Tuesday, April 02, 2013

Vitato ganti gandum


Jejari ubi VitAto memiliki rasa yang lebih enak dan manis secara semulajadi berbanding jejari kentang yang sedia ada di pasaran.

HANYA terdapat di sebelah pantai timur negara, ubi keledek VitAto merupakan produk terbaru MARDI dalam menggantikan pengunaan tepung gandum dalam negara.

Menurut Pengurus Pusat Inkubator MARDI Besut, Terengganu, Mohd. Saiful Nizam Hussein berkata, menerusi penyelidikan yang dilaksanakan oleh pihak institut tersebut mereka berjaya menghasilkan produk makanan berasaskan ubi berkenaan.

“Di kenali sebagai VitAto, produk yang berasakan ubi VitAto ini merupakan bahan terbaik menggantikan tepung gandum dalam menghasilkan produk bakeri seperti donut, kek cawan dan pelbagai lagi.

“Malah, kejayaan menghasilkan produk tersebut adalah dorongan daripada lambakan bahan mentah (ubi keledek VitAto) yang mudah diperoleh di sekitar Besut, Terengganu," katanya ketika di temui di pusat inkubator tersebut baru-baru ini.

Jelas Mohd. Saiful Nizam, teknologi yang berjaya dihasilkan oleh kumpulan penyelidik MARDI itu kini sedang giat dikomersialkan kepada syarikat yang berminat.

‘‘MARDI mempunyai program khas bagi memilih usahawan yang benar-benar berminat dan mampu membawa teknologi kami ke peringkat yang lebih jauh.

Oleh itu, bagi produk VitAto, program tersebut digerakkan di bawah Program Inkubator Makanan (Pemprosesan Makanan Berasaskan VitAto)," katanya.

Sehingga kini, MARDI telah mengeluarkan dua teknologi yang menggunakan VitAto sebagai bahan asas iaitu produk bakeri yang terdiri daripada empat produk iaitu donut, muffin, bun dan juga biskut.

Seterusnya produk jejari VitAto (VitAto fries) bagi menggantikan jejari kentang.

Tambah Mohd. Saiful Nizam, sebanyak empat syarikat telah menunjukkan minat terhadap program pengkomersialan produk berasaskan ubi VitAto tersebut.

Keempat-empat syarikat tersebut telah disaring daripada sejumlah besar syarikat yang mendaftar bagi mencari pengusaha yang benar-benar berminat.

Menerusi program tersebut, pengusaha akan menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh MARDI bagi melatih mereka dalam menghasilkan produk makan siap proses menggunakan ubi VitAto.

Malah, peserta juga akan dibantu bermula daripada pencarian bahan mentah sehinggalah kepada teknik pemasaran bagi memastikan mereka benar-benar berjaya dan mampu mengusahakannya sendiri kelak.

Latihan yang diberikan adalah selama dua tahun termasuk proses-proses permohonan pensijilan status halal daripada pihak berkuasa agama, malah jika prestasi yang ditunjukkan oleh syarikat tersebut baik dan amat memuaskan maka mereka akan terus berada di bawah seliaan pusat tersebut selama setahun lagi.

Bercerita mengenai bahan mentah, jelas Mohd. Saiful Nizam, ubi VitAto mudah ditemui di sebelah pantai timur kerana tanah di sana dikatakan amat bersesuaian untuk menanam produk pertanian tersebut.

Malah, varieti ubi berkenaan itu juga merupakan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI.

Terdapat hampir seluas 200 ekar ladang ubi VitAto di Terengganu dengan kadar pengeluaran 20 tan bagi keluasan satu ekar ladang.

Hasil ubi VitAto dengan varieti baru juga dikatakan mampu mencecah 25 hingga 30 tan seekar jika kena pada musim penanaman yang baik.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130401/ag_01/Vitato-ganti-gandum#ixzz2PJgiCWwe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: