Tuesday, March 05, 2013

Ilmu syarat kejayaan

Sayed Mashor Sayed Ahmed melihat pemprosesan produk Syarikat Adillah Product Sdn. Bhd.

Jatuh bangun dalam perniagaan bukan perkara luar biasa bagi mereka yang menceburi bidang perniagaan.

Pengalaman sama dilalui oleh Syed Mansor Syed Ahmad, pengusaha industri makanan yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan.

Syed Mansor berada dalam dunia perniagaan sebagai usahawan bukan baru, malah beliau mula berjinak jinak sejak 1982 lagi meskipun secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu terlibat dalam perniagaan pakaian sebelum menghentikan operasi pada 1986.

Kegagalan tersebut bukan bermakna beliau melupakan terus dunia perniagaan khususnya keusahawanan memandangkan semangat untuk terus mencuba sentiasa ada.

Beliau membuka lembaran baru pada 1988 dengan mengikuti program yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan nekad berkunjung ke Stesen MARDI Pasir Puteh Kelantan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai industri makanan.

Beliau berpendapat hanya dengan ilmu,iaitu menghadiri kursus anjuran MARDI akan kembali memberi keyakinan untuk terlibat dalam industri yang baru itu.

Dengan hanya modal awal sebanyak RM5,000 dan dibantu dua pekerja pada masa itu, Syed Mansor akhirnya berjaya mengeluarkan pelbagai jenis sos selepas mendapat bimbingan MARDI.

Pada peringkat awal, dia yang dibantu isterinya Syarifah Hasnah Tuan Besar berkata, hanya mendapat bekalan mentah daripada pihak lain dan memberinya hutang.

Bahan mentah tersebut termasuk cili kering, tepung jagung, bahan aset, asid asetik dan gam makanan.

Ketika ditanya kenapa memilih industri makanan sedangkan banyak bidang lain boleh diceburi, beliau berkata, pada waktu itu tinjauannya mendapati tidak ramai orang Melayu menceburi industri pemprosesan.

''Berdasarkan kepada keadaan ini, mungkin ada ruang bagi saya dalam bidang ini," ujarnya.

Berikutan permintaan sosnya yang meningkat, operasi syarikat berkenaan berpindah ke tapaknya sekarang di Pasir Hor, Kota Bharu dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta.

''Kebetulan anak sulung saya lahir yang beri nama syarikat berdasarkan namanya iaitu Adilah," ujarnya sambil memberitahu Adilah diharap dapat membawa tuah, maka syarikat tersebut diberi nama Adilah Product Sdn. Bhd.

Syarikat berkenaan kini mengeluarkan produk seperti kicap manis, kicap pekat, sos tomato, sos cili, sos cicah, jus asam jawa dan minuman soya.

Kata Syed Mansor, faktor utama beliau boleh membangunkan industri tersebut ialah bimbingan MARDI selepas usahanya yang tidak kenal jemu untuk belajar pelbagai bidang seperti pemprosesan makanan, kawalan mutu, pemasaran, perakaunan dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Selain itu, beliau juga memohon geran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membeli mesin yang sesuai khususnya untuk memasak dan juga pengisian.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130304/ag_02/Ilmu-syarat-kejayaan#ixzz2MfiH1HgJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: