Sabtu, Mei 11, 2013

Manisan penyeri majlis perkahwinan


Buat masa ini Rohana hanya memiliki dua unit dapur yang dibekalkan oleh MARDI.

DIJADIKAN sebagai buah tangan bagi tetamu yang hadir di setiap kenduri kahwin, gula-gula atau manisan Terengganu merupakan antara makanan popular di negeri pantai timur tersebut.

Usahawan industri kecil sederhana (IKS) Rohana Md. Noor, 49 menjadikan manisan tersebut sebagai punca pendapatan utamanya.

Bermula daripada suka-suka akhirnya Rohana membuka sebuah bangsal berhampiran rumahnya untuk membuat manisan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kampungnya.

“Saya tidak memiliki pelajaran yang tinggi, jadi saya cuba-cuba buat gula-gula ini dan jual kepada pelajar sekolah dan orang ramai sekitar kampung," katanya ketika ditemui dalam program lawatan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Jelas Rohana lagi, gula-gula atau manisan tersebut bukanlah produk baru, malah produk makanan tersebut amat dikenali sekitar Kuala Terengganu.

“Manisan ini merupakan makanan tradisional orang dulu-dulu, tetapi saya cuba perbaharui dengan menambah pelbagai perisa lain serta kekacang.

“Resipinya saya peroleh daripada ibu saya dan daripada dia jugalah saya belajar membuat manisan ini," katanya.

Menerusi kelainan yang dibuat oleh Rohana, manisannya mendapat perhatian sekitar kampung sebelum ada yang datang dari luar untuk menempah.

Sehingga kini, Rohana tidak menang tangan untuk menghasilkan manisan apabila tempahan yang diterima semakin meningkat.

Jika dahulu, proses pembuatan manisan tersebut hanya dilakukan di dalam rumah dan secara kecil-kecilan.

Namun setelah mendapat bantuan daripada MARDI berupa bantuan pembinaan bangsal, peralatan memasak, rak serta kursus rezekinya semakin bertambah.

Menurut Rohana, dia hanya menggunakan gula kabung, kacang serta perisa bagi mendapatkan kelainan.

“Sehari saya akan mengacau (masak) tiga buah kuali yang mana setiap kulai mampu menghasilkan hampir 30 bungkus manisan.

“Setiap bungkusan mengandungi 10 biji manisan pelbagai perisa," katanya.

Apa yang menjadi kekangan Rohana adalah, bermula proses mengacau adunan manisan yang memerlukan hampir tiga jam, menguli sehingga kepada pembungkusan adalah dilakukan secara manual.

Buat masa ini, Rohana dibantu oleh adik-beradik serta anak-anaknya bagaimanapun manisan yang dihasilkan adalah terhad serta tidak mampu memenuhi permintaan yang ada.

Rohana pernah menerima tempahan sehingga 1,000 bungkus sehari namun terpaksa menolak dengan cara baik kerana tidak mampu menghasilkan manisan sebanyak itu.

Bagaimana pun, dia bercita-cita untuk memiliki sebuah mesin khas yang mampu membantunya mengacau manisan agar masa memasak dapat dipendekkan.

Selain membantu menyediakan kemudahan peralatan memasak serta bangsal khas untuk membuat manisan, MARDI turut membantu Rohana dalam urusan pembungkusan produk.

Ujarnya, pelekat yang digunakan pada bungkusan tersebut juga turut disediakan oleh MARDI bagi membantu mempromosi produknya.

Dia juga menghasilkan produk sampingan yang dikeluarkan mengikut tempahan dan kebiasaannya tempahan diterima apabila menjelangnya musim perayaan.

Produk manisan Rohana turut dipasarkan keluar Terengganu, namun dia lebih menumpukan perhatian dengan menghasilkan manisan untuk dijadikan buah tangan majlis kenduri kahwin.

“Untuk tempahan kenduri kahwin pun kadang kala saya tidak menang tangan, tapi syukurlah usaha saya selama ini semakin membuahkan hasil," katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130429/ag_02/Manisan-penyeri-majlis-perkahwinan#ixzz2SzjAuHcr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Peluang bisnes yang tidak harus dilepaskan

STG..?? APA ITU STG..???  😍 😍 Kami team Smart Tycoon Group (STG). Team terbesar yg bernaung di bawah salah satu syarikat yg pa...