Monday, July 19, 2010

Usahawan Berasaskan Makanan Berproses Digalak Memohon Jenama 1 Malaysia Best

MELAKA, 19 Julai (Bernama) -- Syarikat pengusaha makanan berproses di Melaka digalakkan memohon surat perakuan logo 1 Malaysia Best bagi membantu menaik taraf makanan berproses keluaran tempatan bagi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata objektif penggunaan logo tersebut juga untuk mewujudkan satu jenama yang beridentiti Malaysia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bagi pasaran tempatan dan global.

"1 Malaysia Best merupakan satu perakuan jenama yang melambangkan identiti Malaysia untuk meningkatkan jualan dan profil produk berasaskan pertanian di pasaran tempatan dan global."

"Jenama ini merupakan lambang pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kualiti produk ke pasaran tempatan dan global"," katanya semasa berucap di majlis taklimat penjenamaan 1 Malaysia Best oleh pegawai kementerian berkaitan di sini Isnin.

Taklimat disampaikan oleh pegawai dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata para pemohon perlu membuat permohonan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan logo itu dikeluarkan setelah memenuhi kreteria keselamatan dan kualiti produk ditentukan dengan berpandukan Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan dan pengiktirafan halal Malaysia.

Produk yang mempunyai jemana tersebut juga akan dibantu oleh Famaco Sdn Bhd iaitu anak syarikat Lembaga Pemasaran Pertanian persekutuan (FAMA) untuk dipasarkan keseluruh negara dan antarabangsa.

Pada majlis itu, enam syarikat pengusaha makanan berproses di negeri Melaka menerima plak kelulusan mengunakan logo jenama 1 Malaysia Best fasa pertama kerana menghasilkan produk melepasi syarat yang ditetapkan.

Antara produk ialah dari syarikat B-B Town Sdn Bhd yang menghasilkan produk madu, D-Sweet Enterprise mengeluarkan produk dodol durian, dodol kopi, acar buah, Fauziah Karim (M) Sdn Bhd menghasilkan serbuk asam pedas, dodol Melaka asli dan gula Melaka, Perniagaan Ideris Hj Zainudin menghasilkan wajik sirat, dodol asli dan dodol durian, Aras Success nature Herbs Industry menghasilkan pati jus akar kayu dan Aroma Spices Sdn Bhd menghasilkan masak lemak cili padi ikan keli, masak lemak daging salai dan masak lemak ayam salai.dan Seri kaya.

Sementara itu, Ideris Zainudin, 46, dari Perniagaan Ideris Hj. Zainudin yang bertapak di kampung Kandang berkata merasa amat gembira dan tidak menyangka kerana syarikatnya terpilih menggunakan logo 1 Malaysia Best.

Beliau telah mengusahakan perusahaan dodol sejak 1979 secara kecil-kecilan kepada secara komersil mulai 2004.

"Saya amat bangga kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada syarikat saya yang mampu mengeluarkan produk sebanyak 400 kilo sehari," katanya.

Menurutnya, terdapat 13 produk yang dikeluarkan tetapi terpilih hanya tiga iaitu dodol asli, dodol durian dan wajik sirat".

Sehingga sekarang produk dodolnya telah menembusi ke pasaraya Mydin, Jaya Jusco dan Tesco dan di hotel-hotel di Malaysia dan turut dieksport ke Indonesia, Singapura, China, Brunei dan negara Timur Tengah.



-- BERNAMA

No comments: