SITUASI ini berlaku pada empat tahun lepas. Beratus-ratus orang berkhemah di hadapan kedai alat telekomunikasi Apple Store yang beroperasi di sekitar Amerika syarikat (AS), selama dua hari berturut-turut.
Masing-masing enggan melepaskan peluang untuk menjadi antara kelompok pengguna terawal memiliki sebuah telefon pintar iPhone keluaran Apple.
Meskipun pengeluaran iPhone di pasaran tertunda selama enam bulan, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat para pengguna. Apatah lagi pada hari berkenaan mereka terpaksa bersesak-sesak dan berebut-rebut antara satu sama lain.
Bermacam-macam gelagat pengguna diperhatikan. Ada yang sanggup membayar AS$200 (RM680) semata-mata untuk memotong barisan. Ada juga tegar bermalam di depan kedai dengan membawa tilam nipis serta membawa haiwan peliharaan sebagai peneman.
“Saya tidak tidur satu setengah hari,” cerita Grant Johnson, 41, dari Brooklyn, yang sanggup bersekang mata agar tidak terlepas peluang membeli iPhone.
Kemunculan telefon pintar iPhone mencipta fenomena luar biasa di AS, Eropah dan di Asia Tenggara. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, sambutannya amat menggalakkan. Malah, tempias populariti iPhone turut melanda masyarakat Malaysia.
Apa yang pasti, kecemerlangan penjualan produk Apple Inc., secara tidak langsung melonjak nama Steve Jobs, 55. Dia merupakan tulang belakang yang memastikan agar alat telekomunikasi jenama Apple yang dijual di pasaran berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan.
“Terharu dan gembira kerana pengguna menyukai produk yang kami tawarkan. Sebenarnya bukan mudah untuk mereka telefon pintar yang menarik. Bagi saya rekaan tertumpu pada reka bentuknya tetapi ia lebih pada kepuasan ketika menggunakannya. Jadi, kami sentiasa berusaha menghasilkan produk yang terbaik.
“Pada masa yang sama, kami mengelak bertanya kehendak pengguna kerana apabila kita menghasilkan apa yang mereka mahukan, barangkali pada waktu itu mereka mahukan sesuatu yang baru pula,” jelas Jobs yang turut merangkap pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Apple dalam satu temu bual.
Laman berita Los Angeles Times, menyiarkan bahawa syarikat Apple Inc. berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda selepas melancarkan produk iPhone dan iPad. Sehingga Apple Inc., tersenarai sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion).
Penganalisis daripada Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu, setiap tahun penjualan iPhone memperlihatkan peningkatan yang begitu drastik. Jika penghujung tahun 2007, sebanyak dua juta iPhone terjual, pada tahun 2008 pula ia meningkat sebanyak sembilan juta. Sementara pada tahun 2009 pula hasil jualan mencecah 20 juta manakala 30 juta pada tahun berikutnya.
Sementara itu, majalah Forbes menyatakan Jobs yang menyambut ulang tahunnya yang ke-55 semalam, memiliki nilai kekayaan berjumlah AS$6 bilion (RM18.26 bilion). Beliau juga disenaraikan oleh majalah terbabit sebagai individu ke-136 terkaya di dunia tahun lalu.
Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun bapa kepada empat cahaya mata itu tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya.
Sebaliknya, dia dijaga sepenuhnya oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS, yang sebahagian besar kawasannya dikelilingi ladang aprikot.
Diet ketat
Penggemar baju-T lengan panjang rona gelap dan seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di Cupertino, California dan Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Tamat sesi persekolahan, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon. Namun tempoh pengajian di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester saja.
Sebaik menamatkan pengajian meninggalkan kolej, Jobs mengambil keputusan merantau ke India untuk mendalami agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke. Dalam proses kerohanian tersebut Jobs yang pada ketika itu berusia 19 tahun mempraktikkan diet ketat seperti berpuasa atau makan buah saja.
Tambah Jobs yang mengahwini Laurene Powell di Yosemite, AS, pada tahun 1991: “Saya pernah berniat untuk menjadi sami di biara Jepun daripada mengasaskan Apple. Tetapi guru saya, Kobun Chino menyakinkan bahawa saya masih boleh meneruskan anutan ini dan pada masa yang sama mengusahakan bisnes komputer.”
Sehubungan itu, sekembalinya dia ke Silicon Valley, pada tahun 1974, dia membawa agama Buddha dengan penampilan rambut botak dan menyarungkan pakaian tradisional India.
Menyentuh mengenai penglibatan Jobs dalam bidang komputer dan gajet semuanya bermula selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Walaupun usia Jobs lima tahun lebih muda daripada Woz, tetapi bagaikan wujudnya keserasian antara mereka berdua.
Penglibatan dunia komputer
Persahabatan yang tersemai itu akhirnya menarik minat Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati, hasil kajian dan pengamatannya industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa yang panjang.
Hasil perbincangan yang dilakukan mereka berdua melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.
“Pemilihan nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal permulaan bisnes sebanyak AS$1,300 (RM3,963), hasil menjual microbus salah satu komponen komputer manakala Woz menjual kalkulator.
Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666.66 (RM2,026). Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980.
Namun jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama. Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT, pada tahun 1986.
“Jika Apple Inc., terkenal dengan penghasilan komputer peribadi tetapi NeXT pula sebaliknya. Kami lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer.
“Menariknya, pada kemuncak bisnes NeXT, kami merupakan jenama yang memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.
Sehingga ke hari ini Jobs kekal menyandang kerusi CEO. Kebanyakan pakar IT dan penganalisis ekonomi menyifatkan rahsia jenama Apple Inc., yang hampir bankrap pada tahun 1990 terus kukuh kerana semangat dan etika kerja yang dipamerkan Jobs.
Inovasi dan kreativiti
“Saya mengikuti kisah Steve Jobs sewaktu menuntut di Universiti Iowa, AS dua dekad lepas. Pada waktu itu, orang ramai enggan melepaskan peluang memiliki komputer Apple II kerana Apple Inc., merupakan pengeluar tunggal menghasilkan komputer peribadi.
“Namun komputer Macintosh jenama Apple Inc., yang dikeluarkan pada tahun 1986, menarik minat saya untuk memilikinya. Ia merupakan sebuah komputer skrin hitam dan putih, meskipun orang ramai mengharapkan komputer skrin berwarna. Tetapi Jobs bertegas grafik lebih penting daripada warna,” jelas pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT), Azli Paat yang turut memberitahu autograf Jobs turut tertera di dalam komputer berkenaan.
Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., itu, Jobs merupakan individu yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan. Setiap produk keluaran Apple Inc., mampu menarik minat pembeli dan ideal dengan trend semasa.
Dalam pada itu, Azli turut mengakui Jobs bijak dalam aspek pemasaran dan berinovasi tinggi.
“Misalnya, penggunaan tetikus. Ke banyakan individu berpendapat Apple Inc, yang bertanggungjawab mencipta tetikus padahal produk tetikus itu dihasilkan oleh jenama Xerox.
“Ini disebabkan pada awal penghasilkan tetikus, Xerox tidak yakin bahawa tetikus bakal disukai ramai, memandangkan masyarakat pada waktu itu sudah terbiasa menggunakan tetikus pada papan kekunci. Namun pemikiran Jobs berbeza. Ia melihat penggunaan tetikus secara berasingan memudahkan pengguna,” kata Azli ketika dihubungi Kosmo!
No comments:
Post a Comment