Isnin, Februari 21, 2011

ZIA jana industri agro makanan


Antara contoh PENTERNAKAN IKAN tiLAPIA YANG BAKAL DIJALANKAN DI tASIK kENYIR.


MALAYSIA memiliki sumber kawasan tanah yang luas di samping kawasan perairan yang sangat luas. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air, kawasan perairan ini juga mampu menjana stok bekalan makanan.

Permintaan sumber protein negara semakin hari semakin meningkat, malah stok ikan yang didaratkan oleh nelayan juga agak menyusut berbanding 10 tahun dahulu.

Justeru, pelbagai usaha sedang dilakukan antaranya projek-projek akuakultur berbentuk komersial yang berupaya meningkatkan pengeluaran ikan negara.

Isu keselamatan bekalan makanan dan meningkatnya kos mengimport produk makanan setiap tahun menjadikan kerajaan mempunyai asas yang kukuh mengapa sektor agromakanan perlu terus diperkasa dan diberi keutamaan.

Antaranya seperti penubuhan Zon Industri Akuakultur (ZIA) termasuk Terengganu yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pembangunan ZIA secara bersepadu oleh Kerajaan Terengganu juga merupakan antara projek-projek utama dalam Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara.

ZIA di Terengganu melibatkan kawasan seluas 3,227 hektar daripada 4,188 hektar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perikanan untuk dimajukan oleh kerajaan negeri.

Malah peruntukan sebanyak RM12.6 juta untuk membina kemudahan pusat pembenihan ikan turut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kemudahan tersebut adalah Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar di daerah Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu.

Kedua-dua pusat tersebut dijangka siap pada pertengahan tahun ini, sekali gus dapatmembekalkan benih untuk projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di Terengganu.

Selain itu, sebuah pusat Pembenihan Udang Laut di daerah Setiu turut dibina di bawah peruntukan yang sama.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, kerajaan negeri akan meneruskan usaha dan kerjasama bersama Jabatan Perikanan untuk mengenalpasti kawasan baru yang sesuai untuk dijadikan kawasan ZIA.

Jelas beliau lagi, projek utama NKEA tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan projek akuakultur akan dibangunkan berdasarkan piawaian pasaran.

''Pendekatan terbaru ini akan melibatkan jumlah pelaburan lebih daripada RM1.4 bilion bagi ZIA terpilih.

''Di mana sebahagian besar daripadanya adalah daripada pihak swasta yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan menaiktaraf sosio ekonomi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Seperti juga negara di benua Asia, Malaysia juga telah mengenalpasti akuakultur sebagai sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik.

Pada tahun 2009, industri akuakultur negara telah mencatatkan pengeluaran ikan berjumlah 478, 245 tan metrik bernilai RM2.4 bilion.

Malah pengeluaran akuakultur negara akan terus meningkat berikutan permintaan terhadap sumber protein tersebut sentiasa melonjak naik.

Salah sebuah kawasan ZIA yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perikanan untuk penternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran adalah di Tasik Kenyir.

Malah, kementerian terbabit menyasarkan pengeluaran akuakultur negara sebanyak 727, 300 tan metrik dengan nilai tidak kurang dari RM7 bilion menjelang tahun 2015.

Dalam pada itu , menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd. Johari Baharum, biarpun kerajaan banyak menyumbangkan dana bagi membangunkan industri tersebut namun kerjasama daripada usahawan serta pihak swasta masih diperlukan.

"Kementerian hanya dapat menyediakan infrastruktur asas, khidmat sokongan teknikal dan sistem penyampaian yang diperlukan.

"Kami memerlukan para usahawan agro makanan dan syarikat swasta menerajui sektor ini," katanya.

Jelas kini, pihak kerajaan sama ada pusat mahupun negeri telah menyediakan segala-galanya untuk memastikan sosio-ekonomi rakyat bertambah baik.

sumber: Utusan Malaysia online

Tiada ulasan:

Ke mana perginya jerawat?

>> KEMANA PERGINYA JERAWAT ? HILANG DALAM MASA 4 HARI. << . Sharing dari puan siti fatimah mohd zaki . Beliau rasa teruja ap...