Sunday, December 02, 2012

Muslim Best tawar piza vitato untuk kekal sihat


KAKITANGAN Muslim Best Food Industries, Siti Rohani Zainal menunjukkan produk makanan piza keluaran syarikat Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd; di Tapak Pameran MARDI, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. (Muslim Best) melalui rangkaian produk makanan sejuk bekunya menawarkan satu lagi menu baharu kepada para pelanggan yang mementingkan penjagaan kesihatan berikutan kesibukan bekerja seharian.

Pengurus francais dan promosinya, Umi Kalsom Salleh berkata, Piza De Fruits De Mer Seafood tersebut bukan sahaja lazat serta padat dengan inti malah lebih berkhasiat berbanding piza sejuk beku lain yang berada di pasaran.

"Penggunaan 30 peratus campuran ubi keledek vitato dalam adunan, doh kaya dengan bahan antioksidan seperti B-karotena (memberi warna oren) yang ditukar menjadi vitamin A di dalam badan," katanya ketika ditemui di Pavilion Negeri Kelantan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) di Serdang hari ini.

Jelasnya, bahan antioksidan tersebut dapat mengelakkan kerosakan pada sel dan asid deoksiribonukleik (DNA) seterusnya menghalang kanser tertentu dan kecacatan berlaku serta melambatkan proses penuaan kepada individu.

"Kandungan khasiat yang tinggi dalam ubi keledek vitato juga berkesan menentang diabetes, sembelit dan kanser usus besar," ujarnya.

Ubi keledek Vitato merupakan hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dilancarkan pada 2007.

Ubi berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Stesen MARDI Telong, Kota Bahru, Kelantan.

Menurut Umi Kalsom, ekoran permintaan yang tinggi sejak dipasarkan, Muslim Best juga berhasrat untuk menjadi peneraju makanan berkhasiat sejuk beku pertama di rantau ini.

"Dengan kemudahan kilang, mesin dan peralatan canggih, pengeluaran dapat dilakukan secara komersial bagi memenuhi permintaan," jelasnya.
Bagi tahun ini katanya, syarikat tersebut yakin mampu mencapai sasaran hasil yang ditetapkan daripada jualan piza tersebut iaitu RM200,000.

"Kami menyasarkan peningkatan 50 peratus untuk tahun hadapan serta berhasrat memasuki pasaran Maghribi pada Mac nanti," katanya sambil menambah, empat perisa baharu piza iaitu ayam lada hitam, daging lada hitam, ayam masala dan margarita turut akan berada di pasaran.

Selain piza, Muslim Best mengedarkan produk sejuk beku lain yang turut mendapat sambutan ramai antaranya murtabak, karipap, popia cendawan keju, samosa coklat pisang, sate kebab serta pelbagai jenis sos dan pencecah.

Mereka yang berminat untuk menjadi stokis, boleh menghubungi beliau menerusi 019-225 3837.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121201/ag_01/Muslim-Best-tawar-piza-vitato-untuk-kekal-sihat#ixzz2Dp8KGuAS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: