Jumaat, Januari 30, 2009

Rahsia Chocolate House Azizi

Oleh HANIZA HASSAN
KOTA TINGGI 29 Jan. - Apabila bercerita mengenai coklat, baik lelaki atau wanita, pasti terbayang tentang keenakan dan aroma makanan kegemaran ramai itu.
..
Malah, terasa enak tatkala coklat cair di dalam mulut ditambah pula dengan campuran kepingan badam, kismis dan pelbagai jenis bahan tambahan.
..
Kini, coklat bukanlah satu 'makanan mahal' seperti yang pernah 'berlegar' dalam minda penggemarnya suatu ketika dahulu kerana ia merupakan makanan yang cukup digemari segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal usia.
..
Mengimbau kenangan dahulu, coklat hanya dihidangkan ketika majlis-majlis tertentu seperti jamuan makan malam korporat atau majlis perkahwinan, itu pun hanya diberikan sebagai hantaran kepada pasangan masing-masing.
.
Namun kini, pendekatan tersebut telah mengalami sedikit perubahan apabila coklat mula dihidangkan kepada umum tidak kira majlis malah ada yang menjadikannya sebagai makanan ringan.
..
Lebih mengujakan, coklat turut dilihat mampu untuk menceriakan hati pasangan masing-masing apabila dijadikan hadiah untuk hari bahagia. Tetapi, jarang sekali kita mendengar terdapat coklat buatan Malaysia terutama 'buah tangan' anak Melayu berada di pasaran.
..
Tercabar untuk merealisasikan impian itu, Mohd. Hairul Azizi Amat Tokimin, 29, merasa terpanggil untuk menceburi bidang perniagaan pemerosesan makanan berasaskan coklat.
.
Bernaung di bawah syarikat Brely's Secret, jejaka yang lebih selesa dipanggil Azizi itu mempertaruhkan resipi rahsia coklatnya untuk dinikmati oleh penggemar coklat. Mungkin jenama coklat seperti Dark Chocolate, Marble Chocolate, Milk Chocolate dan Mix Chocolate agak asing kepada penggemar coklat di Malaysia, namun bagi Azizi itulah cabaran yang paling besar harus ditempuhinya bagi memastikan coklat jenamanya itu mampu bersaing dengan coklat jenama luar negara yang lain.
..
Bercerita berkenaan syarikatnya, kata Azizi, Brely's Secret telah ditubuhkan pada 31 Januari 2008 di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Brely's Secret merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan khususnya dalam bidang pemakanan yang berasaskan coklat.
..
Syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan pembungkusan produk makanan ringan dan cenderamata untuk majlis eksklusif.
..
"Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah pembungkusan makanan untuk majlis perkahwinan dan makanan ringan daripada usahawan dan peniaga setempat," katanya.
..
Biarpun hanya berusia 'setahun jagung', Brely's Secret mampu berbangga apabila syarikat tersebut berjaya menghasilkan pelbagai produk coklat sehingga 60 jenis.
Misi bagi menjayakan perniagaannya dimulakan dengan membuka sebuah bilik pameran yang dinamakan sebagai Chocolate House di Bandar Penawar, di sini awal bulan ini.
..
Biarpun 'rumah coklat' itu hanya berusia tidak sampai sebulan, mereka tidak 'sunyi' apabila saban hari menerima kunjungan daripada pelancong dan masyarakat setempat.
..
"Boleh dikatakan setiap hari kami akan menerima kunjungan yang kebanyakan adalah pelancong. Mengikut rekod yang kami buat sehingga kini lebih 20 buah bas membawa pelancong datang melawat ke Chocolate House kami," katanya.
..
Ditanya mengenai resipi coklatnya, beliau hanya tersenyum sambil menjawab: "Itu rahsia. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan resipi tersendiri. Itu sebabnya nama syarikat saya dan juga jenama produk ada perkataan secret (rahsia).
..
"Semua coklat dibuat di sebuah kilang di Bandar Tenggara dengan jumlah pekerja seramai empat orang. Bahan mentah utama yang digunakan adalah koko yang diperoleh dari Sabah," katanya sambil memberitahu bahawa produk coklatnya dijual antara 80 sen sehingga RM290.

1 ulasan:

miss liyana berkata...

assalamualaikum...
sy bruje rasa coklat ni mgu lepas.
sgt sedap.bkn coklat jer sedap tapi ader yg satu mcm kcg tumbuk tu.huh rangup sgt2..
sy dpt dr umah org kawin trus cari kt lmn web ni huh.
nanti sy nk tempah jugakla mase mjlis perkahwinan sy.hehe..
ade diskaun x?^-^

Penjagaan kesihatan dengan kos yang optimum

. Dengan kemajuan penjagaan kesihatan dan rawatan yang semakin meningkat, kos penjagaan kesihatan juga turut meningkat.  . Tujuan pelan pe...