Tuesday, May 31, 2011

Bekas jurutera jual serunding



Azliya Jamil sentiasa berbincang bersama Shahizam abu bakar bagi meningkatkan lagi mutu serta pemasaran serunding mereka.


PADA awalnya untuk bergelar usahawan serunding memang perit. Pelbagai pahit maung terpaksa dihadapi. Walaupun perit setiap usaha tidak terhenti dan dari sehari ke sehari serunding yang dihasilkan dijaga kualitinya.

Semangat untuk menjadi seorang usahawan berjaya sentiasa ada dalam jiwanya meskipun di awal perniagaan produk yang dihasilkan pernah dipulangkan kembali kerana didakwa tidak tahan lama.

Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat pasangan suami isteri Azliya Jamil, 44 dan Shahizam Abu Bakar, 41 untuk meneruskan minat mereka meskipun mereka terpaksa melepaskan pekerjaan tetap dengan gaji lumayan.

Shahizam merupakan lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari University of Manchester, United Kingdom dan pernah bekerja sebagai jurutera dan pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia selama 13 tahun.

Isterinya Azliya juga merupakan lulusan ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari UMIST, United Kingdom dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan selama tujuh tahun.

Mereka bermula dengan modal RM300 untuk membeli bahan mentah dan sebiji kuali bagi memulakan perniagaan serunding daging dan mulanya dijual hanya kepada saudara mara sahaja lima tahun lalu.

"Alhamdulillah sambutan terhadap serunding kami amat menggalakkan dan mendapat galakkan untuk terus di pasarkan di kedai-kedai berdekatan dan sambutan sangat memberangsangkan," ujar Azliya ketika ditemui di Parit Besar Mukim 2, Bagan Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Melihat kepada produknya yang berpotensi untuk pergi lebih jauh, pasangan berkenaan telah membuka peluang perniagaan kepada saudara mara yang berminat untuk melabur dalam perniagaan serunding tersebut.

"Kami mula mengumpul dana melalui pelaburan saudara mara, duit jualan serunding serta hasil perniagaan sajian makanan memasak nasi briyani untuk majlis kahwin," tambah Azliya.

Dengan dana yang terkumpul itu mereka membina sebuah bengkel berukuran 320 kaki persegi (RM15,000), membeli mesin pengacau (RM6,000) dan ketuhar pengering terpakai (RM500).

Kemudian mereka telah mendaftar sebagai sebuah syarikat dan mengambil enam pekerja untuk meningkatkan pengeluaran dan menghantar serunding ke kedai-kedai berhampiran, pasar mini dan restoran di Johor.

Menurut Azliya, pada tahun 2007 mereka mula mendapat perhatian daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang kemudian membantu menaik taraf bengkel dengan peruntukan sebanyak RM35,000.

Bantuan lain termasuk mesin seperti industrial oven, sealer juga peti sejuk bernilai RM10,000.

Demi meningkatkan lagi pengeluaran untuk pasaran luar Johor mereka telah memperkenalkan serunding ayam pula atas permintaan ramai.

Perniagaan yang diusahakan dari sehari ke sehari mendapat permintaan amat menggalakkan dan untuk itu mereka telah menubuhkan sebuah syarikat yang kini dikenali sebagai Pristine Quality Sdn Bhd.

Paling membanggakan produk mereka mendapat sijil Halal dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

"JPV telah memberi lagi bantuan sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan mutu pembungkusan kepada kotak dimana konsep dan reka bentuk di buat sendiri oleh kami,'' jelasnya bangga.

Bermula dari situ pada tahun 2009 mereka mula menyertai secara agresif ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) serta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas).

Serunding mereka juga mula menembusi pasaran Sabah dan Sarawak melalui agen-agen dan pemborong.

JPV juga telah memberi lagi bantuan sebanyak RM40,000 dalam bentuk mesin seperti pengacau serunding, pemotong bawang , pengisar cili , pengisar berkelajuan tinggi , meja keluli tahan karat alat penimbang digital.

Mereka juga mula menerima tempahan daripada syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk tujuan cenderahati dan bungkusan hadiah.

Pada masa sama, syarikat terbabit juga mendapat permintaan dari masyarakat Cina untuk menghasilkan serunding kambing yang diedarkan oleh sebuah syarikat Cina tempatan.

Azliya menambah melalui MIHAS mereka mendapat kontrak membekal serunding daging kepada vendor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mendapat peluang menembusi produk ke Brunei yan g kini dalam perbincangan dengan sebuah syarikat pengedar di sana,

Kini mereka dalam usaha mencari modal dan tapak baru untuk membina kilang berukuran 100 x 40 kaki persegi bagi mencapai sasaran untuk membina kilang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Selain itu mereka sedang berusaha untuk memperoleh pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang merupakan antara kriteria untuk memudahkan produk menembusi pasaran antarabangsa.

Produk yang diusahakan iaitu serunding daging ayam, kambing dibungkus dengan berat 50 gram dan 80 gram iaitu dalam dua kotak berlainan juga boleh membungkus mengikut permintaan pelanggan seperti bungkusan untuk majlis kahwin atau bundle bagi pengedar dan pemborong.

Serunding seberat RM50 gram dijual dengan harga runcit RM5 dan RM 8 untuk bungkusan seberat 80 gram.

Bagaimanapun tambah Azliya pemborong akan mendapat harga borong iaitu 30 peratus hingga 40 peratus diskaun mengikut kuantiti yang diminta.

Menurut Azliya lagi, keunikan produknya ialah ia tahan selama setahun, kering dan tidak berminyak tapi kekal rasa enak rendang Johor. yang telah dimasak kering menjadi serunding.

Azliya menambah, jika dahulu mereka memperoleh pendapatan dua angka, kini ia mencecah kepada tiga angka dalam tempoh tiga tahun beroperasi sebagai syarikat sendirian berhad.

Keuntungan yang dirai tambahnya dijadikan modal balik untuk pembangunan produk dan promosi.

Tahun ini mereka mensasarkan jualan mampu mencecah RM500,000 dalam tempoh empar tahun berikut dan RM1 juta pada tahun 2018 apabila mempunyai kilang bertaraf GMP kelak.

Menjadi harapan Azliya dan suami agar dengan kebolehan dan pengalaman sebagai jurutera mereka dapat membina sebuah syarikat industri makanan yang berdaya saing dan berinovatif. Daripada sebuah syarikat kecil-kecilan kepada sebuah syarikat yang boleh dijadikan contoh kepada usahawan lain.

Secara tidak langsung katanya dengan adanya perusahaan ini di Bagan, Batu Pahat, ia akan memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat disini dari segi peluang pekerjaan .dan kebajikan.

Menurut Azliya, serunding keluaran mereka dilabelkan sebagai House of Serunding dan mempunyai Sijil Halal dengan sasaran pemasarannya adalah pasaran tempatan dan luar.

Buat masa ini katanya mereka mampu menghasilkan 1 tan serunding bersamaan 800 kilogram (kg) serunding sebulan.

Bagi mereka, pengorbanan melepaskan jawatan pensyarah yang disandang selama tujuh tahun dan sebagai jurutera selama 13 tahun berbaloi dengan pendapatan yang mereka raih hasil usaha sendiri.

"Kejayaan kami kerana kami berkongsi minat yang sama untuk berniaga dan mempunyai pendapatan hasil usaha sendiri berbanding makan gaji dan kami berasa puas apabila produk yang kami hasilkan mendapat sambutan memberangsangkan,'' jelas Azliyah.

Ibu kepada dua orang anak Muhammad Shahid, 15 dan Muhammad Shafiq, 17 ini berharap agar perniagaan serunding resepi tradisional yang diusahakan bersama suami akan menjadi perniagaan keluarga dan dipasarkan ke pasaran global satu hari nanti.

Dengan prinsip tidak mahu makan gaji dan mahu berusaha sendiri, Azliyah dan Shahizam berjaya merealisasikan impian mereka dan tidak berasa rugi meninggalkan gaji lumayan demi untuk menjadi usahawan serunding.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: