Oleh Noor Adila Ali
.
JELI, 13 Julai (Bernama) -- Ingin menikmati cokelat buatan tangan yang enak dan halal dengan pelbagai bentuk yang menarik dan unik mengikut cita rasa?
.
Soufe's Chocolate adalah jawapannya.Di sebalik pelbagai persepsi negatif masyarakat tentang cokelat tempatan yang dikatakan tidak selazat cokelat import, Mohd Saupe Zakaria, 48, anak jati Bukit Bunga dekat sini tetap yakin potensi industri tersebut sangat cerah.
.
Justeru, beliau yang kini merupakan satu-satunya pengusaha cokelat buatan tangan di Kelantan nekad mengusahakan perniagaan tersebut bagi membuktikan cokelat mampu memberi pendapatan lumayan sebagaimana industri lain."Siapa sangka pelbagai golongan, baik yang kecil sehinggalah yang tua, semuanya menggemari cokelat.
.
Apa yang membezakan adalah cita rasa mereka sama ada suka pada cokelat yang asli tanpa campuran atau cokelat yang dicampur dengan kacang, emping atau sebagainya.
.
"Inilah yang membuka mata saya pada awalnya untuk menceburi bidang pembuatan cokelat buatan tangan ini kerana cokelat sebenarnya satu industri yang cerah dengan permintaan tinggi diperoleh daripada pelanggan, apatah lagi di Kelantan yang mana belum ada lagi golongan Melayu yang benar-benar serius mengusahakan perusahaan ini dan ia satu cabaran buat saya," katanya kepada Bernama di sini.
.
Dengan modal permulaan RM10,000, Mohd Saupe berkata beliau memulakan perniagaan yang beroperasi di kediamannya di Bukit Bunga dengan jiran dan saudara mara sebagai 'juri' yang menguji rasa cokelat buatannya.
.
Beliau berkata biarpun peniagaannya masih di tahap kecil-kecilan dan baru beroperasi selama lima bulan, potensi perusahaan itu jelas kelihatan apabila bukan sahaja individu bahkan pihak hotel, pasaraya, jabatan kerajaan mahu pun mereka yang ingin mengadakan kenduri perkahwinan dari pelbagai negeri sanggup turun ke negeri ini bagi menempah cokelat buatannya.
.
"Saya menyertai kursus dan mempelajari kaedah menghasilkan cokelat dengan Lembaga Koko Malaysia dan sehingga kini setiap hari saya mampu mengeluarkan kira-kira 20 kilogram sehari cokelat dari buah koko," katanya.
.
Menariknya, cokelat buatan tangan jenama Soufe's Chocolate ini tidak terhad kepada satu bentuk sahaja, tetapi ianya dibuat mengikut cita rasa dan tempahan pelanggan.
.
"Biasanya coklat dibuat bentuk bulat, bentuk bar atau bentuk hati tetapi Soufe's Chocolate menawarkan lebih dari itu. Sebagai contoh, kami membuat coklat berbentuk segi tiga, berbentuk bintang dan juga berbentuk seperti cincin untuk majlis perkahwinan, mengikut cita rasa pelanggan," katanya.
.
Menurutnya, antara perisa coklat yang dikeluarkannya termasuk perisa strawberi, oren, kismis, nenas, salutan kelapa, salutan gempang, gajus, emping jagung dan bertih, juga mengikut cita rasa yang digemari pelanggan.
.
Selain itu, demi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan industri pemprosesan makanan, Mohd Saupe berkata beliau juga menjual cokelatnya dengan harga yang berpatutan, iaitu antara RM4.50 sehingga RM25.00 sahaja bergantung pada saiz dan berat cokelat berkenaan.
.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment