Monday, February 28, 2011

Norlia popularkan makanan barat


Norlia Yusof berbangga dengan produk Protess yang mendapat tempat di kalangan syarikat penerbangan.


PENGALAMAN demi pengalaman yang ditimba semasa berada di Australia lebih 20 tahun tidak dibiarkan tenggelam begitu saja. Dengan kerjasama beberapa rakan, mereka bergabung untuk menjadi pembekal daging halal untuk dihantar ke tanah air.

Ini menyebabkan Norlia Yusof perlu mempelajari kaedah memotong daging selain pemasaran memandangkan kemahiran tersebut merupakan kriteria yang diperlukan di sana.

"Setelah lama berulang-alik dari Australia ke Malaysia, akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke tanah air," katanya semasa ditemui di premisnya Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd. di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sekembali ke tanah air Norlia membuka kilang di Shah Alam, Selangor bagi membekalkan daging lembu halal.

Ketika itu, pelanggan utamanya terdiri daripada beberapa syarikat penerbangan dan restoran makanan Barat yang terkenal di negara ini.

Jumlah jualan bulanan kilang berkenaan pernah mencapai sehingga RM1 juta sebulan menjadikannya syarikatnya pembekal utama daging segar ke negara ini.

Bagaimana selepas rakan kongsi berpecah, Norlia kembali ke Australia tetapi tidak lama kemudian kembali semula ke tanah air.

Pelbagai cabaran yang dihadapi, perniagaannya bagaikan fenomena air laut yang mempunyai pasang surut sehingga entah mana silapnya sehingga kilangnya di Shah Alam beralih tangan.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat Norlia untuk bangkit semula.

Berbekal pengalaman memasak, Norlia membuka restoran makanan Barat di Puchong Perdana sebagai mengubat hati.

Bagaimanapun sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya mendorongnya berusaha mendapat pesanan daripada chef-chef hotel terkemuka.

Memikirkan permintaan daripada bekas pelanggan, Norlia sedaya-upaya memenuhi segala tempahan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun keceriaannya yang ada tidak kekal lama apabila tuan punya kedai mahukan semula kedai tersebut.

Tidak pernah kenal erti putus asa, terkini Norlia membeli dua unit kedai di Pusat Perniagaan Oakland, Seremban bagi membangunkan perniagaan berasaskan masakan Barat.

Nasib menyebelahinya apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melawat ke premisnya.

Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggalakkan Norlia meningkatkan lagi pengeluaran.

Mendapat permintaan daripada pelbagai restoran Barat terkemuka dan chef luar negara, Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan.

Atas bantuan dan khidmat nasihat bagi mendapatkan spesifikasi kilang yang mempunyai Amalan Pengilangan Baik, Halal serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

"Di (premis) sini, saya mengeluarkan produk makanan baru Protess yang menggunakan campuran ubi kentang lecek dan pelbagai jenis inti," katanya.

Buat masa ini Norlia memberikan penekanan kepada lima jenis produk sementara Protess pula terdapat 19 jenis inti.

Bagaimanapun kaedah pembuatan yang remeh menyebabkan Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan pelanggan.

Bersama-sama 20 orang pekerja, Hajjah Aminah Food Industries telah menjadi anak angkat MARDI bagi tujuan membangunkan produk.

Sehingga kini dia masih belum mempunyai mesin yang sesuai bagi menghasilkan protess hanya mampu menghasilkan sehingga 1,000 keping Protess sehari.

Protess yang mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelanggan tetap.

"Saya amat berharap produk makanan Barat terutamanya protess bakal mendapat sambutan bukan hanya di negara ini tetapi juga di peringkat global," katanya.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: