Thursday, March 28, 2013

Nelayan jadi tauke


Tuan kechik membantu pekerja memilih dan membersihkan ikan.

BERMULA kecil-kecilan, Tuan Kechik, 67, pada mulanya hanyalah nelayan sejak remaja yang mengail ikan sebagai mata pencarian.

Dia maju setapak apabila menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pemborong ikan segar jenis tenggiri, parang dan pari dengan berkongsi perniagaan bersama rakan pada tahun 1978.

Melihat kepada potensi ‘kerjaya’ baru itu, mereka membeli bot pukat jerut tetapi menghadapi masalah selepas tiga tahun beroperasi sehingga memaksanya menjual bot berkenaan.

Tuan Kechik bagaimanapun tidak mati akal dengan kegagalan tersebut, sebaliknya menggunakan wang hasil jualan bot untuk memulakan perniagaan sendiri.

Kepayahan hidup menjadi pendorong untuk mengubah nasib dengan berpegang prinsip rezeki secupak boleh dijadikan segantang, satu wacana hidup yang biasa dijadikan panduan.

Mungkin fasa hidupnya yang lebih baik bermula di peringkat ini selepas dia melihat ada potensi untuk mengembangkan perniagaan tersebut.

Bagaimanapun dia terpaksa bermula agak perit termasuk membuat pinjaman dengan Bank Pertanian (sekarang Agrobank) sebanyak RM600,000 bagi membina bilik sejuk (blast freezer) dan membeli dua buah lori kecil.

Kejayaan tersebut mendorong menambah teras perniagaan kepada pemprosesan dengan menghasilkan isi ikan di bawah syarikat Perikanan TS Tiga.

‘‘Pada 2000 saya pinjam RM100,000 daripada Agrobank untuk menambah kemudahan syarikat," katanya semasa di temui pada sesi lawatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu baru-baru ini.

Berkat kesabaran, Tuan Kechik boleh dijadikan teladan usahawan bumiputera kerana berjaya mengubah hidupnya selepas beberapa dekad bermula daripada peringkat awal.

Menyambung bicara, sambil merenung ke arah kenderaan forklift yang bergerak mengangkat barangan, Tuan Kechik berkata, dia berpindah ke Kampung Pandan Jaya Permaisuri di Rhu 10, tapak projek yang menjadi lokasi kilangnya sekarang.

Tuan Kechik berkata, dia melihat ada potensi untuk memajukan industri tersebut memandangkan Setiu terletak di tepi laut dan bekalan mentah boleh diperoleh daripada nelayan.

Dengan adanya komuniti nelayan di itu, timbul idea lain supaya syarikatnya menjadi pembekal ais untuk nelayan, maka dia tanpa membuang masa mengembang perniagaan menjual ais (flake ice).

Malah, kejayaannya itu mendapat perhatian Jabatan Perikanan yang menjadikan syarikatnya sebagai anak angkat, sekali gus mendapat bantuan dalam bentuk khidmat nasihat.

Syarikat tersebut kini mempunyai kemudahan sejuk beku dengan kapasiti 100 tan, alat untuk membelah isi ikan dan penyimpanan air batu.

Bagi menghasilkan isi ikan, dia menggunakan beberapa jenis ikan, tetapi yang biasa digunakan ikan tamban yang dibeli dengan harga RM4.80 sekilogram dan biasanya diperoleh dari Perlis dan Tok Bali, Kelantan.

Dengan produk seperti isi ikan, keropok dan ais, dia merancang untuk menghasilkan produk lain seperti kek ikan dan bebola ikan serta ikan keli beku

‘‘Saya sudah mempunyai bekalan ikan keli segar sebanyak 100 buah kolam di Kampung Kubang Puyu untuk dijadikan ikan beku," ujarnya.

Sebagai persediaan mengendalikan urusan perniagaan Perikanan TS Tiga, salah seorang anak Tuan Kechik, iaitu Tuan Nazuri kini belajar secara perlahan-lahan sebagai pekerja syarikat.

Tuan Nazuri, 38, semakin sibuk mempelajari bagaimana kerja-kera syarikat diuruskan termasuk pengendalian, mengurus kilang dan sebagainya.

‘‘Saya kena belajar daripada sekarang dan sebelum bersedia mengambil alih (dari pada bapa),’’ ujarnya yang kini merupakan pengurus kilang.

Dia yang kelihatan sibuk seperti pekerja lain turut membantu dalam aspek urusan pekerjaan, membayangkan kesediaannya untuk belajar dan akhirnya menerajui syarikat berkenaan. - LAUPA JUNUS.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130325/ag_02/Nelayan-jadi-tauke#ixzz2OfSI0LV4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: