Selasa, Mei 07, 2013

Ahmad tauke belangkas

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kepakarannya terhadap spesies belangkas yang terdapat di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, tidak boleh dipertikaikan kerana berpengalaman mengendalikan haiwan eksotik itu hampir 30 tahun.

Ahmad Mustafa, 47, mampu mengenali jantina belangkas dengan mudah, selain mengetahui usia belangkas yang dijual nelayan kepadanya. 

Ketika membelek-belek haiwan itu di pusat pengumpulannya, baru-baru ini, dia dilihat menekan kulit belangkas dengan tangan bagi menentukan usianya sebelum menasihatkan agar ia dilepaskan semula ke laut kerana berkulit lembut.

Usia seperti itu tidak sesuai untuk tujuan urus niaga kerana ia baru menjangkau sembilan tahun, sedangkan tempoh me­ngawan ketika berusia 10 tahun ke atas.

Selain belangkas muda, dia juga menasihatkan nelayan supaya melepaskan belangkas jantan yang mempunyai saiz lebih kecil supaya haiwan itu dapat mengawan dengan belangkas betina lain.

Bermodalkan RM100,000, Ahmad membangunkan pusat penternakan berkenaan dengan membina sebanyak sembilan kolam bagi menempat­kan kira-kira 15,000 ekor belangkas yang dijual nelayan.

Dia juga bernasib baik kerana memperoleh peruntukan berjumlah RM35,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membangunkan bilik penetasan belangkas yang dibangunkan di dalam ba­ngunan 0.4 hektar.


Ahmad berkata, semua belangkas yang dikumpul di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan dalam penjagaannya dalam tempoh sebulan sebelum dieksport ke luar negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat.


“Pasaran belangkas ketika ini agak baik. Belangkas diketahui amat digemari penduduk Thailand yang menggunakan telurnya untuk dijadikan kerabu, selain dijadikan produk farmaseutikal.


“Selain itu, belangkas mendapat permintaan tinggi di Amerika Syarikat kerana telurnya yang ‘separa menjadi’ dan membusuk digunakan sebagai umpan ikan,” katanya.


Berkongsi pengalaman katanya, belangkas banyak diperoleh pada Januari hing­ga Mac, namun kembali menyusut pada bulan berikutnya.


“Pada Januari hingga Mac, sekurang-kurangnya 15,000 ekor belangkas dapat dikumpulkan daripada nelayan tempatan kerana tempoh berkenaan digunakan pasangan haiwan itu mengawan dan melepaskan telur.


“Belangkas hanya naik ke kawasan pantai berpasir untuk melepaskan telurnya dan akan kembali turun ke laut sebaik semuanya selesai,” katanya yang turut mengakui bilangan belangkas berkurangan sehingga 10,000 ekor pada April hingga Jun.


Dia menggalakkan nelayan supaya menjual terus haiwan laut berkenaan kepada pusat pe­ngumpulan belangkas kerana harga sangat tinggi iaitu sekitar RM7 hingga RM9 seekor.


“Bukan saja kami menjanjikan semua belangkas diambil, tetapi harga yang dibeli daripada nelayan masih tinggi, berbanding pengumpul haram dari Thailand meletakkan harga murah RM4 seekor.


“Malah, ada pengumpul tidak bertanggungjawab membiarkan haiwan itu jika berlaku lambakan di pasaran tempatan,” kata­nya.


Menyentuh mengenai pusat penetasan belang­kas, katanya usaha berkenaan bagi memastikan haiwan eksotik itu tidak pupus di perairan negara.


“Projek LKIM itu bermula pada 2011 dan teknik penetasan mengikut kaedah semulajadi di pesisir pantai.


“Saya menggunakan kaedah pasang surut air laut dua kali sehari dan benih belangkas ditempat­kan di bilik khas menggunakan sistem pe­ngairan air laut,” katanya.


Berkaitan perancangan masa depan, beliau berharap sebuah pusat penetasan belangkas dapat diwujudkan di kawasan berkenaan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan LKIM.


Katanya, sebuah bilik sejuk juga akan diba­ngunkan di pusat pendaratan LKIM Sedili tidak lama lagi bagi memudahkan penghantaran belangkas sejuk beku ke Amerika Syarikat. 

sumber: Harian Metro 

Tiada ulasan:

Penjagaan kesihatan dengan kos yang optimum

. Dengan kemajuan penjagaan kesihatan dan rawatan yang semakin meningkat, kos penjagaan kesihatan juga turut meningkat.  . Tujuan pelan pe...