Thursday, August 22, 2013

Kebun kerang jana pendapatan

Antara pengusaha ternakan kerang menunjukkan sebahagian hasil tuaian mereka.

Oleh kerana kerang diminati sebilangan besar masyarakat negara ini, hidupan laut tersebut dituai saban tahun sehingga semakin sukar untuk ditemui di habitat liarnya.

Bagi memastikan kelangsungan hidup serta stok kerang di pasaran tidak putus, pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan antaranya adalah projek kebun kerang yang dilaksanakan di Sungai Buloh, Kuala Selangor, Selangor.

Menurut Ketua Daerah Perikanan Kuala Selangor, Jabatan Perikanan, Mohd. Hassan Shihab, aktiviti penternakan kerang sebelum ini dimonopoli oleh pihak tertentu yang memiliki modal yang besar.

"Bagi nelayan biasa sudah tentu mereka tidak mampu kerana kos membeli lebih kerang sahaja mencecah ratusan ribu ringgit.

"Justeru kerajaan mengambil inisiatif membangunkan projek kebun kerang bagi membantu nelayan sekitar Sungai Buloh, Kuala Selangor ini selain mampu meningkatkan stok kerang dipasaran," katanya.

Beliau ditemui pada program lawatan media bersama Jabatan Perikanan baru-baru ini.

Jelasnya, harga kerang kini mencecah RM140 hingga RM150 bagi seguni kerang bersaiz duit syiling 50 sen sebiji dan saiz yang biasa dipasarkan adalah sekitar 80 hingga 90 biji bagi berat sekilogram (kg).

Projek ternakan kerang di Sungai Buloh, Kuala Selangor tersebut melibatkan nelayan setempat menerusi pembahagian plot-plot kebun secara berdekatan di antara satu sama lain menerusi kerjasama kerajaan negeri dan pihak Jabatan Pertanian.

Bagi mengurangkan kos pembelian benih kerang, lesen mengutip benih kerang dikeluarkan kepada nelayan selama dua minggu dan benih tersebut akan ditaburkan di dalam hampir 50 kawasan plot yang telah ditetapkan.

Jelas Mohd. Hassan, untuk memudahkan usaha menternak kerang, nelayan akan bekerja secara berkumpulan mengumpul, menternak, menabur benih serta menuai hasil kerang.

Kerang yang diternak akan matang dalam masa satu tahun sebelum boleh dituai. Dalam masa tersebut nelayan perlu memantau kawasan plot serta memindahkan kerang sekiranya haiwan tersebut terlalu padat di dalam satu-satu plot.

Malah, kerang perlu dikacau selalu agar taburannya di dalam plot menjadi seimbang serta mengelakkan berlakunya persaingan serta memberi kerang ruang untuk membesar.

Sejak projek tersebut diperkenalkan oleh kerajaan, taraf hidup nelayan sekitar kawasan tersebut telah meningkat di mana pendapatan mereka dilihat terdapat pertambahan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Jika dahulu mereka hanya bergantung kepada hasil tangkapan yang tidak menentu menerusi kaedah tradisi iaitu menjaring ikan kini mampu tersenyum dengan hasil yang diperolehi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130819/ag_01/Kebun-kerang-jana-pendapatan#ixzz2cfOV6M4c
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: