Tuesday, June 09, 2009

Taman Burung Unta Perlis

SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL
utusanperlis@utusan.com.my

PADANG BESAR 8 Jun - Ostrich atau burung unta merupakan spesies burung yang paling pantas, besar, tinggi dan paling lasak.
..
Burung unta atau dikenali dengan nama saintifiknya, Struthio Camelus berasal dari kawasan savana dan separa-gurun Afrika di utara dan selatan zon hutan khatulistiwa.
Haiwan ini merupakan spesies burung terbesar yang masih hidup sehingga hari ini.
..
Ketinggiannya boleh mencecah sehingga 2.5 meter dan ia cukup besar untuk seseorang dewasa berbadan kecil menunggangnya sehingga di sebahagian kawasan Afrika Utara dan Arab burung ini dijadikan tunggangan perlumbaan tradisi.
..
Burung unta adalah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah tetapi ia tidak boleh terbang, sebaliknya mampu berlari sehingga 65 kilometer sejam.
..
Burung unta dipelihara sebagai sumber daging di kawasan sejuk seperti Sweden dan digunakan untuk produk kesihatan serta perubatan.
..
Minyak burung unta mengandungi Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang digunakan untuk mengubati arthritis, radang, perit dan sakit otot, dermatitis, kulit kering, rambut kering, sakit urat akibat terlalu lama berbaring dan beberapa penyakit lain oleh orang Mesir purba, Rom purba dan orang Afrika.
..
Menyedari kepentingan burung unta ini selain boleh dijadikan produk pelancongan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis memelihara kira-kira 24 ekor burung unta berhampiran Kampung Tersusun, Padang Besar, di sini.
Penyelenggaraan Taman Burung Unta itu dikendalikan sebuah syarikat swasta tempatan secara kontrak.
..
Menurut penjaga taman itu, Mohd. Taufid Harun, 20, Taman Burung Unta yang terletak berhampiran jalan daripada Kangar menuju ke Padang Besar itu menjadi tumpuan orang ramai terutama pengunjung yang mahu melihat keunikan burung tersebut secara dekat.
..
Katanya, setiap petang terutama hari minggu kawasan burung unta itu akan menjadi tempat persinggahan orang-ramai terutama selepas mereka pulang membeli- belah di Padang Besar.
..
''Ramai yang berhenti untuk melihat dengan lebih dekat burung paling besar ini dan bergambar dengannya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
''Bagi mereka yang berani terdapat burung yang telah dilatih untuk ditunggang di sini," katanya.
..
Menurut Taufid, jika bernasib baik, pengunjung juga boleh membeli telur burung unta dengan harga berpatutan sebagai cenderamata atau untuk dimakan.
..
''Di sini terdapat 14 ekor burung unta jantan dan 10 betina yang bertelur selang dua hari.
..
''Telur ini ada juga yang diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis untuk proses penetasan," ujarnya.
..
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui kagum dengan usaha kerajaan negeri Perlis mewujudkan Taman Burung Unta untuk tatapan orang-ramai.
..
Mohd. Akhmal Azmi, 23, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, kewujudan Taman Burung Unta itu boleh dijadikan tarikan untuk mereka yang berkunjung ke Perlis terutama Padang Besar.
..
Katanya, Padang Besar telah dikenali sebagai tempat membeli-belah dan kedudukan taman itu yang berada di tepi jalan ke Padang Besar merupakan bonus kepada pengunjung.
..
''Sebelum ini, saya dan keluarga tidak pernah melihat burung unta secara dekat dan apabila melalui kawasan ini saya mengambil peluang untuk mendekati haiwan unik ini.
..
''Burung unta sangat menarik terutama bagi kanak-kanak yang sebelum ini hanya boleh melihat haiwan ini melalui televisyen," ujarnya.
..
Norhishamudin Bura, 37, yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur berkata, dia sering membawa anak-anaknya untuk berehat di taman itu apabila pulang ke kampungnya di Perlis.
..
''Anak-anak saya suka menghabiskan masa di sini dan memberikan burung unta makan sayur kangkung yang disediakan," katanya.
..
Bagi Shima Kamal, 36, dia berpendapat Taman Burung Unta itu akan lebih menarik sekiranya beberapa kemudahan awam disediakan untuk pengunjung.
..
''Kawasan ini akan lebih meriah jika ada usaha pengindahan, terdapat gerai dan tempat menjual cenderamata kerana pada pandangan saya ini adalah satu kerugian jika kewujudan taman ini tidak digunakan sepenuhnya.
..
''Saya melihat kawasan ini mempunyai potensi untuk dijadikan salah satu tarikan pelancongan di Perlis kerana tidak banyak tempat yang mempunyai burung unta... tambahan pula ia berada di laluan ke Padang Besar yang menjadi tumpuan," katanya.
..
Katanya, adalah lebih menarik jika beberapa haiwan lain seperti kuda diletakkan berhampiran kawasan Taman Burung Unta bagi memberikan kepelbagaian kepada pengunjung.
..
''Rusa yang terdapat berhampiran kawasan ini juga boleh dijadikan tarikan jika ia diuruskan dengan baik bagi memudahkan pengunjung melihatnya.
..
''Kawasan ini boleh dijadikan tempat berehat selepas penat membeli-belah di Padang Besar," jelasnya.

No comments: