Selasa, Disember 22, 2009

Misi ‘menginsankan’ insurans, takaful

Mukadimah
.
WALAUPUN industri insurans dan takaful telah lama bertapak di negara ini namun masih ramai penduduk negara ini yang masih tidak dilindungi dengan kemudahan itu.
.
Malah ramai yang beranggapan insurans adalah sesuatu menyusahkan dengan kerenah birokrasi dan pelbagai proses yang terpaksa dilalui sebelum sebarang tuntutan dapat dibuat.
.
Menyedari hakikat itu, Etiqa Insurans dan Takaful Bhd. (Etiqa) meletakkan misi untuk mengubah persepsi tersebut dan menjadikan syarikat itu berbeza daripada syarikat-syarikat insurans lain.
.
Wartawan Utusan Malaysia, SARAH NADLIN ROHIM yang berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, DATUK AMINUDDIN MD. DESA memperjelaskan dengan lebih lanjut mengenai langkah membantu atau menolong insan seperti mana tujuan asal insurans.
.

SEJAK kebelakangan ini, Etiqa kurang mendapat pendedahan di media atau boleh dikatakan berada dalam keadaan ‘senyap’, boleh Datuk jelaskan keadaan tersebut?
.
Itu adalah sesuatu yang disengajakan. Kami melancarkan jenama baru pada November 2007. Tahun 2008 adalah tahun yang paling agresif untuk Etiqa memperkenalkan jenama kami dan pada tahun ini kami sedikit perlahan kerana terdapat banyak perubahan berlaku dalam industri takaful dan insurans. Kami mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menonjol.
.
Apakah yang dilakukan Etiqa pada tahun ini?
.
Pada tahun ini kami terus mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan ejen, tetapi hubungan awam dikurangkan sedikit. Semasa menjalankan aktiviti penjenamaan, kami di Etiqa telah mengambil pendekatan ‘Kemudahan Insan Asas Pengurusan Kami’. Ia adalah dengan cara memberi perkhidmatan yang mudah dan pantas kepada pelanggan.
.
Apakah strategi Etiqa pada tahun ini?
.
Tahun ini kami akan menukar strategi menerusi penyampaian mesej kepada lebih ramai bakal pelanggan dengan menjelaskan bahawa kami adalah jenama yang memberi kemudahan kepada insan.
.
Bagaimana persepsi orang ramai terhadap insurans dan takaful pada masa ini berbanding dahulu?
.
Menurut kajian yang dibuat pada 2006, persepsi orang ramai terhadap insurans masih lagi sama seperti 20 hingga 30 tahun dulu. Mereka masih lagi beranggapan insurans menyusahkan dengan kerenah birokrasi dan pelbagai proses yang terpaksa dilalui sebelum sebarang tuntutan dapat dibuat.
.
Apakah langkah untuk Etiqa mengubah persepsi ini?
.
Kami berhasrat mengubah persepsi ini dan menjadikan Etiqa berbeza daripada syarikat insurans lain. Kalau kita tengok sejarah, langkah membantu atau menolong insan lain telah dimulakan dengan ‘khairat kematian’ di mana penduduk kampung mengumpul wang bersama untuk membantu keluarga menguruskan jenazah ahli keluarga mereka, tanpa perlu banyak proses yang dilalui. Bagi Etiqa kami ingin mengambil pendekatan tersebut. Tujuan insurans adalah memudahkan insan.
.
Di manakah tahap kesedaran orang ramai mengenai insurans dan takaful?
.
Antara satu hingga sepuluh. Tahap kesedaran orang ramai masih lagi berada pada paras nombor tiga. Kaji selidik yang dilakukan sebelum ini melibatkan pelbagai bangsa dan tanggapan orang ramai terhadap integriti syarikat insurans masih rendah.
.
Adakah banyak perbezaan berlaku setelah Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan undang-undang berkaitan syarikat insurans dan takaful?
.
Perubahan memang berlaku terutama ia banyak memberi perlindungan kepada pemegang polisi dan persepsi masyarakat turut berubah.
.
Bagaimanakah bentuk perubahan yang bakal berlaku pada Etiqa?
.
Etiqa ingin berubah dengan menjadi lebih telus dan jelas terhadap polisi kami dan tiada agenda terselindung. Bagi segmen takaful, tanggungjawab kami lebih berat kerana perlu menyediakan produk yang berlandaskan syariah dan kami juga merupakan penggendali takaful terbesar di Malaysia. Etiqa kini mengambil peranan untuk ‘menginsankan’ insurans dan takaful.
.
Sebagai contoh sekiranya berlaku kematian pemegang polisi, kami telah memberi kebenaran kepada wakil Etiqa untuk menyumbangkan sejumlah wang kepada keluarga si mati bagi menguruskan jenazah tanpa perlu mengisi borang atau sebagainya. Ia terletak dalam kategori manfaat kematian.
.
Selain itu, apa perbezaan lain antara Etiqa dan pesaing yang lain?
.
Dari segi produk kami mempunyai berpuluh-puluh produk. Etiqa turut memberi bayaran kepada pemegang polisi yang mengalami kemalangan apabila mereka menghubungi pihak Etiqa tanpa perlu mengisi borang atau sebagainya. Hanya dengan satu panggilan telefon, mereka boleh menerima bayaran tanpa banyak soal.
.
Sekiranya Etiqa berbuat begitu, tidakkah Datuk bimbang dengan masalah penipuan?
.
Kami mengambil pendekatan sekiranya pelanggan boleh mempercayai syarikat dengan membayar sejumlah wang pada setiap bulan, kenapa syarikat tidak boleh mempercayai pelanggan. Katakanlah dalam 100 orang, hanya seorang yang membuat tuntutan palsu, kenapa perlu syarikat menghukum 99 pelanggan lagi yang betul-betul memerlukan duit tersebut.
.
Etiqa ingin berubah dan bergerak ke arah lebih banyak membantu pelanggan. Apa yang boleh saya katakan, di mana terdapat ruang yang boleh digunakan untuk membantu pelanggan kami akan ambil, namun kami masih lagi tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh BNM.
.
Bagaimana dengan produk-produk baru pada tahun 2010?
.
Kini Etiqa sedang memantapkan produk-produk kami. Insy-Allah, pada 2010 produk-produk kami lebih berbentuk kemanusiaan, tetapi Etiqa masih belum mengenal pasti berapa banyak produk yang akan dilancarkan pada tahun hadapan. Produk- produk itu akan menepati jenama kita.
.
Dari segi penguasaan pasaran, di manakah kedudukan Etiqa pada waktu ini?
.
Penguasaan pasaran kami semakin meningkat. Bagi tahun kewangan lalu, segmen perniagaan takaful telah memantapkan kedudukan kami sebagai nombor satu dengan merekodkan perolehan sebanyak RM1.4 bilion berbanding RM1 bilion sebelumnya.
.
Dari segi perniagaan keseluruhannya iaitu perniagaan takaful dan am, Etiqa adalah nombor satu di Malaysia. Kedudukan Etiqa bagi perniagaan baru iaitu insurans nyawa dan keluarga masih berada pada kedudukan nombor dua, tahun hadapan kami berharap kedudukan tersebut akan berubah.
.
Faktor apa yang akan menyebabkan perubahan tersebut?
.
Kita perlu menjana perniagaan baru dan ia hanya akan dapat dicapai apabila keupayaan kita mantap dengan menghidupkan jenama Etiqa dari segi amalan dan ia akan dibantu dengan pengenalan produk-produk baru. Sasaran kami adalah memantapkan kedudukan dalam industri takaful dengan penguasaan pasaran sekurang-kurangnya 50 peratus serta mengekalkan kedudukan nombor satu dalam insurans am dan takaful am.
.
Barapa banyak agensi yang dimiliki Etiqa dan apakah perancangan pada masa hadapan?
.
Jumlah keseluruhan adalah 24,000. Perancangan yang sedang dibuat oleh Etiqa pada masa ini adalah seperti mempertingkatkan infrastruktur dalam talian serta meningkatkan produktiviti bagi mendapatkan akses besar dalam pasaran. Kakitangan kami pada masa ini adalah sebanyak 2,000 orang sahaja.
.
Bagaimana prestasi keseluruhan mereka?
.
Kami mempunyai program yang dikenali sebagai 5012 yang bermaksud Etiqa bakal melahirkan 50 jutawan insurans menjelang tahun 2012. Iaitu ejen individu yang menerima komisen sehingga melebihi RM1 juta. Sehingga 30 Jun lalu, kita telah berjaya melahirkan lima ejen jutawan. Kita mengenal pasti 172 ejen-ejen yang berpotensi untuk meningkatkan pengurusan dan perniagaan, ini termasuk insurans dan takaful. Jumlah tersebut boleh bertambah dan Etiqa yakin 50 jutawan atau lebih akan tercapai.
.
Bagaimana bentuk cabaran pada tahun hadapan?
.
Cabaran utama adalah bagaimana hendak menghidupkan jenama Etiqa itu sepenuhnya. Penghayatan jenama itu boleh dilihat masyarakat dan untuk dijadikan budaya. Bagi membudayakan konsep menginsankan organisasi itu adalah sangat mencabar.
.
Bagi saya cabaran perniagaan bukan sesuatu yang sukar tetapi untuk mengubah masyarakat terhadap takaful dan insurans adalah tanggungjawab berat.
.
Dari segi perniagaan, bagaimana pula?
.
Untuk mengimbangkan kedua-dua adalah sangat mencabar. Kami berharap dengan langkah menginsankan organisasi ia dapat menarik minat syarikat lain untuk berbuat demikian dan Etiqa bergerak sebagai pencetus.

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...