Monday, May 23, 2011

Bermula dengan keli, kini ternak kelah


Anak ikan kelah yang terdapat di portkelah.com


Pertama kali mengenali Shahrul Redzuan Abd Majid pada April 2008, semasa menemubual beliau yang menjalankan usaha menternak dan pembenihan keli di belakang rumah seorang rakan kongsinya di Teluk Gong, Kelang, Selangor.

Ketika itu hanya dengan beberapa kolam simen, beliau memulakan usaha dalam keadaan yang penuh dengan kekurangan.

Permulaan dengan modal yang terhad sehingga ada kalanya Shahrul dan rakannya Mohd Alif Parjan terpaksa mengikat perut hanya untuk membeli kelengkapan pembenihan ikan keli.

Pernah mereka berdua hanya mempunyai beberapa Ringgit Malaysia di dalam poket selepas membeli peralatan ikan.

"Bagaimanapun nasib kami berubah apabila kisah kami tersiar di dalam Utusan Malaysia.

"Ketika itu terlalu banyak panggilan telefon bertanya mengenai benih keli dan saya terpaksa menukar nombor telefon," katanya mengimbau kembali kenangan masa lalu semasa mula-mula menceburkan diri dalam industri ikan air tawar.

Selama tiga tahun bergelumang dengan ternakan ikan keli, Shahrul beralih kepada ikan tilapia selama setahun setengah.

Dalam tempoh berkenaan, banyak cabaran dan ranjau beliau hadapi tetapi berbekalkan semangat yang cekal tanpa kenal erti putus asa, gandingan dua sahabat dengan latar belakang pendidikan yang berbeza ini semakin mantap.

Shahrul, tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara Mohd Alif graduan kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini berjaya membangunkan syarikatnya sendiri Malingga Jati Sdn Bhd.

Ditanya mengapa berubah daripada ternakan ikan keli kepada kelah, Shahrul berkata, waktu berubah dan beliau perlu mencari sesuatu yang lebih segar, baru serta yang lebih menguntungkan.

Mengapa memilih kelah dan bukan ikan lain seperti ikan kelisa atau arowana.

"Terlalu ramai yang menternak arowana terutama di Bukit Merah, Taiping, Perak dan kerana itu saya memilih ikan kelah.

"Sebenarnya ikan kelah mempunyai peminat dan pasarannya sendiri," katanya semasa ditemui di galeri ikan kelahnya portkelah.com di Batu Caves, Selangor.

Tambah Shahrul, ikan kelah bukan saja boleh dijadikan ikan hiasan akuarium tetapi juga mendapat permintaan hangat di restoran masakan laut yang menyajikan ikan-ikan eksotik.

Bagi ikan hiasan akuarium, harga seekor ikan kelah boleh mencapai beribu Ringgit Malaysia seekor manakala ikan kelah bagi sajian pula biasanya boleh dijual sehingga RM300 sekilogram seekor.

"Kami mula mendapatkan induk ikan kelah daripada penternak ikan sangkar di sekitar Temerloh, Pahang.

"Kemudian kami mencari kaedah untuk melakukan pembiakbakaan ikan kelah," katanya yang berkerjasama dengan Perintis Al-Faeez Group bagi membangunkan galeri portkelah.com.

Shahrul berkata, di portkelah.com mereka menekankan pemuliharaan, rundingan dan perdagangan ikan kelah.

Berkat pengalaman dan kesungguhan yang ada, Shahrul berjaya melakukan proses pembenihan ikan kelah sehingga lebih 50 peratus manakala 90 peratus benih ikan kelah berjaya dibiakkan sehingga dewasa.

Kini proses pembiakbaka ikan kelah dilakukan di sebuah kawasan yang disewa dari Jabatan Perikanan.

"Di sana, kami menyimpan bukan saja ikan kelah tetapi ikan-ikan eksotik lain yang sedia untuk dijual sama ada di peringkat benih atau dewasa," katanya.

Selain membekalkan ikan air tawar, Shahrul juga membekalkan benih ikan air masin, benih udang, makanan ikan serta pembinaan akuakultur.

Bagaimanapun jelas Shahrul, pihak mengalu-alukan pengunjung boleh ke galeri kelah untuk melihat ikan kelah atau membuat pesanan.

Di sana beliau juga akan memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat memelihara ikan kelah sama ada di dalam akuarium atau ternakan.

Di portkelah.com, beliau menjalankan banyak aktiviti berkaitan ikan kelah serta beberapa ikan eksotik lain sama ada sebagai ikan hiasan atau makanan.

Di galeri portkelah.com terdapat 15 ekor kelah daripada tiga jenis spesies iaitu merah, bara, humpback dan biru, 1,000 ekor anak kelah, seekor ikan kerai dan 50 ekor anak kerai.

Shahrul juga mengalu-alukan mereka yang berminat mempamerkan ikan-ikan eksotik atau ikan yang sukar ditemui di negara ini di galeri portkelah.com.

Pembaca yang berminat boleh berkunjung ke galeri portkelah.com di Medan Selayang, Batu Caves atau layari laman sesawang portkelah.com

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: