Friday, December 18, 2009

Keli berempah kian popular

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED
.
.
PADA satu ketika, pasangan suami isteri ini menikmati makan tengah hari di sebuah restoran. Si suami mengambil ikan keli goreng untuk sebagai lauk tetapi mengeluh dengan rasa ikan yang agak hanyir dan tidak dapat memenuhi seleranya.
.
''Bermula dari peristiwa itu, saya mencuba untuk menghasilkan produk berasaskan ikan keli yang tidak hanyir dan mempunyai rasa yang lain, selain garam dan kunyit dijadikan bahan untuk digaulkan bersama ikan supaya ramai orang boleh menikmati rasa yang berbeza,"' kata Saliza Salleh menceritakan detik bermulanya beliau dan suaminya, Mohamad Azlan Mohamad Damin, 32, terlibat sebagai usahawan keli.
.
Saliza menceritakan, pada mulanya mereka menternak ikan keli dalam tangki gentian di belakang rumahnya di Sungai Lang, Banting, Selangor pada tahun 2008.
.
Melalui projek itu, sebanyak dua tong ikan segar dihasilkan berjumlah 100 kilogram (kg). Beliau bagaimanapun berhati-berhati kerana bimbangkan ikannya tidak mendapat pasaran.
.
Sehubungan itu, Saliza berkata, beliau mendapatkan bantuan dan pandangan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Langat dan antara rumusan yang dapat didapati pasaran segar ikan keli kadangkala menghadapi masalah.
.
Sehubungan itu, mereka mendapat satu idea untuk mempelbagaikan cara memasarkan ikan keli dengan memprosesnya terlebih dahulu menggunakan rempah dan seterusnya terhasilkan ikan keli berempah resipi sendiri.
.
Rempah khas itu merupakan satu keunikan dan rahsia perniagaan mereka dan ia mula mendapat perhatian sejak mula diperkenalkan secara kecil-kecilan di rumah.
.
''Saya menghantarnya ke rumah jiran atau rakan-rakan berhampiran untuk mencuba dan minta mereka komen," ujarnya.
.
Selepas membuat keputusan untuk menceburkan diri secara serius, mereka mewujudkan jenama produk bernama Lanza Foods Frozen di bawah naungan syarikat Mizasuda Enterprise yang beroperasi dalam bidang penternakan dan pembekalan ikan keli salai berempah dan segar berempah.
.
Kesungguhan mereka terbukti apabila nekad melaburkan wang sendiri berjumlah RM80,000 untuk membeli mesin, mengubah suai rumah untuk dijadikan kilang memproses dan pejabat syarikat.
.
Usaha tersebut dibantu dengan sedikit tuah apabila rumah terbiar milik keluarga isterinya di Kampung Kelanang, Banting dijadikan kilang dan mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pembabitan secara serius itu turut mendapat sokongan anak-anak tetapi Saliza dan Mohamad Azlan perlu berusaha gigih, termasuk menambah ilmu dalam bidang penternakan ikan.
.
Saliza menghadiri pelbagai kursus kaedah menternak yang dianjurkan Jabatan Perikanan dan dia mendapati penggunaan palet sebagai makanan sangat berfaedah.
.
Namun kata Saliza, beliau tidak boleh bergantung kepada bekalan ikan daripada projek sendiri kerana ia tidak mencukupi.
.
''Saya memerlukan ikan segar berkualiti untuk dijadikan produk ikan salai berempah dan sebab itu penggunaan makanan ikan yang baik perlu diutamakan," ujarnya.
.
Menurutnya, penggunaan makanan selain pelet menghasilkan keli tidak berkualiti kerana masalah isi ikan tidak padat dan lemak yang berlebihan.
.
Saliza berkata, jika bunyi 'meletup' semasa menggoreng, ikan keli tersebut tidak berkualiti dan telah diberi makanan yang bercampur-campur.
.
Ikan yang memakan pelet juga mempunyai isi yang sedap dan padat. Pada masa yang sama, mereka juga mendapatkan bekalan ikan segar daripada beberapa penternak lain yang dipastikan ikan yang dihasilkan berkualiti iaitu menggunakan pelet sebagai makanan utama ternakan ikan tersebut.
.
Setakat ini, syarikat tersebut memerlukan antara 100 dan 120 kilogram ikan keli segar sehari. Dengan lapan pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja memproses dari Isnin hingga Sabtu, syarikatnya mampu menghasilkan 200 paket ikan salai sehari berjenama Lanza Food Frozen itu.
.
Bagaimanapun, sasaran pengeluaran yang ditetapkan ialah 400 peket sehari iaitu bagi kedua-dua produk ikan keli segar berempah dan ikan salai berempah .
.
Harga borong sepaket segar berempah seberat 500 gram (g) ialah RM10, manakala ikan salai berempah RM10.50 dan harga runcit ialah antara RM12 dan RM12.50 sepaket.
.
Ikan salai tersebut boleh dimasak kuah goreng atau masak kari dan banyak mendapat tempahan untuk majlis majlis keraian.
.
Sementara itu menurut Mohamed Azlan, produk seumpama itu mempunyai pasaran yang baik jika usaha-usaha mempromosi dijalankan dengan betul oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.
.
Kini, atas bantuan SME Corp, syarikat terbabit sedang dalam perbincangan bersama sebuah pasar raya besar untuk membantu memasarkan produk tersebut dalam masa terdekat ini. Produk boleh bertahan selama 14 bulan.
.
Kata Saliza, pihaknya sedang memohon bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan Selangor melalui pejabat perikanan Daerah Kuala Langat antaranya, mesin menghasilkan rempah dan mesin vakum dan peralatan yang diperlukan untuk pembungkusan, dan produk mereka juga telah mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
.
Dengan khidmat nasihat dan kursus kursus yang telah dihantar oleh Jabatan Perikanan Kuala Langat, mereka bercadang mengembangkan perusahaan tersebut termasuk menghasilkan ikan keli pekasam, ikan keli jeruk dan bebola ikan keli berempah tidak lama lagi.
.
Mizasuda Enterprises boleh dihubungi di talian 03-31201617 dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.ikan salaiberempah.com. -Utusan Online

No comments: