Friday, June 12, 2009

Pendapatan pelaburan KWSP susut 10.47 peratus

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan penurunan 10.47 peratus pendapatan pelaburan belum audit kepada RM3.26 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding RM3.64 bilion pada suku keempat 2008.
..
Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata penurunan jumlah pendapatan pelaburan dalam suku kajian itu disebabkan penurunan pulangan pelaburan daripada instrumen berpendapatan tetap dan ekuiti.
..
Katanya, penyumbang tertinggi kepada pendapatan KWSP dalam tempoh itu adalah pinjaman dan bon yang mencatatkan pulangan sebanyak RM1.78 bilion, susut 2.15 peratus berbanding RM1.82 bilion pada suku keempat 2008.
..
Setakat 31 Mac 2009, sebanyak 36.81 peratus daripada pinjaman dan bon telah dilaburkan ke dalam syarikat penarafan kredit AAA manakala 49.97 peratus lagi kepada syarikat penarafan AA. Beliau berkata, Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) menyumbangkan pendapatan kedua tertinggi bagi tempoh itu dengan memberikan pulangan sebanyak RM1.11 bilion, berkurangan 13.23 peratus daripada RM1.28 bilion pada suku keempat 2008.
..
“Walaupun pulangan pinjaman dan bon serta SKM menurun, KWSP akan terus melabur dalam instrumen terbabit kerana ia menyumbang kepada pengekalan modal dan perolehan pendapatan yang stabil, selaras mandat pelaburan KWSP yang mengutamakan instrumen berisiko rendah.
..
“Keadaan pasaran dijangka kekal mencabar berikutan kesan kemelesetan global terhadap ekonomi domestik, namun prospek di luar negara yang semakin baik, dorongan fiskal dalam negeri yang kukuh dan kewujudan kecairan yang tinggi dijangka merangsang prestasi pasaran pada separuh tahun kedua ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
..
Bagi suku pertama 2009, ekuiti menyumbang RM223.83 juta selepas peruntukan susut nilai pelaburan berikutan kemerosotan harga pasaran ekuiti, berbanding RM342.54 juta pada suku keempat tahun lalu.
..
KWSP akan terus melabur dalam saham mewah dengan tumpuan utama kepada dua sektor iaitu sektor dagangan dan perkhidmatan yang mewakili 37.43 peratus daripada jumlah pelaburan dalam pasaran ekuiti dan sektor kewangan (33.93 peratus). Pelaburan kurang daripada 10 peratus dibuat dalam sektor perladangan (8.66 peratus), barangan industri (6.98 peratus) dan pembinaan (4.59 peratus).
..
Azlan menambah, keadaan pasaran dijangka kekal mencabar dalam masa terdekat berikutan kesan kemelesetan global terhadap ekonomi domestik. “Bagaimanapun, prospek di luar negara yang semakin baik, dorongan fiskal dalam negeri yang kukuh dan kewujudan kecairan yang tinggi dijangka merangsang prestasi pasaran pada setengah tahun kedua 2009,” katanya.
..
Sementara itu, instrumen pasaran wang mencatatkan pulangan RM120.11 juta, menurun daripada RM143.21 juta yang dicatatkan suku keempat 2008 manakala hartanah menyumbangkan RM20.63 juta kepada pendapatan KWSP merosot berbanding suku sebelumnya iaitu RM51.32 juta. Saiz dana keseluruhan KWSP adalah RM348.16 bilion, meningkat 1.93 peratus daripada RM341.56 bilion yang direkod sebelumnya. -Berita harian

No comments: