Monday, February 14, 2011

Modal niaga RM10


Norli berbangga dengan produk yang dikeluarkan.


USAHA tanpa mengenal jemu dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa Norli Ahmad, 43 menjadi usahawan seperti sekarang.

Biarpun hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun, perkataan putus asa dan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Bermula dengan kehidupan sebagai suri rumah tanpa pendapatan, Norli mencari pelbagai pekerjaan bagi menjana pendapatan di rumah dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah pengalaman berniaga membantu keluarganya semasa usia remaja banyak membantu Norli dalam usaha membina empayar perniagaannya.

Tidak pernah mengenal erti perkataan putus asa, dia memulakan perniagaan menjual roti canai segera dengan modal sekecil RM10.

Roti canai yang dihasilkan dijual di sekitar kampung menggunakan motosikal sambil menggendong anak dianggap sebagai cabaran bagi mendaki tangga kejayaan.

Selepas bersusah-payah selama lebih tiga bulan dengan mengubah resipi beberapa kali barulah Norli mendapat menambat hati para pelanggan.

Malah sejak itu, dia telah mula mendapatkan bukan saja pelanggan tetap tetapi juga pasaran yang lebih besar.

Menjelang musim perayaan, Norli memang tidak menang tangan menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut yang hanya dipelajari daripada majalah dan buku masakan yang ada di pasaran.

Ketika itu pada tahun 1990, Norli amat bersyukur apabila mendapat hasil pendapatan pertama hasil jualan biskut lebih RM100.

“Ketika itu saya merasa amat gembira dengan pendapatan pertama dan pada masa itu saya rasakan ini merupakan permulaan bagi membuka jalan bagi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kampung Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Sebagai seorang usahawan yang baru, beliau sentiasa ingin mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan berhenti sehingga mendapat apa yang dihajati walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Selepas berjaya dengan jualan roti canai yang mendapat pasaran yang menggalakkan, Norli mula terfikir untuk membuat piza bagi memberi peluang bagi masyarakat di Batu Pahat merasai kelazatan dan perbezaan berbanding dengan makanan tradisional.

Mencari resipi dan cuba menghasilkan yang terbaik, akhirnya Norli berjaya membuat piza yang diterima pelanggan.

Malahan Norli berjaya menjual piza buatannya bukan saja di pasar-pasar malam sekitar Batu Pahat tetapi juga di sekolah-sekolah dengan harga yang amat berpatutan dan boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat.

“Sebenarnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus masakan yang banyak dianjurkan seperti sekarang.

“Saya lakukan semuanya sendiri dengan mencuba pelbagai resipi sehingga mendapat apa yang dihajati,” ujarnya.

Malah beliau pernah membuang beberapa kilogram tepung dan adunan kerana kuih dan kek yang dibuat tidak seperti yang diingini.

“Saya akan mencuba sehingga berjaya. Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah menganggap adunan yang dibuang hanya membazir.

“Sebaliknya adunan berkenaan boleh dikatakan seperti percubaan saya sebelum mendapat yang terbaik,” jelas beliau.

Bersama-sama dengan suami, Afandi Anim, 45 yang banyak memberikan sokongan dan galakan, Norli berjaya menghasilkan produk dengan jenama Nourlie.

Berbekal dengan galakan serta sokongan keluarga walaupun ketika itu tiada skim bantuan kerajaan, perniagaan biskut Norli terus berkembang sehinggalah Jabatan Pertanian menghulurkan bantuan semasa beliau menyewa bangunan pekan Batu Pahat.

Bermula di sana, Norli mula membuat pelbagai jenis biskut termasuk 12 jenis makanan sejuk beku seperti roti canai mampan, donat, karipap, cucur badak, kasturi, popia dan murtabak daging, kek dan roti seperti kek muffin dan coklat moist.

Produk lain termasuk kek marble dan kek aising serta lebih 50 aneka biskut seperti almond slice, black pistachio, malatops crispy, alahai cookies, blackberry tart, chips knox classic dan conflakes crispy.

Norli berkata, kini syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 30 karton biskut sebulan bergantung kepada permintaan dengan satu karton mempunyai 24 bungkusan biskut.

Manakala bagi makanan sejuk beku pula, syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 50 kilogram sehari.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Norli menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dari segi produk.

“Cuma banyak kes yang melibatkan pelanggan tidak membayar selain daripada masalah banjir.

“Ketika dilanda banjir pada tahun 2007, saya mula mengenali Agro Bank semasa membacanya di akhbar,” katanya.

Semasa itu beliau membuat pinjaman bagi membaik pulih peralatan dan mesin yang rosak akibat ditenggelami air semasa banjir.

Kini Norli boleh berbangga apabila pasaran biskut jenama Nourlie tersebar luas bukan saja di sekitar Batu Pahat di kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan pasar raya malah sehingga ke Lembah Kelang.

“Sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana pasaran biskut saya boleh sampai sehingga dijual di kiosk-kiosk di pasar raya ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau mempunyai 15 orang pekerja yang bekerja selama lima hari seminggu dan lapan jam sehari.

Sehingga kini produknya telah menerima persijilan HALAL daripada pihak berkuasa manakala sedang dalam proses mendapatkan bagi mendapatkan persijilan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Bercerita mengenai perancangan serta harapan di masa akan datang, Norli berharap dapatmeningkatkan lagi kualiti produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih luas misalnya sehingga ke negara Timur Tengah.

“Sebelum ini Jabatan Pertanian telah membawa produk saya semasa pameran di China manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah membawa beberapa produk saya ke beberapa pameran di luar negara,” katanya.

Norli menasihatkan usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar jangan menjadikan modal sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Apa yang penting adalah kualiti barangan yang digunakan seperti mentega dan tepung bagi menjamin biskut yang dihasilkan lebih tahan lama.

“Saya sentiasa menggunakan bahan yang bermutu tinggi bagi menghasilkan produk yang bukan saja enak tetapi berkhasiat.

“Selain itu saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memberikan yang terbaik,” katanya.


sumber: Utusan Malaysia Online

3 comments:

siti said...

saya minat berniaga..tapi langsung tak ada masa..bz sangat dengan keje kat pejabat....

sobri yaacob said...

menarik juga..kisah ni...bmula dari bawah..:)

Nizam Bigfish said...

Saya minat berniaga dan rasa macam puas hati sangat walaupun hasil jualan tu rm10 je.

Kita boleh luangkan masa buat bisnes secara sambilan, mungkin di sebelah malam jika bekerja di siang hari.