Monday, August 12, 2013

Nostalgia resipi kakak

Pekerja Sanabil Marketing & Suppliers (M) sibuk menyediakan adunan roti di kilang syarikat di Kompleks Kilang SME Bank Seremban, Negeri Sembilan.

"KEISTIMEWAAN resipi keluarga ini ialah tanpa bahan pengawet, inti disesuaikan mengikut cita rasa pengguna, contoh keju untuk penggemar keju, serunding ayam, daging dan ikan bilis," katanya ketika ditemui di Seremban baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai usahanya itu, Khairul Effendi berkata, perniagaan roti itu mula diusahakan kakaknya di kampung mereka di Felda Sungai Kelamah bermula 2009.

Perniagaan mereka yang beroperasi kecil kecilan itu bermodalkan RM5,000 dengan pengeluaran 30 keping sehari menggunakan lima kilogram tepung.

Inisiatif dan usaha Khairul Effendi mungkin tidak begitu rumit dan didorong oleh minatnya dalam perniagaan makanan memandangkan beliau berpengalaman dalam bidang tersebut.

Beliau pernah terlibat dalam perniagaan makanan pada 2005 di sebuah syarikat makanan barat sehingga 2007 meskipun mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang guaman.

Namun, memandangkan penghargaan yang tinggi terhadap usaha seorang kakaknya, Khairul Effendi memasang impian untuk mengkomersialkan resipi tradisi itu.

Selepas melihat ada sinar kejayaan, beliau mendapatkan bantuan Jabatan Pertanian Daerah Gemas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengembangkan perniagaan tersebut.

Ketika Jakim sebagai contoh memberitahu, jika hendak mendapatkan sijil halal operasi di belakang rumah tidak begitu sesuai, sebab itu beliau mula berfikir untuk membuat pengeluar berskala besar bagi dikomersialkan.

Dengan modal pelaburan sebanyak RM30,000, Khairul Effendy memulakan operasi di premis baru di Kompleks Kilang SME Bank, Seremban bersama seorang rakan kongsinya, Mohd. Johari Yasin.

Dengan visi ingin menjadi pengeluar utama makanan halal dan produk sejuk beku yang berjaya dan ingin menembusi pasaran global serta mencapai syarikat tempatan berstatus antarabangsa, beliau menubuhkan Syarikat Sanabil Marketing & Suppliers (M) Sdn. Bhd. sebagai penggerak operasi dengan kapasiti pengeluaran 4,000 keping roti bom sehari.

Kawasan itu dipilih sebagai lokasi operasi kilang kerana kedudukannya yang tidak jauh dari ibu negara. Harga yang dikenakan sebagai anak angkat SME Bank juga tidak terlalu membebankan untuk tempoh sembilan tahun.

Mohd Johari Yasin (baju merah) turut membantu kerja kerja mengadun bancuhan tepung di kilang .

Syarikatnya kini mempunyai 20 pekerja dan memiliki pelbagai jenis mesin untuk operasi pengeluaran iaitu mesin membakar, mesin pembancuh, mesin pembungkusan kedap udara.

Penggunaan mesin nyata banyak membantu kerana pengeluaran dapat ditingkatkan berkali ganda daripada 30 keping kepada 4, 000 keping dengan keupayaan 18 keping bagi setiap dua minit.

Jabatan Pertanian pula sering membantu termasuk mesin pembahagi doh atau aduan tepung dan juga menawarkan kursus yang bersesuaian termasuk berkaitan perakaunan dan sumber manusia.

Beliau juga membuat pinjaman daripada Agro Bank sebanyak RM40,000 sebagi modal pusingan perniagaan.

"Saya juga mendaftar dengan semua 13 agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tujuan promosi," katanya sambil menambah bahawa kos terbahagi kepada pengeluaran dan pemasaran.

Dengan tagline Halal Asli dan Berkualiti, jenama Sri Ani Premium kini sudah dikenali menerusi usaha-usaha promosi dengan menyertai pameran dan karnival di serata tempat.

Antaranya Karnival Rakyat Jom Halal, Karnival Pasar Terbuka Malaysia, Showcase Satu Daerah Satu Industri Zon Tengah Seremban, Program Satu Daerah Satu Industri Peringkat Kebangsaan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya dan MAHA Peringkat Negeri Sembilan.

Kemampuan Sri Ani Premium menembusi rak tiga pasar raya besar juga menjadi bukti produk tersebut telah diakui dan dipercayai kualitinya dan sedia bersaing dengan produk seumpamanya di pasaran.

Maklumat lanjut mengenai syarikat dan produk boleh layari http://www.srianipremium.com.my.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130729/ag_01/Nostalgia-resipi-kakak#ixzz2biqnBrbG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: