Friday, December 14, 2012

Nori usahawan magnet



Nori Anwar menunjukkan pelbagai bentuk fridge magnet yang dihasilkannya.

KEPUTUSAN Nori Anwar, 38, berhenti kerja bagi menjaga ibu tercinta tidak pernah dikesali, sebaliknya dia berbangga dengan tindakan itu
Malah langkah tersebut telah menemukannya dengan kerjaya baru iaitu sebagai usahawan.

Tambahan pula memang sejak dari awal beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja sendiri dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Kini bersama tiga rakan kongsi, Nori sudah boleh berbangga apabila produk Mymagneticmenu iaitu magnet hiasan peti sejuk yang berkonsep resipi masakan telah berkembang jauh dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Nori berkata, idea menghasilkan magnet hiasan berkonsepkan resipi masakan muncul ketika dia sedang tercari-cari satu produk yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai.

"Kebetulan kunjungan saya ke rumah kakak telah memberikan inspirasi untuk memulakan perniagaan Mymagnetikmenu.

"Kakak seorang pengumpul fridge magnet. Pintu peti sejuknya penuh dengan hiasan tersebut. Pada masa sama beliau juga suka mengumpul helaian-helaian kertas yang mengandungi menu masakan yang digunting dari akhbar dan majalah.

"Helaian tersebut akan ditampal di pintu peti sejuk menggunakan magnet tersebut. Keadaan itu nampak serabut dan mencacatkan pandangan selain menu yang ditampal mudah hilang," katanya.

Menurut Nori, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan, sesuatu produk untuk pasaran perlu memenuhi kriteria tertentu antaranya berfungsi untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai.

"Produk yang baik dapat menyelesaikan masalah selain tidak terlalu rumit serta menarik mata yang melihatnya.

"Hasil daripada pemerhatian itu, saya terfikir untuk menghasilkan fridge magnet berkonsep baru kerana ketika ini kebanyakan reka bentuk magnet yang ada di pasaran diambil dari negara luar," katanya.

Ujar anak kelahiran Selangor itu, firdge magnet berbentuk resipi merupakan yang pertama seumpama itu di Malaysia dan telah diterima baik di pasaran.

Ini mendorong Mymagnetikmenu mempelbagaikan lagi produknya termasuk penanda buku, kad dalam pelbagai saiz dan bentuk serta cendera hati lain.

"Kebanyakan produk yang dihasilkan mengikut permintaan dan keperluan pelanggan.

"Kami memberi kebebasan untuk pelanggan menempah rekaan dan corak yang mereka inginkan berdasarkan kreativiti masing-masing.

"Mereka boleh memilih untuk membeli produk yang sedia ada ataupun menyediakan lakaran sendiri untuk kami siapkan," katanya.

Tambah Nori lagi, kini produknya turut mempunyai peminat tetap sama ada dari dalam atau luar negara yang menjadikan ia sebagai koleksi untuk mereka kumpul dan simpan.

"Terdapat dua jenis peminat yang menempah magnet ini iaitu sama ada untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi mahupun untuk perniagaan yang mereka jalankan.

"Pelanggan juga boleh menempah dengan dua cara. Pertama, mereka membuat sepenuhnya lakaran menggunakan kreativiti sendiri. Cara ini memudahkan kerja kami untuk menghasilkan magnet tersebut.

"Kedua, mereka ada idea sendiri, tetapi tidak pandai untuk membuat lakaran. Jadi, kami akan uruskan dari segi reka bentuk dan konsep setelah berbincang," katanya.

Nori mengakui, kini produknya telah melepasi pasaran antarabangsa seperti di United Kingdom, Australia, Singapura, dan Indonesia.

"Selain itu, kami juga menerima pelbagai tempahan dari badan korporat, pihak sekolah, universiti dan individu tertentu yang menjadikan f magnet sebagai hadiah mahupun koleksi peribadi.

"Antara produk terbaru keluaran kami adalah buku resipi masakan luahan kreativiti, resipi dan tip masakan dari juri MasterChef selebriti Chef Adu Amran Hassan," katanya.

Bagi peminat yang baru berjinak-jinak mengumpul fridge magnet atau mereka yang merupakan peminat fanatik boleh membeli secara atas talian di www.facebook.com/MyMagnetic atau boleh juga hubungi talian 017-2186266.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Produk/20121213/pr_02/Nori-usahawan-magnet#ixzz2EwRl3XZr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: