Thursday, June 02, 2011

dr. Cafe Coffee jadi pemangkin usahawan bumiputera


Idris Jusoh sambil ditemani Harmidi Ismail (kiri sekali) mencuba mesin kopi pada majlis perasmian kiosk dr.Cafe Coffee di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Jun - Pembukaan kios kedua dr. Cafe Coffee di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini diharap menjadi pemangkin kepada semangat keusahawanan di kalangan golongan muda bumiputera.

Produk berkenaan dijangka menjadi pesaing kepada jenama kopi terkenal yang lain dan mampu melonjakkan ekonomi bumiputera yang menyertai rangkaian kios berkenaan.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usahawan bumiputera harus membuka minda dan sentiasa berdaya saing dengan menghasilkan produk yang mengikut kehendak pasaran.

"Pembukaan kios ini merupakan salah satu Pelan Transformasi Mara dalam membuka minda usahawan bumiputera supaya lebih kreatif dalam menjana perniagaan hingga ke peringkat global.

"Dahulu Mara sering membantu golongan usahawan dari segi kewangan dan kemahiran, kini kami mahu mendekati mereka dengan kaedah keusahawanan bagi menjana hasil yang lebih lumayan," katanya selepas merasmikan kios berkenaan hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Youth Al-Rajhi Retail Sdn. Bhd., Harmidi Ismail iaitu pemilik dr. Cafe Coffee yang mula beroperasi di Mont Kiara dua tahun lalu.

Menurut Idris, usahawan bumiputera tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memohon membuka francais kafe berkenaan.

"Kita berusaha menggunakan kaedah yang produktif supaya usahawan bumiputera lebih berminat menceburi bidang keusahawanan," katanya.

dr. Cafe Coffee turut menawarkan beberapa menu lain seperti pastri, kek dan kopi buatan tempatan bersesuaian dengan cita rasa masyarakat negara ini.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: