Selasa, Julai 06, 2010

Darwin saksikan kejayaan penternak Melayu

Oleh Shamsiah Zulkafli(Yang mengikuti lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke Darwin, Australia, baru-baru ini)Gambar ihsan GLOBAL LIVESTOCK SDN. BHD. dan GLOBAL VETERINARY SDN. BHD
.
SIAPA kata anak Melayu tidak boleh berjaya di bumi orang? Jika dulu bangsa kita dipandang kecil di peringkat global, kini usahawan Melayu juga mampu berdiri sama tinggi apabila berjaya menembusi pasaran yang dikuasai mat saleh.
.
Syarikat bumiputera Melayu Global Livestock Sdn. Bhd. (GLC) membuktikan bahawa Melayu boleh bertapak di benua Australia.
.
Walaupun hanya di Darwin, sebuah bandar kecil di Wilayah Utara Australia, ia tetap boleh dibanggakan.
.
Darwin mungkin tidak sepopular Sydney, Melbourne, Gold Coast dan Canberra, tetapi ada sesuatu yang istimewa di daerah yang digelar top end ini.
.
Terletak paling utara di Australia, bandar kecil yang dihuni kurang 150,000 penduduk ini memainkan peranan penting kepada ekonomi Australia melalui sektor ternakan lembu dengan nilai industri kira-kira RM1.32 bilion setahun.
.
Buat masa ini, terdapat kira-kira dua juta ekor lembu diternak di Darwin, dengan keluasan ladang yang meliputi 50 peratus daripada keluasan sebenar Darwin.
.
Sebanyak 90 peratus daripada lembu hidup Australia dieksport ke Indonesia, tetapi hanya 4.7 peratus ke Malaysia dengan status halal yang diragui.
.
Berdasarkan keadaan itu, GLC meneroka industri ternakan di Australia dengan objektif membekalkan lembu hidup dan daging halal ke seluruh dunia terutamanya Malaysia.
.
Sebagai satu-satunya pemain bumiputera dalam sektor itu di Darwin, GLC berpotensi muncul sebagai satu-satunya pengeksport daging halal di dunia yang beroperasi di Darwin.
.
Ketua Pegawai Eksekutif GLC, Isa Al-Zubaidi berkata, kemudahan ladang kuarantin dan eksport yang dimiliki GLC membolehkan syarikat itu menjalankan aktiviti eksport lembu hidup.
.
Dengan akreditasi yang diperoleh dari Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Australia (Aquis), kemudahan GLC juga layak digunakan ladang-ladang ternakan tempatan di Darwin bagi tujuan eksport.
.
Isa berkata, beliau terpanggil untuk menubuhkan satu syarikat ternakan di Darwin berdasarkan pengalamannya lebih 25 tahun dalam industri ternakan.
.
“Selama ini saya berperanan sebagai ejen yang membawa masuk bekalan lembu hidup Australia ke Indonesia.
.
“Saya terfikir mengapa Malaysia yang lebih maju tidak boleh mengimport daging lembu dari benua ini, tetapi kita masih mengharapkan import daging dari India yang sebenarnya daging kerbau dan bukan daging lembu.
.
“Bermula dari situ, saya mewujudkan satu
pasukan sendiri dan membuka GLC setelah membeli sebuah ladang ternak di Darwin dengan modal sebanyak RM16.5 juta,” katanya kepada MEGA baru-baru ini.
.
Berdasarkan eksport daging Australia yang lebih 85 peratus dibuat ke negara luar, GLC yakin dengan status halal yang diperoleh, pihaknya dapat mencapai bahagian pasaran dalam industri itu kerana daging halal mendapat permintaan yang sangat tinggi.
.
Ladang GLC di Batchelor, Darwin, yang mempunyai keluasan 800 hektar, mampu memuatkan sebanyak 10,000 ekor lembu pada satu-satu masa.
.
Lembu baka spesies Brahman
.
Mempunyai 15 petak ragut, buat masa ini GLC menempatkan lebih 700 ekor lembu baka spesies Brahman dan Brahman kacukan yang diperoleh dari ladang-ladang lain di Darwin untuk dieskport ke Indonesia sebagai lembu baka untuk tujuan pembiakan.
.
Selain menerima lembu dari ladang ternakan tempatan lain, GLC turut menggunakan jenama YCI untuk lembu-lembu keluarannya.
.
Bagi tujuan eksport lembu baka, lembu-lembu yang diterima dari ladang lain kebiasaannya berumur sehingga satu tahun setengah sebelum disimpan di padang ragut GLC dalam tempoh antara dua dan tiga bulan lagi sebelum dieksport.
.
Di GLC, prosedur mengenal pasti lembu akan dilakukan dengan mengimbas tanda atau tag pada lembu yang juga dikenali sebagai pengenalan menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memperoleh data dari ladang mana lembu itu diterima sebelum ia disembur dengan racun serangga dan dikuarantin selama lima hingga tujuh hari.
.
Selesai menjalani proses kuarantin, lembu baka akan diimbas sekali lagi sebelum boleh dieksport.
.
GLC turut menjalankan proses penggredan lembu sekiranya lembu dibawa dalam kumpulan rawak dan bercampur jantina.
.
Bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan yang dimiliki GLC, satu delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini berkunjung ke Darwin.
.
Dalam kunjungannya, Noh yakin GLC mampu menjadi pembekal lembu hidup dan daging halal Australia ke Malaysia sebaik kemudahan rumah sembelih di ladang itu dinaik taraf dengan pembiayaan sebanyak RM9 juta yang diperuntukkan kerajaan.
.
Dengan kapasiti penyembelihan sebanyak 200 hingga 300 ekor sehari, beliau berkata, GLC mampu menawarkan bekalan gading halal yang mencukupi ke Malaysia.
.
“Dengan kewujudan GLC, kita juga tidak perlu lagi berurusan dengan ejen bagi mendapatkan bekalan lembu Australia, sebaliknya terus kepada GLC bagi mendapatkan daging berkualiti premium,” kata Noh baru-baru ini.
.
Beliau berkata, bekalan lembu dari GLC juga mampu membantu merealisasikan projek Ladang Satelit di Malaysia menjelang lima hingga 10 tahun akan datang yang memerlukan 40,000 ekor lembu setahun.
.
Isa dalam pada itu berkata, sebagai syarikat yang menjalankan aktiviti eksport lembu antarabangsa, pihaknya turut mendapatkan rundingan dari syarikat veterinar, Global Veterinary Sdn Bhd.
.
Dengan harapan yang tinggi untuk memasuki pasaran Malaysia, beliau berkata, beberapa pelan jangka panjang telah dirancang bagi membantu memajukan industri ternakan di Malaysia.
.
“Kita berhasrat menjadikan GLC sebagai satu pusat perniagaan dan penyelidikan untuk pusat-pusat penyelidikan Malaysia.
.
“Kita boleh membawa pengusaha-pengusaha baru ladang dan penternak untuk menjalani latihan di sini kerana Australia memang maju dalam sektor ternakan,” katanya.
.
Tambahnya, usaha sama juga dibuat dengan Universiti Darwin bagi bidang kejuruteraan genetik bagi menghasilkan genetik ternakan berkualiti yang boleh dibawa ke Malaysia.
.
“Seperti yang diketahui, lembu-lembu di Australia bebas penyakit kaki dan mulut, jadi kita boleh membawa masuk embrio Brahman tulen yang bebas penyakit ke Malaysia bagi menambah baka baik lembu,” ujarnya.
.
---- Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...