Jumaat, Disember 07, 2012

Pulangan lumayan industri buluh


Abd Razak Othman menunjukan produk berasaskan buluh di pejabatnya di FRIM Kepong, Selangor.

Ramai daripada kita tahu mengenai pokok buluh, tetapi hanya sebilangan kecil yang mengetahui pokok tersebut terdiri daripada pelbagai spesies.

Spesies-spesies buluh boleh dikenal pasti menerusi beberapa ciri yang ada seperti rebung, warna dan struktur batang, dahan dan seluangnya.

Kita hanya mengenali buluh kerana kegunaannya secara tradisional seperti membuat lemang dan meriam buluh selain pokok hiasan dan ini bergantung kepada spesies buluh.

Terdapat dua sebab kenapa buluh diperlukan iaitu untuk batangnya dan kedua, penghasilan rebung.

Ramai juga tidak mengetahui bahawa buluh tergolong di dalam keluarga rumput yang mempunyai kadar pertumbuhan agak pantas.

Bagaimanapun, sumber tanaman buluh di negara ini dilaporkan menghadapi masalah jika diusahakan secara pengkomersialan kerana sumber bahan mentah agak terhad.

Kekurangan sumber bahan mentah yang berterusan dan berkualiti menjadi masalah utama dalam pembangunan industri buluh.

Setakat ini, bekalan utama buluh diperoleh daripada hutan dan menjadi satu masalah untuk membawanya keluar kerana ketiadaan infrastruktur.

Pada masa sama sumber bekalan buluh secara semulajadi itu kian terjejas ekoran pembukaan tanah untuk kegunaan pertanian dan projek pembangunan lain.

Pada masa sama, penghasilan sumber bekalan buluh juga berhadapan dengan masalah pengurusan sumber buluh asli dan ini menjejaskan pengeluarannya.

Pegawai Penyelidik, Cawangan Pengurusan Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi Perhutanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 
Abd. Razak Othman berkata, berkata terdapat dua corak pertumbuhan buluh.
Pertamanya di kawasan iklim sederhana terdiri daripada buluh monopodial di mana buluh tumbuh secara tunggal.

Satu lagi corak pertumbuhan adalah buluh di kawasan tropika yang terdiri daripada simpodial iaitu pertumbuhan berumpun.

Terdapat juga perbezaan corak pertumbuhan di antara kedua-duanya tetapi agak jarang ditemui.

Satu daripada sifat buluh yang agak unik ialah pokok berkenaan akan mati sekiranya telah mula berbunga.

Oleh itu, bagi memastikan adanya jaminan bahan mentah yang berterusan, pengurusan buluh perlu di dirangka.

Abd Razak memberitahu, penyelidikan dan pembangunan mengenai pengkomersialan buluh di agensi terbabit dimulakan pada awal 1990an.

"Penyelidikan yang kami buat berkaitan teknik pembaik biak, penanaman dan pengurusan tanaman. Kami mengenal pasti 12 speseis yang popular boleh dikomersialkan," katanya.

Kaedah pembiakan itu merujuk pembaik baka tanaman buluh khususnya 12 spesies yang boleh dikomersialkan menerusi teknik pembiakan, penjagaan di nurseri dan mewujudkan ladang buluh.

Kebanyakan buluh tumbuh selepas hutan dibalak dan pertumbuhannya amat pantas. Malah buluh boleh hidup sehingga 100 tahun.

Dengan jangka hayat yang agak lama, industri buluh sepatutnya memberi pulangan lumayan kepada pengusaha yang berminat.

Malangnya, menurut Abdul Razak, kesukaran memperoleh bahan tanaman dan kawasan penanaman (biji benih buluh) adalah antara punca industri tersebut di negara ini agak terjejas.

Sesetengah pengusaha buluh seperti di Perlis pula menanam buluh madu untuk komersial memandangkan pokok berkenaan semakin popular menjana industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya penghasilan rebung.

Menurut Abdul Razak, hasil kajian FRIM, telah memperoleh kaedah atau protokol untuk menghasilkan benih kultur tisu buluh beting.

Antara kaedah pembiakan tampang yang dikenal pasti yang selalu digunakan ialah dengan kaedah keratan rizom atau akar, keratan dahan serta keratan batang selain penggunaan kultur tisu.

"Ini bagi mengatasi masalah memperoleh biji benih buluh," katanya.

Untuk menanam pokok buluh, spesies yang sesuai perlu digunakan di mana spesies berdinding tebal seperti buluh beting, semantan, dan betung ditanam bagi menghasilkan produk bermutu tinggi seperti panel dan pepapan.

Tidak semua buluh boleh dimakan rebungnya. Antara spesies buluh yang popular rebungnya ialah buluh madu, tumpat, beting, betung dan aur.

Dalam pada itu buluh yang ditanam untuk rebung biasanya melibatkan semua jenis melainkan buluh semantan, manakala buluh tumpat hanya untuk pengeluaran rebung semata-mata.

Seperti kebanyakan tanaman lain, penanaman buluh secara umumnya melibatkan kerja-kerja membersihkan dan penyediaan kawasan tanaman (termasuk membuat teres).

Waktu penanaman yang sesuai ialah pada musim hujan iaitu April hingga Ogos di bahagian utara manakala Ogos hingga Oktober di Selatan Semenanjung.

Kaedah-kaedah penananam juga perlu mengambil kira spesies buluh yang ditanam.

Pengurusan penanaman juga berbeza mengikut keperluan sama ada untuk batang atau rebung.

Bagi pengurusan ladang, meliputi kerja-kerja lain termasuk merumput, membersihkan kawasan, membaja, mengembur tanah, penjarangan, pengawalan perosak dan akhirnya memungut hasil.

Berdasarkan pengalaman FRIM, jangka masa penanaman buluh melibatkan tempoh 15 tahun bagi keluasan 500 ekar.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121203/ag_03/Pulangan-lumayan-industri-buluh#ixzz2EKfRWTpE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...