Saturday, August 31, 2013

Tembikai hibrid pertama Malaysia

Penggunaan varieti baharu tembikai hibrid akan meningkatkan pendapatan petani sebanyak tujuh peratus.
SEMASA musim perayaan antara buah-buahan yang biasa dihidangkan di meja makan adalah tembikai. Tembikai adalah tanaman jangka pendek yang popular di negara tetapi pengusaha tembikai perlu bergantung kepada benih yang diimport dari Taiwan atau China bagi tanaman komersial.

Keluasan tanaman ketika ini melebihi 9,000 hektar dengan pengeluaran melebihi 154,000 tan.

Bagaimanapun kajian mendapati kebanyakan varieti import tidak sesuai ditanam di negara ini kerana masalah penyakit dan kesesuaian persekitaran yang menyebabkan hasil rendah dan merugikan petani.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian bagi membangunkan varieti baru tembikai hibrid tempatan yang sesuai ditanam di sini.

Kajian yang dijalankan oleh Pegawai Penyelidik Pembiakbaik Tanaman, Stesen MARDI Bukit Tangga, Kedah, Bahari Mohd Masaruddin menghasilkan varieti baru tembikai hibrid yang diberikan nama H25.

“Hasil keputusan ujian di ladang mendapati varieti ini lebih baik berbanding varieti komersial seperti Black Sweet.

“Hasilnya setinggi 30 tan sehektar, tempoh matang seawal 70 hari, tahan terhadap penyakit dan kurang biji," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kedah.

Lebih istimewa, varieti baru H25 tiada beza kemanisannya dengan Black Sweet.

Dengan varieti tembikai baru ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bergantungan negara terhadap biji benih tembikai import bagi merancakkan lagi industri tanaman tembikai.

Kajian yang bermula pada tahun 2006 menggunakan tujuh titisan tulen tembikai dengan induk dihasilkan menerusi pembiakan pedigree di mana titisan tulen dihasilkan daripada varieti hibrid yang berasal dari China.

Kesemua titisan tulen telah dikacukkan di antara satu sama lain dan menghasilkan 21 varieti baru tembikai hibrid.

Kesemua 21 varieti baru tembikai hibrid yang dihasilkan telah ditanam di ladang bersama-sama induk dan varieti bandingan iaitu Black Sweet untuk tujuan penilaian prestasi.

Hasil kajian mendapati varieti H25 lebih baik berbanding Black Sweet dari segi hasil, tempoh matang, ketahanan penyakit dan kurang biji tetapi tiada perbezaan dari segi kemanisan.

Bahari berkata penggunaan varieti baharu tembikai hibrid akan meningkatkan pendapatan petani sebanyak tujuh peratus iaitu dari RM11,400 ke Rm12,198 sehektar.

Dianggarkan potensi hasil varieti baharu tembikai adalah 30 tan sehektar berbanding 28 tahn sehektar.

Dengan adanya tembikai hibrid tempatan, penanaman tembikai tempatan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada biji benih tembikai import di mana harganya jauh lebih mahal RM55 bagi 20 gram berbanding varieti tempatan RM30 bagi 20 gram.

Penghasilan varieti baru tembikai hibrid memberikan peluang kepada pengguna tempatan menikmati tembikai yang lebih berkualiti dengan rasa lebih enak.

Varieti baru ini berpotensi untuk ditanam secara komersial oleh petani kerana ia memberikan pulangan hasil yang tinggi dan buah berkualiti.

Selain itu biji benihnya mudah didapati dengan harga lebih murah berbanding biji benih import.

Varieti baru ini diharap akan dapat mengurangkan penggantungan petani terhadap biji benih tembikai import.

Di samping itu pendapatan petani dijangka akan meningkat dan pengguna akan dapat menikmati tembikai hibrid yang berkualiti.

Hasil kajian tembikai hibrid amat menarik apabila berjaya memikat para juri apabila mendapat pingat emas semasa Pameran Sains Teknologi MARDI 2012, pingat perak semasa Ekspo Teknologi Malaysia 2013 dan Pingat Emas semasa Pameran Ekspo Teknologi Antarabangsa 2013.

No comments: