea).

Secara rasmi, stevia ditemui pada kurun ke-19 oleh Dr. Moises Santiago Bertoni dan telah menamakannya sebagai Stevia Rebaudini Bertoni sebagai penghormatan kepada ahli kimia Paraguay.

Stevia juga merupakan tumbuhan yang berasal daripada kawasan tropika dan sub-tropika di Amerika selatan dan Amerika Tengah dan yang digunakan secara meluas sebagai pemanis ialah stevia dari spesies Rebaudiana.

Jelas Baharuddin lagi, stevia merupakan sejenis tumbuhan herba berbatang lembut dan boleh dibiak menggunakan keratan batang.

Bagi proses penanaman stevia, medium yang digunakan ialah tanah dari jenis poros agar air tidak bertakung selepas ia disiram.

Hal demikian kerana, pokok stevia tidak akan bertahan lama sekiranya akar dan pangkal pokok terendam di dalam air.

Tumbuhan tersebut memerlukan air yang mencukupi dan perlu disiram sebanyak dua kali sehari.

Jika dalam keadaan cuaca yang panas, ia perlu disiram dengan lebih kerap kerana tumbuhan ini cepat kering dan mudah mati jika kekurangan air.

Tambah Baharuddin, pokok stevia terdapat di dalam pelbagai bentuk namun kebiasaannya daun stevia berbentuk bujur manakala batangnya halus dan bergerutu.

Dalam keadaan optimun, stevia boleh mencapai ketinggian sehingga satu meter atau lebih.

Pokok berkenaan mengeluarkan bunga kecil berwarna putih. Bunga berkenaan boleh membentuk menjadi biji benih apabila matang namun pembiakan selalunya menggunakan keratan batang.

Keratan batangnya mudah mengeluarkan akar bagaimanapun ia boleh juga dibiak menggunakan biji benih, namun kadar percambahan biji benihnya amat rendah sehingga ia jarang dibiakkan dengan menggunakan kaedah tersebut.

Di luar negara, stevia lebih dikenali sebagai sweetleaf, sugarleaf ataupun sweet herb.

Terdapat pelbagai bahan aktif yang menyebabkan rasa manis pada daun stevia dikenali sebagai steviol glycosides yang mengandungi stevioside dan rebaudioside.

Kelebihan yang terdapat pada stevia tersebut menjadikan ia digemari ramai terutamanya bagi mereka yang ingin mengehadkan pengambilan karbohidrat dan mengelakkan diabetes.

Selain itu, stevia juga didapati boleh mampu merawat tekanan darah tinggi, mengurangkan tahap asid urik dan obesiti.

Stevia telah digunakan sebagai pemanis semulajadi oleh masyarakat di Brazil dan Paraguay sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. - ASHRIQ FAHMY AHMAD


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130107/ag_01/Pemanis-untuk-kesihatan#ixzz2HYBW1DyL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: