Tuesday, December 25, 2012

Pilihan tudung di hujung jari


Ainil Hawa Sazali selesa mengayakan tudung rekaannya sendiri. 
TIDAK perlu bersusah payah pergi ke butik atau pasar raya untuk mendapatkan tudung pilihan kerana semuanya kini di hujung jari. 

Bayangkan sambil berehat di rumah, anda sudah boleh membuat pembelian tudung diingini dengan melayari kedai-kedai online melalui telefon pintar.

Antara butik dalam talian yang meriah pengikut di kalangan penggemar tudung ialah Qaira Hijab. 

Perniagaan tudung menerusi Internet ini diusahakan oleh Ainil Hawa Sazali, 27, yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti swasta di Selangor.

Sebagai butik dalam talian, Qaira Hijab ini telah beroperasi di laman sosial facebook dan blog qairashijab.blogspot.com sejak dua tahun lalu.

"Menariknya mengenai koleksi Qaira Hijab ini ialah tudung yang dijual mengikut cita rasa wanita moden pada masa kini serta sangat sesuai digayakan oleh pelbagai lapisan umur.

"Selain itu mutu kain tudung yang berkualiti menyebabkan pelanggan sentiasa tertunggu-tunggu koleksi terbaru kami," ujar Ainil Hawa selaku pemilik dan penentu rekaan tudung bagi Qaira Hijab.

Ainil yang hadir ke studio ditemani adiknya, Izzati mengakui sentiasa mengemas kini Facebook Qaira Hijab dan akan memuat naik koleksi tudung terbaru pada setiap minggu bagi menampilkan rekaan dan corak terbaru yang selari dengan peredaran masa.

"Antara corak terkini yang laris di pasaran adalah tudung benang kapas , tudung sutera Thai dengan sulaman bunga, selendang sifon dan tudung fabrik denim.

" Namun keistimewaan koleksi Qaira Hijab ialah pada bahagian hadapan tudung (awning) yang lebih mudah dijaga termasuk jika dicuci dalam mesin basuh.

"Biarpun tidak menggunakan pelapik keras bagi membentuk awning, tudung tetap cantik terletak.

"Sementara itu, wanita yang mempunyai raut muka yang agak lebar juga tidak perlu berasa bimbang mengenai kesesuaian wajah kerana pemakaian tudung tersebut akan menampakkan muka lebih tirus," jelasnya.

Selain itu, penjelasan yang terperinci mengenai saiz, warna dan harga tudung boleh didapati pada setiap gambar produk sekali gus memudahkan lagi urusan jual beli secara Internet.

Pelanggan hanya perlu memilih rekaan tudung yang diminati dan segala urusan tempahan tudung dan pertanyaan akan dibuat melalui e-mel.
Urusan pembayaran pula boleh dibuat melalui perbankan Internet dan tempahan yang dibuat akan dihantar melalui Pos Laju Malaysia.

"Pelanggan akan mendapat tempahan mereka dalam tempoh satu hingga dua hari daripada tarikh pembayaran," katanya.

No comments: