Tuesday, July 13, 2010

Industri E-Dagang Berkembang 30 Peratus Dalam 3-5 Tahun Akan Datang - Pikom

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Industri perdagangan elektronik (e-dagang) dijangka berkembang sebanyak 20 hingga 30 peratus setahun dalam tiga hingga lima tahun akan datang.
.
"Pertumbuhan itu akan dipacu oleh ketersediaan pembangunan prasarana, penyediaan perkhidmatan online, kematangan jalur lebar dan kesedaran yang tinggi tentang e-dagang," kata Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Wei Chuan Beng.
.
Wei berkata sdemikian kepada pemberita selepas pelancaran Bulan ICT Kebangsaan 2010 (NIM 2010), bertema "e-Dagang bagi Jangkauan Global" oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili, pada hari Selasa.
.
Beliau berkata bagi tahun ini, e-dagang dijangka berkembang sebanyak 32 peratus kepada US$29.24 bilion (US$1=RM3.16) daripada US$22.15 bilion pada 2009 susulan pertumbuhan yang semakin stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini.Wei menggesa institusi-institusi kewangan menurunkan fi bagi e-pembayaran, yang kini lebih tinggi daripada pembayaran manual, bagi menggalakkan kegiatan e-dagang di Malaysia.
.
Terdahulu, Ongkili berkata Rancangan Malaysia Ke-10 mengenal pasti sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan sumbangannya kepada ekonomi dijangka meningkat kepada 10.2 peratus menjelang 2015.
.
"Dengan demikian, kami menjangkakan ICT digunakan secara besar-besaran untuk menghasilkan peningkatan produktiviti, penambahbaikan tahap perkhidmatan dan inovasi seluruh perniagaan, kerajaan dan juga pengguna," katanya.Pada majlis yang sama, Ongkili juga melancarkan Sidang Kemuncak Kepimpinan 2010, yang menghimpunkan pemimpin perniagaan dan teknologi untuk membincangkan dan membahaskan isu-isu berkaitan industri ICT.
.
-- BERNAMA

No comments: