Monday, June 06, 2011

Kuih bakar sejuk beku dapat sambutan



NURA Mardi bersama kuih bakar sejuk beku berperisa jagung, pandan dan keladi buatan syarikatnya


HIDANGAN kuih bakar memang popular di kalangan komuniti masyarakat Melayu negara ini.

Rasanya yang enak, manis dan bertekstur lembut menjadikannya sesuai dibuat santapan ringan untuk minum petang atau sebagai pencuci mulut.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden muncul di pasaran, namun makanan tradisional ini masih terus diterima baik.

Ia biasanya dijual di pasar-pasar malam dan juga bazar-bazar jualan pada hujung minggu.

Mencari peluang mempromosi kuih bakar secara komersial, ia kini disediakan dalam bentuk sejuk beku.

Pendekatan baru itu dijalankan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan iaitu Perusahaan As-Nura.

Bercerita mengenai bisnesnya, pengusaha syarikat itu, Nura Mardi, 51, memberitahu, dia telah terlibat dalam perniagaan kuih-muih dan kerepek sejak tahun 2001 namun hanya mula dikomersialkan menjelang 2008.

''Saya sudah biasa berniaga kerana dahulu saya selalu membantu keluarga menjual hasil tanaman jagung dan ubi.

''Selepas berkahwin, saya terlibat pula dalam bisnes kacang goreng, pelbagai jenis kuih dan kerepek di kantin sekolah,'' katanya ketika di temui di kilang kuih bakarnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Bagi menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, dia aktif menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) sehingga dilantik sebagai Pengerusi.

''Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kelas membuat kuih, khidmat nasihat dan lawatan ke kilang-kilang perusahaan.

''Ilmu yang diperolehi dimanfaatkan untuk memperluas dan mempertingkatkan perniagaan saya,'' jelas ibu kepada lima orang anak ini.

Nasib terus menyebelahi Nura apabila dia terpilih menerima dana perusahaan daripada kerajaan bernilai RM10,000.

Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan membuat kuih seperti mesin pembancuh dan ketuhar.

Kesemua aktiviti perusahaan dijalankan di rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

Melihat potensi perniagaan itu, dia kemudiannya membuat pinjaman modal Kredit Mikro daripada Agrobank sebanyak tiga kali bernilai RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.

''Sambutan pengguna sangat menggalakkan terutama untuk kuih bakar. Jadi, bagi memenuhi permintaan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan kuih bakar secara sejuk beku.

''Tujuannya supaya kuih bakar sejuk beku ini boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan disimpan sebelum dipanaskan sekiranya terdapat permintaan.

''Selepas menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008, permintaan terhadap kuih bakar ini terus meningkat termasuk daripada Singapura dan juga Brunei,'' katanya yang mempunyai seramai tujuh orang kakitangan.

Tahun 2010 pula menyaksikan Nura membina kilang perusahaan kuih bakarnya di Semenyih dengan kos RM250,000 selain bantuan dana pembungkusan produk daripada RISDA bernilai RM44,000.

Melihat keunikan kuih bakar sejuk beku ini, ia tersedia dalam empat pilihan perisa iaitu pandan, labu, jagung dan keladi selain boleh disimpan untuk tempoh enam bulan.

Hari ini, kilang perusahaan Nura mampu mengeluarkan sebanyak 800 biji kuih bakar sehari dengan penggunaan 64 kilogram tepung.

Produk kuih bakar sejuk beku ini telah memasuki pasaran kedai-kedai runcit, hotel-hotel, pasar raya besar Mydin dan juga kedai FAMA dengan harga RM4.20 sebungkus.

Untuk perancangan masa hadapan, Nura turut bercadang menghasilkan kuih bakar berlauk seperti daging, ayam dan udang.

Bagi memantapkan perniagaannya pula, dia turut menghadiri beberapa siri kursus anjuran Jabatan Pertanian dan juga RISDA selain mengikuti ekspo Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: