ADA yang menggelarnya Profesor Datuk Dr. Hassan Yaakob sebagai hati batu. Namun kata-kata itu tidak menjadi 'kudis' pada dirinya. Malah, dalam meniti perjalanan menjadi saintis dan usahawan berjaya, Dr. Hassan mengakui beliau memang hati batu. Sejak kecil lagi beliau sangat degil dan tidak menoleh ke belakang setiap kali mahu melakukan sesuatu.
Prinsipnya, untuk maju memerlukan dia bersikap demikian. Oleh itu Dr. Hassan ada sebab untuk berbangga dengan kejayaannya hari ini. Kerana hati batunya itu beliau menjadi satu-satunya saintis di negara ini yang berjaya menulenkan sebatian gamat.
Pengasas Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang berpejabat di Shah Alam, Selangor itu menggariskan tiga perkara penting untuk berjaya.
''Tegas terhadap apa yang diinginkan, kreatif dan mempunyai daya kepimpinan,'' kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu ketika ditemui Utusan Malaysia di Shah Alam.
Dr. Hassan juga merupakan Pengerusi Eksekutif serta Pengarah Healwell dan Eastern Biotech Resources Sdn. Bhd. bakal berpindah ke bangunan baru bernilai RM25 juta tidak jauh dari pejabat sekarang.
Tentunya sebagai peneraju syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran dan perundingan mengenai gamat serta produk penjagaan kulit serta anti-penuaan, tugasnya tidak mudah.
Beliau berhadapan dengan kerenah lebih 112 kakitangan selain menguruskan lebih 200 rangkaian usahawan francais yang bergantung kepercayaan kepada jenama Healin.
''Saya juga terbuka menerima kritikan, tidak sensitif jika ditegur, tidak suka bermusuh. Boleh saja saya katakan saya memang tidak ada musuh,'' kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Menjadi seorang saintis, usahawan, pengurus dan pada masa yang sama ketua keluarga bagi Dr. Hassan menuntut komitmen yang sangat besar. Setiap tiga atau empat bulan sekali, beliau ke Dubai memenuhi permintaan sebuah universiti di sana sebagai fasilitator penyelidikan.
Membina nama dalam bidang keusahawan, Dr. Hassan tidak terlepas daripada mengalami rasa terkilan dan kecewa melihat kelemahan usahawan Melayu.
''Saya kecewa apabila ada usahawan mahu cepat dapat untung, tidak sabar. Misalnya dalam menjayakan House of Healin, ada peniaga yang melambakkan produk di pasar malam.
''Ada juga yang menjual dengan harga lebih rendah. Memang daripada jumlah dagangan, banyak yang mereka menjual tapi berapa pula pulangannya,'' kata Dr. Hassan yang beralih kepada bidang francais untuk mengawal mutu serta rangkaian produk Healin.
Produk Healin kini 'merantau' ke pasaran antarabangsa, malah francais House of Healin diiktiraf syarikat francais terbesar dan berdaya maju oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNS).
sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment