Wednesday, May 25, 2011

Dulu RM739,420, kini bakal bernilai RM2.7 bilion


LONDON - Pengasas bersama syarikat pengeluar kasut Jimmy Choo, Tamara Mellon semakin hampir menjual syarikatnya kepada kumpulan barangan mewah Jerman, Labelux dengan anggaran nilai sebanyak 550 juta pound sterling (RM2.7 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Perjanjian dengan syarikat tersebut bakal menyaksikan Mellon memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 15 peratus serta mengekalkan peranannya sebagai ketua pegawai kreatif.

Mellon yang merupakan bekas editor majalah Vogue menubuhkan syarikat itu bersama pereka kasut dari Malaysia, Datuk Jimmy Choo pada tahun 1996.

Modal sebanyak 150,000 pound sterling (RM739,420) digunakan bagi memajukan syarikat tersebut.

Pinjaman itu diperoleh daripada bapa Mellon, Tommy Yeardye yang merupakan pengasas bersama rantaian dandanan rambut Vidal Sassoon.

Bagaimanapun, pada tahun 2001, Jimmy menjual kepentingannya dalam syarikat itu apabila firma ekuiti persendirian, Phoenix Equity Partners melabur sebanyak sembilan juta pound sterling (RM44.3 juta) dalam perniagaan.

Pada tahun 2004 pula, syarikat TowerBrook membeli majoriti saham syarikat itu pada tahun 2007.

Jenama Jimmy Choo bukan sahaja terkenal dengan kasut tetapi turut popular dengan barangan mewah lain untuk golongan kaya seperti beg tangan semasa ia di bawah TowerBrook. - Agensi

No comments: