Sunday, May 22, 2011

Tiga peraturan penting sebelum mula menjual


Kurangnya aktiviti menjual menyebabkan kebanyakan bisnes kurang maju. Setiap pengusaha bisnes harus tahu bagaimana untuk menjual produk mereka kepada pelanggan. Tidak kira betapa hebat produk kita, jika kita tidak mampu menjual, maka bisnes kita akan gagal.

Ramai yang takut untuk menjual kerana mereka tidak mahu dianggap sebagai jurujual. Ini berikutan salesman adalah golongan yang hanya tahu menjual, menjual, dan menjual. Sehinggakan pelanggan naik menyampah berjumpa mereka.

Namun, sedarkah bahawa setiap hari kita menjual? Hari ini, mungkin kita mencadangkan rakan kita ke gerai A, jika mereka mahu makan tomyam yang sedap dengan harga berpatutan.

Sebenarnya, cadangan kepada rakan itu adalah aktiviti menjual. Bezanya ialah, kita tidak memperoleh sebarang komisyen apabila mereka pergi ke kedai yang kita cadangkan.

Tiga Peraturan Penting Untuk Menjual

Mari kita nilai situasi kedua ini. Si Abu mencadangkan Ali untuk mendapatkan sabun mandi yang harum dengan harga berpatutan. Tetapi jika Ali mahu mendapatkan sabun tersebut, beliau perlu beli menerusi Abu. Secara tidak langsung Abu mendapat komisyen, dengan hanya mencadangkan produk kepada Ali.

Walaupun contoh di atas menunjukkan bahawa proses menjual itu mudah. Namun masih ramai yang gagal menjual. Ini kerana mereka sering terlupa 3 peraturan penting ketika menjual:

#1 Pelanggan Mesti Mengenali Peniaga

Proses menjual dimulakan dengan hubungan yang baik. Jika kita tidak memperkenalkan diri kita kepada prospek, mustahil mereka akan mempunyai kepercayaan ke atas kita. Jika prospek tersebut adalah keluarga kita sendiri, maka mudah untuk melakukan jualan.

Untuk prospek yang tidak dikenali. Kita perlu memastikan bahawa mereka selesa dengan diri kita. Keadaan ini dapat diwujudkan menerusi:

  • Memperkenalkan diri sebelum mula menjual
  • Senyum
  • Bercakap dengan nada yang sopan
  • Berkenalan serba sedikit dengan prospek

#2 Bagaimana Produk Kita Boleh Membantu

Katakan produk jualan kita adalah sabun. Jika mahu menjual sabun, pastikan sabun tersebut unik dari segi USP (Unique Selling Proposition) atau harga. Jika tidak, prospek tidak akan terpengaruh untuk membeli. Kerana mereka boleh dapatkan sabun yang sama di kedai runcit.

Kita juga perlu tahu keistimewaan yang menjadikan sabun ini boleh dijual dengan mudah. Sebagai contoh, sabun X mampu memberikan haruman badan yang berpanjangan, meskipun kita bersukan. Harganya jauh lebih murah daripada sabun sedia ada di pasaran.

Dengan mencadangkan solusi, kita dapat kenalpasti siapa sasaran pembeli. Dalam contoh sabun X, sasaran pembeli adalah mereka yang aktif bersukan.

#3 Beri Arahan Seterusnya

Ramai penjual mengambil masa yang lama untuk menerangkan kelebihan produk kepada prospek. Tetapi hanya segelintir sahaja yang mampu menghasilkan jualan. Mereka ini telah mengenal pasti waktu yang tepat untuk memberi arahan kepada prospek supaya mengambil langkah seterusnya, yakni pembelian.

Kajian menunjukkan 70% pembeli akan melakukan pembelian jika mereka diberi arahan untuk membeli. Jadi, kita perlu tahu masa yang sesuai untuk memberi arahan.

Masa yang terbaik adalah selepas kita menerangkan kelebihan produk tersebut. Antara arahan yang boleh diajukan kepada pembeli adalah seperti berikut:

  • “Jadi, encik mahu beli berapa?”
  • “Encik ada apa-apa soalan? Boleh saya ambil terus pesanan?”
  • “Adakah encik berminat? Jika berminat, boleh kita teruskan urusan jual beli”

Dalam apa-apa urusan yang melibatkan jualan, kita perlu menghormati apa jua keputusan atau respon yang diberikan oleh prospek. Jangan memaksa mereka untuk membeli, kelak kredibiliti kita akan tercalar.

No comments: