Jumaat, November 06, 2009

Pertanian mini untuk komuniti

Artikel dan gambar oleh
NORZAINURA ABDUL MAJID
.
BERTANI, berniaga dan beramal menjadi pegangan utama Mercu Agro Tani Johor Sdn. Bhd. (MATJSB) sebagai peneraju utama program pertanian mini yang membabitkan individu dan juga komuniti.
.
Ia memperkukuhkan misi membangunkan nilai rantaian pertanian mini serta pemasaran hasil pertanian yang cekap dan berkesan kepada pelanggan di dalam dan luar negara.
.
Menerusi usaha penanaman cili padi dan pisang berangan dengan jenama Ladongmas, projek pertanian mini MATJSB ini bertujuan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi kumpulan sasar serta mewujudkan semangat bekerjasama dan gotong royong dalam hidup masyarakat setempat.
.
Ia juga diyakini dapat meningkatkan pendapatan atau dana bulanan rakan tani selain menjadi salah satu aktiviti berfaedah serta dapat mewujudkan program rakan tani baru yang mempunyai sikap nilai murni yang tinggi.
.
Diterajui oleh dua rakan kongsi Roslan Hamdan, 40 dan Faris Mohamed, 43, mereka berkongsi cita-cita tinggi untuk berjaya dalam bidang pertanian dan ingin berkongsi dengan masyarakat bahawa pertanian adalah satu perniagaan.
.
Meskipun mereka tidak memiliki segulung ijazah tetapi mempunyai pengalaman mengusahakan projek pertanian sejak lebih 10 tahun lalu terutama penanaman cili.
.
Mereka juga yakin bahawa cili mempunyai potensi besar untuk dipasarkan sekali gus dapat mengurangkan permintaan cili daripada negara luar dan secara tidak langsung dapat menjimatkan kos mengimport cili.
.
Roslan selaku Pengurus Besar MATJSB berkata, konsep pertanian mini yang diperkenalkan adalah melibatkan individu atau komuniti setempat yang dipanggil rakan tani yang tidak memerlukan modal yang banyak.
.
''Dalam program ini, rakan tani kami akan di bekalkan anak pokok, racun serta baja secara percuma dan mereka dipertanggungjawabkan untuk menyediakan bahan asas seperti polibeg, tanah dan tahi ayam," jelasnya.
.
Katanya, najis ayam di pilih kerana ia penting untuk dijadikan bahan campuran tanah sebelum benih cili padi di tanam dan mudah untuk didapati.
.
''Kemudian mereka hanya perlu menjaga tanaman tersebut mengikut jadual penjagaan yang telah di sediakan oleh pihak kami dan hasil tuaian akan dikendalikan oleh pihak kami MATJSB bagi tujuan pasaran," kata beliau.
.
Menurut Faris, antara faedah yang diperoleh daripada program ini ialah dapat meningkatkan kepenggunaan tanah dengan lebih efisien bukan sahaja sebagai sumber pendapatan tambahan tetapi juga sebagai landskap sementara.
.
Ia juga katanya dapat menambah dana bagi mereka yang terbabit seperti persatuan belia atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), surau atau masjid, sekolah bagi tujuan aktiviti mereka.
.
''Ia juga dapat mewujudkan serta mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama sesama rakan tani setempat dan secara tidak langsung hasil tanaman yang diusahakan secara berkelompok ini dapat di pasarkan secara komersial," jelasnya.
.
Selain itun program berkenaan secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mengurangkan import bahan makanan dan menjadikan rakan tani setempat ini sebagai pusat sumber dan pusat pengumpulan tanaman yang mempunyai nilai komersial.
.
Kebajikan
Dengan objektif untuk meningkatkan kebajikan sosio ekonomi pada kumpulan sasaran program pertanian mini ini juga dapat mengeratkan siratulrahim, semangat bekerjasama dan gotong royong dalam kehidupan masyarakat setempat.
.
Buat masa ini, program tersebut telah dan akan dilaksanakan di beberapa buah sekolah dan kampung di negeri Johor seperti Kampung Bahagia Kulaijaya, Johor, Sekolah Agama Taman Daya Johor, Rumah Seri Kenangan Johor (Rumah Orang-Orang Tua), Hospital Permai Tampoi Johor dan penempatan orang miskin bandar Tenggara Johor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Perkampungan Orang Asli, Sepang di Selangor.
.
Menurut Roslan, MATJSB membuka peluang program pertanian mini ini kepada sesiapa yang berminat seperti penduduk kampong dan belia atau beliawanis setempat, orang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli,dan ibu tunggal.
.
Selain itu katanya, sekolah, masjid, surau, pusat pemulihan, rumah kebajikan, penjara atau tanah wakaf juga boleh dijadikan tempat program ini dilakukan kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas tetapi hanya memanfaatkan keluasan tanah yang sedia ada.
.
Menariknya, program pertanian mini MATJSB ini ialah ia memberi 60 peratus hasil jualan kepada peserta atau rakan tani yang terbabit, manakala empat peratus untuk tabung dana JKKK, belia atau sekolah dan satu peratus untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan rakan tani itu sendiri.
.
Roslan berkata, setakat ini MATJSB mempunyai 2.4 hektar ladang cili padi iaitu 1.6 hektar di Kota Tinggi Johor dan 0.8 hektar di Kulai Johor dengan dibantu oleh tiga orang rakan belia.
.
Tambahnya mereka mengusahakan ladang itu dengan modal RM100,000 tanpa pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan dan kini telah mempunyai kira-kira dua juta benih cili padi untuk diagihkan kepada rakan tani yang terbabit dalam program berkenaan.
.
Selain cili padi, MATJSB juga mempunyai 2.8 hektar ladang pisang berangan di Pontian Johor.
.
Program pertanian yang juga boleh dikatakan sebagai rakan kongsi bijak ini secara tidak langsung merupakan agroterapi kepada rakan tani yang terbabit kerana ia hanya dilakukan secara santai sama ada di rumah atau sekolah dan dapat merehatkan minda.
.
''Setiap program akan dibuat selama setahun dan setiap rakan tani akan dibekalkan dengan plastik untuk membungkus cili padi yang mereka telah tanam mengikut yang telah ditetapkan," jelas Roslan.
.
Menurutnya lagi, setiap plastik yang disediakan akan tertera nama kumpulan rakan tani terbabit yang juga menjadi sekali gus menjadi hab pengeluaran dan pembungkusan cili padi kepada MATJSB.
.
''Saya yakin, program ini dapat diterima oleh masyarakat kerana ia program yang mudah dan murah serta dapat menambahkan pendapatan mereka yang terbabit secara tetap," ujarnya. -Utusan Online

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...